01 September, 2018

GUNUNG YONG YAP - BUBU - TOK NENEK : Compress 3 Hari 2 Malam...berpeluh di buatnya...

OGOS 2018


Banyak kali fikir sebenarnya. Mampu ke buat YYBTN 3 hari 2 malam sebab banyak team yang buat 4 hari 3 malam dan respon diorang pun banyak kata pendakian ni sangat mencabar. Takpe la, In sha Allah kita cuba.

Jumlah : 13 orang. Semua lelaki.
Guide : Tawau - 011-11874932
Pakej : RM 160 seorang - Upah guide, powil, makan minum, permit dan fly. Tempoh : 3 hari 2 malam.

NAMA GUNUNG :
1) Gunung Yong Yap : Ketinggian 2,167 meter.
  • Reputasi : Gunung di bawah kategori G7.
  • Trek : Permulaan yang landai dipenuhi hutan buluh dan hutan tebal, kemudian merentasi banyak sungai, banyak trek menaik. 1 jam sebelum sampai puncak akan melalui trek becak, akar kayu, pacak antara 70-90 darjah, suhu sejuk antara 15 - 24 darjah dan diliputi hutan lumut yang cantik.
  • Puncak : Dikelilingi pokok-pokok renek dan bonsai yang menghalang pemandangan. Suhu agak sejuk pada waktu pagi.
  • Pendakian : Dari starting point : 10.00 pagi sampai ke Kem Simpang untuk bermalam jam 10 malam. Kesokan pagi jam 7.00 pagi bertolak dan tiba di puncak jam 7.45 pagi.
  • Kejadian : Pernah berlaku kejadian sesat pada tahun 2009 dan 2017. Terbaru 2018, ada pendaki menghadapi kecederaan dan serangan sakit jantung menyebabkan usaha pencarian daripada Bomba dan Polis.
2) Gunung Bubu : Ketinggian 1,657
  • Reputasi : Salah satu gunung tertinggi di daerah Kuala Kangsar dan bersebelahan gunung Yong Yap.
  • Trek : Dari puncak Yong Yap ke puncak Bubu, kita akan turun melalui hutan lumut yang agak bahaya, kemudian hutan buluh dan pokok renek. Melalui sekali lagi jenis hutan lumut. Trek lebih mudah dan kurang mencabar berbanding jalan menuju ke puncak Yong Yap.
  • Suhu : Cuaca panas dan tiada water point
  • Puncak : Tak nampak langsung pemandangan. Ditutupi dengan pokok-pokok renek, buluh dan bonsai. Lebah memang banyak.
  • Pendakian : Dari puncak Yong Yap jam 8.30 pagi dan tiba di puncak Bubu jam 2.15 petang. Lebih kurang 5 jam 15 minit.
  • Kejadian : Tragik tahun 2014 dimana 4 orang sesat dan 2 orang telah meninggal dunia.
3) Gunung Tok Nenek : Ketinggian 1,916 meter
  • Reputasi : Dikenali gunung Table & Chair. Menjadi kegilaan para pendaki kerana puncaknya 360 darjah dan menyajikan pemandangan yang sangat cantik.
  • Trek : Dari puncak Bubu ke Puncak Tok Nenek, kita akan melalui hutan tebal, renek, berbatu, lumut dan bongsai. Trek agak santai peringkat awal tetapi sedikit mencabar bila semakin hampir ke puncak kerana trek agak berbatu.
  • Suhu : Panas, dingin dan berangin
  • Pendakian : Bermula 3.00 petang di Puncak Bubu dan tiba di Puncak Tok Nenek jam 6.00 petang. Perjalanan lebih kurang 3 jam.
GUNUNG YONG YAP
STARTING POINT - SIMPANG Y - KEM AGAS - KEM SIMPANG

Kami mengambil keputusan bermalam dan berkumpul di Masjid Kampung Raja Cameron Highland. Gerai makan pun dekat, sebelah masjid je. Selepas sarapan, kami menaiki powil menuju ke Lojing Gua Musang dan sampai di starting point berdekatan Kampung Orang Asli Pos Rengil lebih kurang jam 9.30 pagi.


Guide bagi taklimat dan buat senaman sikit. Pukul 10.00 pagi bermula la pendakian. Awal-awal lagi dah masuk sungai. Kemudian melalui hutan yang dipenuhi banyak buluh-buluh besar. Cabaran kami ialah bila banyak pokok-pokok buluh tumbang yang menghalang trek. Jalan agak landai, santai, relaks dan belum tahap mencabar lagi . Hutan pun semakin tebal dan lebih kurang 4 anak sungai yang perlu dilalui. Sampai di KEM SIMPANG Y dengan ketinggian 900 meter jam 11.30 pagi lebih kurang 1 jam 30 minit. Rehat jap.






