11 September, 2019

GUA AIR & GUA BADAK, BALING KEDAH : Keindahan Aliran Air, Taufan Kelawar dan Lembah Cahaya di Dalam Gua. Jom sokong "SAVE GUNUNG PULAI"

OGOS 2019




Apa yang menarik tentang GUA AIR ialah di dalam gua itu sendiri terdapat aliran air seperti sungai kecil yang cetek, jernih dan sejuk. GUA BADAK pula, saya sangat teruja dengan ribuan kelawar yang berterbangan membentuk seperti taufan kelawar dan lembah gua yang ditembusi cahaya matahari.

Sangat menyedihkan apabila gua-gua yang sangat indah ini bakal dijadikan kuari. Penduduk kampung, pencinta-pencinta alam dan badan NGO ketika saat saya sedang menulis ini sedang berjuang secara agresif menyatakan bantahan bertulis, demonstrasi dan sokongan tandatangan seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan gua dan gunung Pulai ini terus terpelihara untuk penerus ekonomi masyarakat setempat dan tontonan generasi akan datang. "Save Gunung Pulai"

Ikuti pengembaraan saya bersama pelajar saya Kolej MARA Kuala Nerang seramai 16 orang meneroka GUA AIR & GUA BADAK, hanya di Baling, Kedah....Jommmmmm...."Save Gunung Pulai"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Lokasi Gua Air & Gua Badak : Kampung Teluk Tok Patah, Baling Kedah.  Wazekan kat Masjid Kampung Limau, Baling. So guide akan tunggu kat masjid tu, kemudian akan bawa kita ke starting point.

No telefon Guide : 013-4455011 atau 019-5211564
Dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 5.00 petang

Pakej Gua : RM 20 seorang untuk pakej meneroka GUA AIR, GUA BADAK dan bergambar di LEMBAH CAHAYA. Sebenarnya ada juga pakej meneroka 5 Gua sekaligus dan kalau nak meneroka 1 gua pun takde masalah.

Peralatan : Bawak lampu suluh atau head lamp, berkasut, pakaian yang sesuai dan air minuman.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

GUA AIR

Jalan menuju ke starting point dari jalan utama memang sangat sempit, boleh muat satu kereta sahaja. Bas memang tak boleh lalu dan perlu parking di jalan utama kemudian nanti ada la kenderaan orang kampung yang akan mengambil peserta. Melalui kawasan kampung dan kebun-kebun. Akhirnya kami sampai di sebuah rumah orang kampung. Ada 6 orang malim gua sedang menanti dan tanpa melengahkan masa kami mendengar taklimat dan membuat sedikit persiapan sebelum masuk ke dalam gua.



Jam 9.30 pagi, kami memulakan langkah dan berjalan lebih kurang 100 meter bertemankan nyamuk dan agas dan sampai di pintu gua yang nampaknya takde la besar sangat. Dah nampak aliran air yang cetek di dalam gua. Memang ada sedikit seram sebab sekitar gua nampak sangat natural, tiada kesan aktiviti manusia, suasananya agak redup dan lembap.






Kami menggunakan headlamp dan lampu suluh berjalan melalui lorong gua dan di tepi aliran air yang mengalir tenang sejauh lebih kurang 300 meter. Bila perhati betul-betul kat aliran air ni, ouhhhh, ada udang kecil dan anak ikan rupanya yang berenang dan berselindung dicelah-celah batu kecil.






Selain keunikan aliran air yang mengalir dari pintu gua hingga ke hujung Gua Air ini,  kami juga menyaksikan lanskap gua, formasi stalagmit dan stalaktit yang cukup indah dan menakjubkan. Kami bersyukur dapat melihat ciptaan formasi batu berwarna putih dan keperangan yang cukup unik menyerupai gajah, singa, air terjun, awan yang beralun, muka orang, kalimah Allah dan sebagainya. Di dinding dan syiling gua penuh dengan tompokan seperti tahi bintang yang terbentuk daripada air. Ada dinding yang apabila disuluh berkilau-kilauan dan bercahaya. Ribuan kelawar yang bertenggek di dinding gua menambahkan lagi keseraman. Kadang-kadang ternampak beberapa ekor katak hitam sebesar kaki sedang merenung kami di celah-celah batu.







