(Mac 2023)
Penerbangan Airasia dari Kuala Lumpur ke Hanoi Vietnam mengambil masa 3 jam 20 minit. Perbezaan masa Kuala Lumpur dan Hanoi ialah satu jam. Suhu di Lapangan Terbang Hanoi 28 darjah celcius. Aku menukar matawang RM 436 dengan 2 juta Dong.
Kru OHANA selaku penganjur telah menjemput aku di lapangan terbang. Kemudian aku dan rakan-rakan pendaki lain menaiki van bertolak ke daerah SA PA. Perjalanan menggunakan jalan highway cukup selesa dengan kiri kanan jalan dipenuhi petak-petak sawah padi. Jam 6.00 petang, kami tiba di SA PA. Sekitar 5 jam perjalanan. Suhu di sini sekitar 18 darjah celcius. SA PA adalah kawasan pergunungan dengan sekitar 1,500 meter. Kami menginap di SA PA Center View Hotel. Makan malam kami dihidangkan dengan tema vegetarian.
Kami mengambil kesempatan untuk jalan-jalan di sekitar pekan SA PA. Banyak kedai seperti barangan outdoor, massage, gerai makanan jalanan, restoran dan hotel. Terdapat bangunan tumpuan pelancong iaitu Sun Plaza Sa Pa yang mempunyai menara jam, premis perniagaan dan stesen keretapi gunung. Selain itu pekan Sa Pa juga terdapat tasik, taman bunga, mini stadium dan gereja berusia tahun 1902.
HARI KEDUA
Jam 8.30 pagi, kami bertolak menaiki van dari hotel menuju ke starting point. Jalan yang elok dan berbelit-belit di lereng gunung. Setelah 25 minit, kami tiba di Nui Xe Forest Ranger Station dengan ketinggian 1,900 meter. Jam 9.00 pagi, kami memulakan pendakian bersama 10 orang pendaki, 1 orang penganjur Ohana, 2 orang guide dan 3 orang porter.
Trek pendakian tidak begitu ekstrem. Santai. Laluan mendaki juga tidak terlalu tinggi. Banyak juga trek landai. Hutan yang tidak tebal.
Jam 11.00 pagi (2 jam dari starting point), kami tiba Camp 1. Di sini terdapat 4 kabin bagi tujuan penginapan dan istirehat. Kami makan tengah hari dahulu. Kemudian, jam 12.15 tengah hari, kami meneruskan perjalanan meredah denai hutan buluh renek. Bukit pun semakin tinggi didaki. Sekitar 7 bukit yang perlu dilalui. Kabus agak tebal diiringi angin kuat.
Sekitar 4 jam pendakian, aku sampai di Camp 2 dengan ketinggian 2,700 meter. Terdapat tiga buah rumah seperti asrama yang dibina untuk pendaki bermalam. Terdapat tandas, bekalan air dan dewan makan. Pemandangan sekitar juga sangat cantik. Namun sejuk dengan angin kencang.
HARI KETIGA
Jam 4.15 pagi, kami memulakan pendakian melalui hutan gunung. Trek terus terusan menaik. Kabus tebal dengan suhu 18 darjah celcius. Jam 5.30 pagi (1 jam 15 minit dari Camp 2), kami tiba di stesen Cable Car Fansipan.
Kali ini, sudah tiada trek hutan. Yang tinggal trek bertangga batu. Kawasan sekitarnya dihiasi lanskap dan dataran yang indah. Di sini juga merupakan lokasi pelancongan. Pelancong yang tidak mahu mendaki, boleh menaiki kereta kabel dengan harga sekitar RM 100 - 170. Perjalanan mengambil masa 20 minit sahaja dari stesen di bawah.
Tarikan lain di sini ialah pintu gerbang Thanh Van Dac 10, Kuil binaan Dinasti Tran, The Great Budha Statue setinggi 22 meter, patung Guanyin Statue setinggi 12 meter, The Stupa, The Grand Belfry, Alahat Path dan stesen keretapi Funicular ke puncak.
Setelah 600 tangga dipanjat, akhirnya aku sampai di puncak Gunung Fansipan (1 - 2 jam dari Cable Car station). Cuaca panas tetapi berangin. Terdapat tiang bendera setinggi 25 meter dan mercu tanda berbentuk segi tiga. Sekitar puncak dihiasi pemandangan banjaran pergunungan yang menakjubkan.
Setelah puas bergambar, aku mula turun dari puncak pada jam 8.30 pagi. Semasa menuruni trek pemandangan begitu indah. Kali ini cuaca memang panas, tiada kabus dan tiupan angin tidak sekencang pada hari semalam. Jam 4.15 petang, akhirnya aku sampai ke penghujung trek di starting point, Nui Xe Forest Ranger Station.