Kami teruskan perjalanan, jalan masih mendatar dan ada la berbukit sikit, belum mencabar lagi. Cuma makin banyak pokok-pokok buluh yang tumbang seolah-olah macam melalui terowong buluh. Tak tau la berapa banyak anak sungai kena lalu. Dah tak terkira, banyak sangat anak sungai. Tiba di KEM AGAS dengan ketinggian 1,200 meter pada jam 3 petang. Perjalanan hampir 3 jam 30 minit. Kat sini, tapak kem luas dan memang sesuai untuk camping. Sungai pun dekat sangat. Kami mandi-mandi dulu dan solah jamak dulu. Pacat pun mula menyerang dan agas pun boleh tahan banyak.


Jam 4.00 petang, kami meneruskan perjalanan. Orite, trek masa ni dah mula banyak yang menaik dan dikelilingi hutan tebal dan pokok balak. Suasana sangat sunyi, tenang dan dah mula dingin. Jam 6.40 petang kami tiba di KEM BALAK PECAH dengan ketinggian 1,700 meter. Perjalanan lebih kurang 2 jam 40 minit. Kami rehat jap menghilangkan kepenatan. 





Jam 7.00 petang kami mulakan perjalanan. Jalan pun dah semakin gelap, semakin curam dan mencabar. Kami berhenti jap jam 7.30 petang di LAST WATER POINT bagi menghormati waktu maghrib dan pergi ambik air sebanyak mungkin untuk di bawa ke kem kat atas. Agak berat sikit le, sebab kena bawak banyak botol air. Jalan memang dah curam, pacak 70-90 darjah, banyak akar-akar kayu, licin, berlumut dan becak. Lagi-lagi bila jalan gelap, ouhhh mencabar betul. Confirm pakaian akan kotor. Cuaca pun semakin sejuk. 

Alhamdulillah, kami sampai di KEM SIMPANG YONG YAP jam 9.30 malam. Kami pasang fly dan masak-masak kat sini. Tapak kem memang sempit dan tanah yang tidak rata. Memang sangat tidak selesa untuk tidur. Suhu memang sejuk dan berangin. Alhamdulillah tak hujan malam ni.

Selepas solah subuh, kami bersiap-siap untuk naik ke puncak secara daypack. Suhu memang agak sejuk. Jam 7.00 pagi kami mula mendaki trek yang memang mencabar, curam dan pacak 70-90 darjah. Banyak akar-akar kayu yang berjuntai, trek agak teruk dan bahaya. Berhati-hati licin dan becak. Pemandangan mossy memang cukup indah dan sangat menakjubkan. 

Jam 7.45 pagi sampai di PUNCAK GUNUNG YONG YAP. Puncaknya agak lapang cuma ditutupi dan dikelilingi pokok-pokok bonsai dan pokok renek. Tetapi ada beberapa port yang kita boleh ambik gambar pemandangan. Pagi ni cuaca berkabus dan agak kelam, jadi tak dapat ambik gambar pemandangan yang terbaik. 




 
8.30 pagi, kami turun dari puncak. Wow...sepanjang turun, memang sangat jelas dunia hutan mossy yang sangat mengagumkan. Subhanallah. Trek untuk turun puncak ni pun sama bahayanya, kalau tak betul-betul fokus boleh menyebabkan kecederaan. Lebih kurang 1 jam, kami pun sampai di Kem Simpang dan cepat-cepat turunkan khemah dan kemaskan beg. Jam 10.30 pagi, bermula la ekspedisi seterusnya menuju ke GUNUNG BUBU.









GUNUNG BUBU
Dari Kem Simpang Yong Yap kena turun gunung dulu dengan laluan yang mossy dan curam. Kemudian melalui laluan pokok-pokok buluh yang renek dan pokok-pokok hutan gunung. Jalan pun tak banyak menaik sebenarnya sebab kita merentasi banjaran. Laluan tidak sukar dan bila hampir sampai kat puncak, dah nampak laluan mossy dan sedikit pacak. 















Alhamdulillah, jam 1.50 tengahari kami sampai di PUNCAK GUNUNG BUBU lebih kurang 3 jam 20 minit. Memang tak nampak pemandangan langsung di Puncak Bubu ni sebab dikelilingi pokok-pokok renek, bonsai dan semak tebal. Lebah pun banyak. Kami berhenti rehat dan makan tengahari dulu.