Kami diberi peluang untuk melalui trek yang sempit sehingga terpaksa merangkak dan meniarap, agak ekstrim, mengotorkan pakaian tetapi menyeronokkan. Berhati-hati, kerana tangan boleh luka apabila tersilap pegang batu yang tajam. Semakin jauh kami berjalan, aliran air pun semakin mengalir laju seperti air terjun kecil di sebalik timbunan batu-batu. 














Jam 11.20 pagi, lebih kurang 2 jam pengembaraan, kami selesai meneroka Gua Air yang menakjubkan dan mungkin boleh diklasifikasikan sebagai antara gua tercantik di Malaysia dan Asia Tenggara. Kami pun keluar, mengucapkan syukur dan mula bergerak ke gua yang seterusnya 

GUA BADAK

Selepas menyelongkar khazanah keindahan dunia Gua Air, kami pun berjalan melalui dusun durian dan tiba di pintu Gua Badak jam 11.30 pagi. Kecik jer pintu gua dia...tak luas mana pun tapi bila masuk ke dalam, tu diaaaa, luasnya gua. Syiling guanya lebih tinggi berbanding Gua Air. Kepanjangan Gua Badak lebih pendek berbanding Gua Air. 


Walaupun formasi stalagmit dan stalaktit tidak sebanyak Gua Air tetapi nampak lebih rare, formasi yang nampak terlalu lama dan matang sehingga membentuk formasi batu yang besar dan tinggi. Bentuk dinding gua pun seperti awan tebal dan ombak besar. Kami melalui satu laluan seperti ada angin pusaran, sejuk seperti aircond, rupa-rupanya ribuan dan mungkin jutaan kelawar terbang berpusing-pusing daripada bawah sehingga ke atas syiling gua sehingga membentuk seperti taufan. Kami berdiri di tengah-tengah ribuan kelawar yang sedang berterbangan laju tetapi ajaibnya kelawar tu tak langgar kami pun walaupun seekor. Hebat sensor kelawar ni...Subhanallah.










Kami berjalan menuju ke hujung gua dan kemudian melalui batu-batu besar yang kasar. Perlu berhati-hati dengan laluan batu tajam yang agak merbahaya. Apa yang menariknya di sini ialah kita dapat saksikan pancaran cahaya matahari yang menerangi lembah gua dengan dinding gua yang tinggi di kiri dan kanan. Seperti dunia yang berbeza. Dengan juntaian akar halus daripada pokok di atas gua menambahkan lagi keunikan lembah ini. Pancaran matahari yang menyinari kawasan sekeliling menyebabkan suasana lembah ini sangat cantik dan sangat sesuai untuk mengambil gambar.
 



Setelah puas bergambar dan menghayati keindahan dunia Gua Badak, kami pun keluar dan menamatkan sesi penerokaan Gua badak selama satu jam. Kami baru meneroka dua gua dan dah rasa sangat menakjubkan. Sebenarnya ada banyak lagi gua-gua di sekitar Gunung Pulai ini. 

Tiba-tiba hati rasa sedih apabila sebelum pulang, kami diminta untuk menandatangani petisyen bantahan menyelamatkan Gunung Pulai daripada di letupkan dan dijadikan kuari pada bila-bila masa. 

Ouhhhhhhh, khazanah ciptaan Allah yang sangat hebat akhirnya bakal berubah atas alasan pembangunan. Mungkinkah kami generasi terakhir yang sempat menyaksikan keindahan Gua Air dan Gua Badak....Hanya Allah Maha Mengetahui...Sangat-sangat-sangat sedih....... Semoga Allah memudahkan segala urusan.

-MISSION ACCOMPLISHED-

No comments:

Post a Comment