GUNUNG TOK NENEK

Jam 3.00 petang, kami memulakan pendakian seterusnya ke Gunung Tok Nenek. Trek kali ini sedikit mencabar kerana suasana yang berbeza. Kejap melalui laluan berbuluh, pastu laluan berbatu, laluan hutan lumut, laluan pokok renek dan bonsai, laluan menaik pastu turun balik. Yang syoknya, sebab kita merentasi dan melalui jalan banjaran, kadang-kadang kita disajikan dengan pemandangan gunung-gunung sekitar yang sangat menakjubkan. Pemandangan langit biru dan sesekali tiupan angin yang wow, suasana yang menenangkan. 

Jalan...jalan.. jalan sampai kat PUNCAK KAYONG. Jalan...jalan.. lagi sampai pulak kat PUNCAK KAMBING jam 5.45 petang. Dah sampai puncak Kambing ni, ada petanda dah nak sampai puncak Tok Nenek. Apa lagi, kami lajukan sikit pace melalui laluan yang agak curam, mossy, berbatu dan ada yang kena redah laluan 90 darjah. 









Alhamdulillah, jam 6.00 petang kami sampai ke PUNCAK GUNUNG TOK NENEK, dengan perjalanan mengambil masa 3 jam dari puncak Gunung Bubu.

Sampai-sampai jer. Terus speechless. Allahuakbar...Subhanallah... cantik yang amat sangat pemandangan puncak dengan pemandangan 360 darjah. Tidak ada apa yang menghalang pemandangan. Rasa tenang yang amat sangat bila dapat duduk di batu-batu puncak sambil melihat keindahan gunung-gunung G7 disekitar, hutan-hutan tebal dan hijau yang menenangkan, langit yang putih biru sesekali ternampak burung-burung berterbangan. Pastu udara yang dingin dan kadang-kadang terasa hembusan angin lembut ke arah kami.

Ya Allah syukur diberi kurniaan dan rezeki untuk melihat ciptaanNYA yang cukup hebat dan indah. Ada satu port kawasan berbatu yang curam dengan keluasan seperti meja makan, memang sangat bahaya tempat ni, tapi tempat ni la yang menjadi kegilaan untuk orang ambik gambar.







Selepas solah Jamak, kami segera untuk turun sebab takut gelap. Jam 7.00 petang, kami pun start turun dari Puncak Gunung Tok Nenek. Semasa turun, laluannya adalah berbatu dan curam, melalui tepi-tepi dinding gunung. Mudah nak tergelincir sebab batu-batunya tidak stabil. Selepas laluan batu, kami terpaksa melalui hutan tebal dalam keadaan gelap dan laluan terus turun jer, takde naik-naik dah. Akhirnya kami sampai di KEM BELUMUT jam 8.30 malam untuk berehat, makan malam dan tidur. Kat sini dah tak sejuk tapi ada anak sungai. So mudah la nak bersihkan badan dan masak.






KEM BELUMUT - KEM HARI - KEM LENGKUAS - SIMPANG TOK NENEK - STARTING POINT

Selepas solah subuh, kami masak-masak dan kemaskan apa-apa yang patut, jam 10.15 pagi, kami pun meneruskan perjalanan. Laluan pun mudah dan banyak turun. Tiba di KEM HARI jam 11.05 pagi. Kemudian sampai Kem Lengkuas jam 12.30 tengahari. Berhenti rehat jap dan makan tengahari. Teruskan perjalanan dan sampai di Simpang Tok Nenek jam 2.30 petang. Kemudian bermula la melalui banyak sungai, anak sungai dan laluan hutan buluh yang dah banyak tumbang yang menghalang perjalanan kami. 














Kami sampai kat AIR TERJUN yang sangat cantik untuk mandi dan merasai air yang sangat sejuk. 



Dah puas mandi, kami pun meneruskan perjalanan dan sampai kat starting point jam 4.45 petang. Powil pun dah standby, kami pun bertolak meninggalkan kawasan perkampungan Orang Asli dan sampai di Masjid Kampung Raja jam 6.00 petang.



ALHAMDULILLAH sepanjang ekspedisi tak hujan dan SEMOGA EKSPEDISI KAMI DIREDHOI, DIRAHMATI DAN DIBERKATI....MISSION ACCOMPLISHED...

1 comment: