21 August, 2019

Menawan puncak GUNUNG FUJI, ber Time-Lapse di SHIBUYA CROSSING, berdiri di menara antara tertinggi dunia TOKYO SKYTREE dan shopping cenderamata di SENSO-JI ASAKUSA KANNON

OGOS 2019



Seorang uncle berbangsa Cina bersembang dengan saya di dalam kapal terbang dengan sangat terujanya, kadang-kadang berbahasa Melayu dan kadang-kadang berbahasa Inggeris. Apabila saya mengatakan saya baru turun dari puncak GUNUNG FUJI, beliau terkejut dan merasa bangga, sebab ada orang Malaysia sampai ke gunung yang penuh lagenda, gunung yang mmpunyai sejarah hebat, gunung yang disenaraikan oleh UNESCO sebagai World Heritage, gunung yang sangat dihormati, simbol kepercayaan, budaya, kesenian, kesusasteraan ulung, simbol semangat juang dan kesatuan rakyat Jepun yang cukup hebat.  Beliau mengatakan dah 20 tahun bekerja di Jepun sebagai tukang rumah, isterinya orang Jepun dan mempunyai seorang anak yang lahir di Jepun. Saya tersentak bila uncle ni bagitau "walaupun saya sudah lama dan menetap di Jepun tetapi saya masih merasakan, "Malaysia still the best".

Ikuti pengalaman pengembaraan saya bersama 14 orang rakan-rakan dari seluruh negeri dalam misi menawan puncak GUNUNG FUJI dan jalan-jalan ke SHIBUYA CROSSING, TOKYO SKYTREE & SHENSO-JI ASAKUSA

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

PROFIL GUNUNG FUJI / FUJI-SAN / FUJIYAMA

Lokasi      : Honsyu, Japan (100 km dari Tokyo)             Ketinggian : 3,776 meter.

Reputasi : Gunung berapi tertinggi di Jepun, puncak ke-2 tertinggi di lingkaran kepulauan gunung berapi Asia dan 7 puncak tertinggi di kawasan kepulauan di dunia.

Letusan : Kali terakhir meletus pada tahun 1707
Pendakian Pertama : Direkodkan pada tahun 663, pendakinya seorang sami. Pelancong asing pertama sampai ke puncak pada tahun 1868.

Sejarah : Gunung Fuji pernah dijadikan pusat latihan Samurai dan kem tentera. Pada tahun 1966, kapal terbang terhempas berdekatan gunung Fuji mengorbankan lebih 100 orang penumpang. Setakat ini, direkodkan lebih 25 orang telah mati ketika percubaan untuk menawan puncak Fuji.

Suhu & Cuaca Puncak : Rekod dicatatkan -38 darjah pada bulan Februari semasa musim sejuk dan paling tinggi 17.8 darjah pada musim panas bulan Ogos. Pada tahun 2004, pernah berlaku taufan dan hujan lebat di puncak. Ketika gempa bumi tahun 2011, pengkaji meramalkan ada berlaku peningkatan aktiviti magma di dasar Gunung Fuji.

Masa Pendakian : Dibuka pada musim panas sahaja iaitu bulan Julai hingga pertengahan September setiap tahun. Ditutup semasa musim sejuk.

Purata Pendaki Setahun : Sekitar 300,000 ribu orang

Laluan : Ada 4 jenis laluan iaitu Yushida Trail (2,300 meter), Subashiri Trail (2,000 meter), Gotemba Trail(1,400 meter) dan Fujinomiya Trail (2,400 meter). Kami pilih Yusida Trail sebab kurang risiko.

Bahasa : Hampir 100% rakyat Jepun, guna bahasa Jepun. Kalau diaorang cakap bahasa Inggeris, kami pun tak faham. Kena bercakap banyak guna bahasa isyarat , body language dan memek muka, baru la diaorang boleh faham. Tak tau cakap orang putih pun tapi negara paling maju di dunia.

PAKEJ PENDAKIAN BACKPACK

Penganjur        : AJ Eagle Outdoor(017-5501775) 
Jumlah Peserta: 14 orang       Tempoh : 4 hari 3 malam

Harga Pakej : RM 950 [ guide, pengangkutan di Tokyo dan Honshu, homestay]. Tidak termasuk tiket kapal terbang, makan, minum dan insurans

Tiket Flight pergi dan balik KL - Tokyo (Airasia X) : 
RM 1,384.  Matawang : 100 yen bersamaan RM 3.97
Insurans : Etiqa Takaful-Tripcare 360 
International-Silver : RM 26.05

Day 1 : Perjalanan KLIA ke Haneda Airport
Day 2 : Train ke Tokyo
-Menaiki bas ke Fuji-san (Starting Point)
-Pendakian ke Hotel Station 7 atau Station 8 dan bermalam

Day 3 : Summit Attack puncak Gunung Fuji
-Turun dari puncak dan tiba di starting point
-Menaiki bas ke Tokyo & check in Tokyo
Day 4 - Free & Easy dan kembali ke Kuala Lumpur

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
PERJALANAN PERGI

Jam 2.15 petang kami terbang bersama Airasia X dari Kuala Lumpur (KLIA 2) ke Tokyo International Airport (Haneda). Setelah 8 jam yang melesukan berada di udara, kami selamat tiba jam 10.30 malam di Tokyo International Airport (Haneda) yang merupakan airport ke-3 paling sibuk di Asia dan ke-4 di dunia dengan 90 juta penumpang setahun.

Rasa teruja bila nampak tulisan Jepun memenuhi ruangan jalan kaki dan hiasan bunga matahari di setiap sudut. Selesai pemeriksaan kastam, kami bergegas ke bilik solah di level utama airport. Nak buka pintu bilik solah ni kena buat voice call dulu. Bilik solah yang dijaga rapi dan memang tidak dibenarkan tidur di sini. Waktu solah sangat awal: Subuh (3.23 pg), Matahari terbit (4.56 pg), Zuhur (11.47 tgh), Asar (3.31 ptg), Maghrib (6.35 ptg) dan Isyak (8.04 mlm).




Selepas itu, kami pergi ke tandas yang sangat moden dan berteknologi. Nak keluarkan air, nak flush, semuanya kena tekan button tertentu. Di luar toilet, ada vending machine. Air mineral water berharga 110 yen (RM 4.37) dan air selain mineral water 130 - 170 yen (RM 5.16 - RM 6.75). 

Kalau nak jimat, beli siap-siap air mineral, roti dan segala makanan kat KLIA. Kami bermalam dan tidur di atas kerusi kat sekitar airport. Kat kerusi ni, ada pulak mesin charger, so boleh charge handset dan power bank.

 

SHINJUKU BAS & TAXI STATION

Jam 3.45 pagi, kami solah subuh. Sementara menunggu Tokyo's train station di Haneda Airport dibuka, kami sarapan dulu makanan pek kembara dan pek syarifah yang dibawa dari Malaysia. Jam 5.00 pagi, kami bertolak menaiki keretapi monorail dan turun di Hamamatsucho dengan harga tiket 200 yen (RM 7.94). 

Wow..sebelum masuk train kena beratur dulu yer. Kemudian tukar train (JR Yamanote Line) menuju ke Shinjuku. Bila jam menghampiri 8.00 pagi ni, memang sangat sibuk dengan ribuan orang berpusu-pusu berjalan kaki dan berpakaian kerja warna putih menuju ke tempat kerja masing-masing.




Jam 6.30 pagi, kami tiba di Shinjuku Station. Nampak banyak teksi klasik, pintu kereta auto tutup sendiri dan paling best, driver teksi pakai blazer dan tali leher. Kami cari tempat letak beg dulu. 

Kalau kita ambik 1 hari : harga saiz kecil (400 yen / RM 15.88), Saiz Sederhana (500 yen / RM 19.85) dan saiz besar (RM 27.79). Nak jimat, kita kongsi-kongsi, masukkan je beg selagi boleh. Ada juga, tempat letak beg berdasarkan harga setiap 2 jam. Kecil (100 yen / RM 3.97), sederhana (200 yen / RM 7.94) dan besar (300 yen / RM 11.91).




Kat sini ada kedai Family Mart ala-ala macam 7 eleven. Boleh la kalau nak beli air. Nak beli makanan, takut pulak, banyak sangat pork.

Tiket bas direct ke Station 5, Gunung Fuji, dah habis. So, alternatifnya, kami naik bas ke Kawaguchiko Station, jam 12.15 tgh dengan harga tiket 1,950 yen / RM 77.40. Awal lagi ni, so kami plan jalan-jalan dulu ler sekitar shinjuku.

ODAKYU HALC

Jalan kaki jer meredah cuaca panas 35 darjah celcius, lebih kurang 15 minit dah sampai ke Odakyu Halc yang merupakan pusat membeli belah 11 tingkat yang memfokuskan jualan barangan elektronik, pakaian sukan, barangan peribadi, permainan, kosmetik, kelengkapan rumah dan makanan.




Sebenarnya pusat membeli belah Odakyu tak la besar sangat tetapi peralatan dan kelengkapan terutama elektronik yang dijual sangat lengkap dan memang sangat mengujakan. Banyak produk elektronik yang dipamerkan memang sangat sukar ditemui di Malaysia. 

Macam-macam jenama. Macam-macam rekabentuk yang cantik-cantik. Macam-macam inovasi yang hebat-hebat di jual. Harga memang mahal bila transfer duit RM, so kami cuci mata jer ler. Patung kecil ultraman pun 458 yen / RM 18.18, kemera DSLR canon 182,270 yen / RM 7,235, TV LCD Panasonic 40 inci berharga 350,000 yen / RM13,894.









   

 


KAWAGUCHIKO STATION


Jam 12.15 tgh, kami pun bertolak menaiki bas ekspres ke Kawaguchiko Station. Pemandu bas yang bertopi hitam, berpakaian vest, bertali leher dan dengan penuh hormat melayan kami dengan baik sekali. Beza betul dengan pemandu bas negara kita. 

Disebabkan terlalu penat dan kurang tidur, kami pun tidur je sepanjang perjalanan. Kadang-kadang terganggu gak dengan suara pengumuman bila sampai di perhentian tertentu bagi menurunkan penumpang.

Kami tiba di Kawaguchiko jam 2.50 petang, lebih kurang 2 jam 35 minit. Kemudian jam 3.00 petang, kami naik bas lain pulak dari stesen bas kat sini menuju ke Mount Fuji 5th Station.



Perjalanan menaiki bas melalui jalan berbukit dan dikelilingi kehijauan hutan pokok pine. Sesekali ternampak sekawan rusa liar sedang makan rumput di tepi jalan. Jalan raya yang cantik, luas, berselekoh dan apa yang penting tidak memeningkan. Bas dan van pelancong pun banyak. Beberapa kali bas berhenti kerana ada kerja - kerja membaiki jalan yang dilakukan oleh pekerja Jepun sendiri. Tiada pekerja Bangla atau Indonesia atau pekerja asing kelihatan, semuanya menggunakan pekerja tempatan. 


MOUNT FUJI, 5th STATION (2,300 meter)

Jam 4.00 ptg, lebih kurang 1 jam perjalanan, kami tiba di Mount Fuji, 5 th Station. Di sini kami menggunakan laluan Fuji Yoshida yang merupakan laluan paling popular, kurang berisiko dan laluan paling panjang untuk sampai ke puncak. Ramai sangat orang bersesak di kawasan ini, ada yang memang nak mendaki dan ada yang sekadar jalan-jalan. Mungkin ratusan bas dan van pelancong bersilih ganti memenuhi kawasan 5th Station. 

Pemandangan tanah tinggi yang cantik dikelilingi kehijauan hutan pine dan bangunan-bangunan perniagaan serta restoran. Kabus sejuk sekitar 15 darjah celcius sesekali menutupi keindahan waktu petang 5th Station. Ramai pendaki Jepun dan serata dunia berkumpul di sini, meriah sangat, tak kira tua, muda, lelaki, perempuan dan kanak-kanak, semuanya nampak sangat teruja untuk menawan puncak Fuji.







Jam 5.00 petang, diiringi doa mohon keselamatan, kami memulakan langkah. Kami melalui jalan tanah hitam gunung berapi dan berbatu kerikil. Peringkat awal jalan masih lagi landai dan hanya trecking sahaja, cuma sejuk sikit. Perhatikan hutan pine di kiri dan kanan jalan, ada rezeki boleh nampak sekawan rusa liar sedang meragut rumput. Hutan Malaysia banyak kali terserempak babi hutan je.









Satu lagi yang uniknya, kami melalui hutan pokok pine dan pokok renek yang akar dan batang pokoknya yang condong seolah-olah menghadap matahari terbit. Setelah 30 minit berjalan, kami melalui hutan rumput pula dan kabus pun dah semakin tebal. Jalan masih elok dan sedikit mendaki , kadang-kadang melalui jalan yang berbatu. Kami juga melalui terowong yang dibina bagi melindungi pendaki apabila berlaku gempa bumi, taufan dan tanah runtuh.



 
6th STATION
Jam 5.35 petang, Sampai di 6th Station setelah 30 minit trecking. Ada kemudahan tandas berbayar disediakan (200 yen / RM 8). Pembesar suara pun ada kat sini bagi tujuan pengumuman dan makluman. Bermula dari 6th station, dah tak nampak pokok, hanya nampak batu dan tanah sahaja. Laluan pun semakin menaik antara 60 - 70 darjah dengan laluan tanah hitam dan batu kerikil. Jalan pun cantik, luas dan selesa. Kabus tebal semakin menutupi jalan menyebabkan suasana menjadi semakin gelap. Kebanyakan lereng gunung pasti akan ada besi penghadang sebagai langkah keselamatan jika berlaku sebarang bencana alam.



7th STATION (2,790 meter)
Sebelum sampai ke 7th Station kena melalui beberapa laluan berbatu 70- 80 darjah. 








Kami tiba jam 6.40 petang dan dah masuk maghrib. Kalau sapa-sapa beli tongkat masa kat starting point, boleh la ambik cop kat sini dengan bayaran 500 yen / RM 20. Kami buat keputusan untuk bermalam sahaja di hotel lereng gunung ni yang dinamakan hotel Kamaiwakan dengan ketinggian 2,790 meter. Harganya 1400 yen / RM 56 seorang. 

Banyak syarat dan disiplin kena patuhi bila bermalam di hotel ni. Antaranya, pastikan tiada sampah ditinggalkan walaupun sebutir nasi. Air panas disediakan tetapi berbayar. Begitu juga toilet kena bayar 200 yen dulu, baru boleh guna bila-bila masa. Tidur pun tiada katil beralaskan tilam nipis, bantal kecil dan selimut tebal. Macam rumah doraemon pun ada. Silent hour jam 9.00 malam.




Jam 12.00 tengah malam, kami memulakan pendakian dari 7th Station. Cuaca memang sangat sejuk mungkin sekitar 10 darjah. Alhamdulillah cuaca baik, langit terang dengan jutaan bintang berkerlipan, tiada awan dan kabus dan boleh nampak sinaran lampu neon sekitar bandar di bawah.

Laluan kali ini lebih mencabar melalui laluan yang berbatu besar, tangga batu dan lebih curam. Malam yang pekat tetapi kerlipan ribuan lampu headlamp pendaki mencantikkan suasana malam. Setelah 1 jam meredah kegelapan malam, dah 2 hotel kami lalui. Setiap hotel, pasti ada toilet berbayar (200 yen), ada kedai dan perkhidmatan cop setem kat tongkat (500 yen).

8th STATION (3,100 meter)
Kami tiba di 8th Station jam 1.30 pagi, lebih kurang 1 jam 30 minit pendakian. Berehat jap kat sini. Layan pemandangan malam, tengok bintang-bintang di langit dan cahaya lampu di kaki gunung. Kat dinding ada tertulis Taishikan, mungkin nama hotel. Kalau perlukan rawatan, di sini ada First Aid Station.




Jam 2.00 pagi, kami meneruskan perjalanan. Dari 8th station, masih ada lagi 2.3 km untuk di daki. laluan pun semakin mencabar dan kena panjat batu sikit. Kejap landai dan kejap curam. Takpe, jalan slow-slow.










Jam 3.30 pagi, kami berehat jap di 8th Station Tomoe Kan dengan ketinggian 3,400 meter . Sebelum sampai kat Tomoe Kan, rasanya dah melewati 3 hotel, perasan tadi macam ada tulis hotel Fujisan. So, kesimpulannya, penginapan memang sangat tidak bermasalah di lereng gunung Fuji dengan harga yang berpatutan.

Di Tome Kan, kami minum kopi cup kecil je dengan harga 500 yen / RM 20. Semua jenis air termasuk air mineral pun harga 500 yen. Kalau nak makan pisang 150 yen / RM 6. Kalau nak cop setem kat sini harganya 300 yen / RM 12.



Hari dah semakin terang, kami cepat-cepat solah subuh di tepi laluan dengan bersujudkan di atas tanah hitam. Jam 4.45 pagi, saya masih tak sampai puncak lagi, geng-geng laju dah sampai puncak. Its ok. 

Matahari pun dah mula sedikit demi sedikit munculkan diri, ribuan pendaki dah mula stopkan perjalanan, semuanya duduk di lereng-lereng gunung, sambil memegang handset, bersiap untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan kilauan cahaya matahari yang sedang terbit ditambah lagi dengan awan karpet tebal seperti lantai putih yang cukup indah. Keindahan pagi, suasana dingin yang nyaman menyebabkan ketenangan jiwa yang sukar untuk diluahkan melalui kata-kata. Subhanallah....





9th STATION (3,600 meter)
Setelah puas merenung, menghayati dan mengambil gambar, saya meneruskan perjalanan dan sampai di 9th Station jam 5.00 pagi. Hari dah pun terang, cuaca pun semakin panas. Rasanya dah tak perlu pakai jaket. Dari 9th Station, saya menyaksikan di atas, ribuan pendaki beratur panjang menuju puncak dan ribuan lagi berderet-deret di bawah berjuang untuk sampai ke 9th Station. 400 meter lagi nak sampai puncak.





Laluan pun semakin sempit, berbatu, sedikit menggelongsor dan semakin curam. Dalam perjalanan, terserempak pendaki yang cedera dan ada yang sedang tidur disebabkan keletihan. Bukan orang muda sahaja, ramai gak pendaki yang dah berumur, berhempas pulas untuk sampai ke puncak. Perjalanan agak lambat sikit sebab terlalu ramai pendaki.




PUNCAK GUNUNG FUJI

Alhamdulillah jam 5.53 pagi, saya sampai di puncak Gunung Fuji. Syukur sangat-sangat sebab diizinkan Allah sampai ke puncak sebab ramai juga yang gagal sampai ke puncak sebelum ini disebabkan masalah kesihatan dan bencana alam.

Perjalanan dari 7th Station ke puncak mengambil masa hampir 6 jam. Ramai sangat pendaki kat puncak. Kemudahan pun banyak. Ada toilet, kedai runcit dan kedai cenderamata yang berdindingkan batu. Vending machine pun ada. Di sini ada pegawai perubatan, pegawai S.O.S dan sukarelawan yang membantu dan melayan pendaki jika berlaku kecederaan dan membantu jika berlaku sebarang kesulitan. Gunung yang sangat hebat dengan sistem keselamatan yang cukup hebat.








Tiada papan tanda di puncak gunung Fuji, yang ada hanya tiang Torii. Mengikut kepercayaan Jepun, Torii merupakan pintu atau pagar tradisional masyarakat Jepun yang biasanya boleh di lihat di kuil-kuil dan ada kaitan dengan kepercayaan agama orang Jepun. 

Pemandangan di atas puncak 360 darjah memang cukup mengagumkan. Suhunya berubah-rubah sekitar 10 darjah tetapi masih terasa panas disebabkan matahari betul-betul memancar terus ke puncak tanpa ada awan yang tebal. 

Kawasan puncaknya cukup luas dikelilingi beberapa puncak lain sehingga membentuk seperti bulatan di mana ditengah-tengahnya adalah kawah besar gunung berapi yang tidak aktif. Tiada sebarang tumbuhan di atas puncak, hanya batu, batu dan batu di mana-mana tempat. Curamnya sangat menakutkan, berhati-hati bila selfie. Kebersihannya memang 100%, tiada sampah langsung walaupun sehelai kertas gula-gula dan puntung rokok.




TURUN PUNCAK GUNUNG FUJI

Jam 7.20 pagi, kami memulakan langkah meninggalkan puncak. Waktu ni, memang dah tak sejuk, sangat panassss, matahari betul-betul menghadap kami, peluh bercucuran keluar dan tiada angin bertiup yang boleh menyejukkan badan. Jangan harap ada pokok-pokok yang boleh dijadikan tempat teduh, hanya batu dan hanya rumput hijau yang berbunga kuning.



Laluan turun adalah berbeza dengan laluan naik, ianya berselekoh dengan tanah hitam yang bercampur batu kerikil sehingga debu berterbangan, sedikit jerlus dan menggelongsor. Terpulang nak pakai gaiter atau tidak, tetapi kami tak pakai pun. Perjalanan membosankan, kepanasan melampau, tiada awan yang menutupi cahaya matahari, terasa sangat jauh dan kaki pun semakin lenguh dan melecet. Bibir pun mudah kering dan kulit pun dah mula kena sun burn. Kena banyak minum air untuk elak hidration. Panas Jepun memang sangat kering, patut la setiap tahun ada penduduk Jepun yang mati disebabkan kes kepanasan.






Ada 2-3 tempat perhentian untuk berehat dan ada toilet disediakan. Sesekali berselisih dengan lori yang beroda kereta kebal. Melihat pemandangan indah sekitar gunung sedikit sebanyak mengurangkan tekanan mental, fizikal dan emosi.




Hampir 2 jam 30 minit berjalan, kami sampai di laluan hutan pokok pine dan pokok renek. Rasa lega bila jumpa tempat redup di bawah pokok pine yang rendang. Kabus pun sudah mula menampakkan diri merentasi gunung dan awan pun semakin tebal. Kami pun masuk ke persimpangan melalui jalan yang sama untuk naik dan turun. Kami terserempak dengan ribuan pendaki yang sedang naik. 

Ada juga ratusan sukarelawan memegang plastik biru sedang mencari-cari sampah. Kelihatan kebanyakan plastik sampah yang dibawa oleh sukarelawan adalah kosong menunjukkan bahawa Gunung Fuji adalah gunung yang sangat bersih. Sangat sukar untuk mencari sampah walaupun sebesar kertas gula-gula. 

Saya yakin setiap pendaki terutama yang sedang turun pasti ada sampah di beg masing-masing tetapi atas kesedaran dan disiplin yang sangat tinggi mereka tak beri pun sampah tu kepada sukarelawan. Konsepnya mudah, sampah sendiri, bawa sendiri turun.







Alhamdulillah, jam 11.00 pagi, lebih kurang 3 jam 40 minit, kami tiba di starting point, 5th Station. Syukur, semua selamat, tiada kecederaan dan misi pun berjaya dilaksanakan. Kat starting point ini, ramai sangat orang yang datang, macam pesta. Kami berehat jap, buat cooling down sikit, solah jamak dan makan-makan apa yang patut.

 
Jam 12.45 tengahari, kami pun menaiki bas ekspres dari sini menuju terus ke Shinjuku bas station (tambang 1900 yen / RM 75). Macam biasa, tak sampai 10 minit, kami pun terlelap akibat kepenatan dan tidak sedar dah sampai di Shinjuku 3.15 petang.

SHINJUKU STATION ke SKY HOSTEL, NAKAI

Kami pun cepat-cepat ambik beg di peti simpanan beg. Kemudian kami naik train menuju Nakai. Tak tau la berapa kali naik train dan turun train. Malas nak fikir dah sebab penat, kami follow gogo je ler.  Pukul 4.30 petang, kami pun check in di Sky Hostel, antara penginapan paling murah di Tokyo sekitar 3,000 yen semalam (RM 120).


Nak masuk hostel ni, kena pakai selipar yang disediakan oleh pihak hostel. Kami ditempatkan di bilik asrama yang boleh memuatkan 10 - 15 orang. Tiada katil, hanya tilam, bantal dan selimut dan ada aircond disediakan. Tandas elektronik ada di luar  bilik dan selesa. Ada bilik pantri yang lengkap (oven, peti ais, sinki dan water cooler). Ada juga bilik untuk 3 orang dan bilik seorang yang berkonsepkan kapsul.







TARIKAN SHIBUYA CROSSING

Walaupun penat, kami tetap nak pergi ke Shibuya Crossing menaiki train monorail. Shibuya Crossing merupakan mercu tanda bandar Tokyo. Kalau Beijing terkenal dengan Great Wall, Kuala Lumpur terkenal dengan Menara Petronas, Paris terkenal dengan Eifel Tower, so Tokyo terkenal dengan Shibuya Crossing. Kalau tak pergi, memang akan rasa kekurangan. Shubuya Crossing semakin popular bila penggambaran filem The Fast & The Furious : Tokyo Drift dibuat di sini.




 

Kedudukannya sangat strategik. Ditengah-tengah adalah jalan raya penuh sesak dengan ribuan manusia yang berjalan dengan laju menuju seberang jalan apabila lampu isyarat berwarna hijau. Jalan raya ini dikelilingi dengan bangunan tinggi yang mempunyai skrin Tv gergasi, dipenuhi dengan lampu neon yang berwarna warni dan pelbagai iklan berlampu. Uniknya, orang yang berjalan kaki memang konsisten ramai setiap masa. Memang sangat menakjubkan bila dapat buat video time-lapse dan jangan lupa ambik gambar ketika orang ramai sedang berpusu-pusu berjalan.

Dah puas tengok orang berjalan kat Shibuya Crossing, kami pun jalan-jalan sekitar Shibuya melihat gelagat dan budaya Jepun. Kedai-kedai, restoran dan segala premis perniagaan memang sangat hidup. Bermacam-macam fesyen, ragam dan trend boleh dilihat. Ada juga wanita muda yang berjalan-jalan memakai kimono .Orang muda mudi memang ketara menguasai kawasan ini untuk berhibur dan setiap gerai makan jalanan penuh dengan orang berbaris menunggu order. Kami pun terjumpa gerai kebab halal dengan harga sekitar 500 yen / RM 20.
  


Hari pun dah lewat malam, kami pun pulang menaiki train. Ahhhh...sesat pulak masa naik train. Tak tau la sampai kampung mana-mana ntah. Train pun dah nak close. Memang tidak dinafikan Sistem Subway dan Tokyo Train kat Tokyo ni sangat efficient dan sangat cepat, kadang-kadang tak sampai 5 minit, train dah sampai. Namun begitu ianya sangat kompleks sebenarnya bagi pelancong macam kami ni. Alhamdulillah, kami berjaya menemui jalan pulang, kalau tak, jadi gelandangan le jawabnya.

SENSO - JI ASAKUSA KANNON TEMPLE

Lokasi pertama pada pagi ini, kami nak pergi dulu ke Tourist Information Centre di Shinjuku Station. Sebabnya kami nak beli kad tiket 24 jam berharga 800 yen/ RM 31.83. Kalau nak beli tiket 72 jam pun ada dengan harga 1500 yen / RM 59.68. Mudah sikit bila ada kad ini dan jimat masa, dah tak perlu beli tiket baru setiap kali naik train lain. Hanya touch kat pintu masuk atau keluar dan kita bebas pergi mana-mana menggunakan train syarikat kat bawah ni (hanya syarikat JR Lines sahaja tak boleh guna tiket 24 jam ni) :
  • Tokyo Metro Lines (Ginza Line, Marunouchi Line, Hibiya Line, Tozai Line, Chiyoda Line, Yurakucho Line, Hanzomon Line, Namboku Line dan Fukotoshin Line)
  • Toei Subway (Asakusa Line, Mita Line, Shinjuku Line dan Oedo Line







Setibanya kami di Tourist Information Centre, kami disambut dengan ucapan arigato oleh wanita berkimono dan robot comel yang petah bercakap. Pekerja di sini memang sangat membantu dengan layanan yang tip top. Kat sini pun ada mesin ATM currency exchange. Hanya masuk duit RM, pastu keluar duit yen. Sedikit pebandingan pertukaran wang RM & Yen di bawah :
  • Mesin ATM curency exchange (Tokyo) : 21.32 yen ( Contoh : RM 200 x 21.32 = 4,264 yen)
  • Kaunter Money Changer Airport Haneda : 22.37 yen ( Contoh : RM 200 x 22.37 = 4,474 yen)
  • Kaunter Bank Islam KLIA 2 : 23.83 yen ( Contoh : RM 200 x 23.83 = 4,766 yen)
Kesimpulannya tukar duit di Malaysia lebih jimat.




Kemudian kami pun menuju ke Asakusa menaiki train. Di sana kami pergi Senso-Ji Asakusa Kannon Temple yang merupakan kuil Budha lama yang dibangunkan sejak tahun 628. Pintu masuknya dinamakan Kaminarimon dan pintu ini merupakan mercu tanda bagi kawasan Asakusa dan Tokyo.Tidak dinafikan seni binaan di kawasan kuil ini cukup halus, klasik, unik dan penuh warna warni. 









Bagi kami orang Muslim, bukan nak tengok kuil tu, tetapi di sini ada GERAI JALANAN yang telah wujud sejak puluhan tahun sepanjang lebih 200 meter yang dinamakan Nakamise. Pelbagai barangan seperti cenderamata, pakaian, makanan & minuman tradisional dijual dengan harga yang lebih murah berbanding tempat lain dan dikatakan gerai cenderamata terbesar di Tokyo. Patut la  ramai sangat orang datang tempat ni. Tujuan nak shopping jer. Sambil tu, ambik gak ler pemandangan sekitar kuil ni sebagai kenangan.

















TOKYO SKYTREE

Tokyo Skytree terletak di Sumida Tokyo dan dibuka pada tahun 2012 dengan kos 440 juta usd. Dibina oleh orang Jepun sendiri dengan rekabentuk menggambarkan futuristik dan keindahan budaya masyarakat Jepun. Selain itu, Tokyo Skytree telah direkabentuk agar ianya kalis gempa bumi. Dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga kemasukan terakhir jam 9.00 malam.


Daripada tingkat atas Tokyo Skytree , kita boleh saksikan pemandangan sistem bandar, bangunan pencakar langit, rumah-rumah, sungai, lautan, gunung Fuji, gunung-gunung sekitar yang mengagumkan. Berlatarbelakangkan pemandangan langit biru dan kepulan awan yang cukup indah.




Selain berjalan mengelilingi deck seperti dalam bulatan sambil menyaksikan pemandangan 360 darjah, pengunjung juga boleh melihat pameran berkaitan angkasa lepas dan angkasawan. Selain itu, terdapat restoran, permainan, tempat mengambil gambar berbayar dan pameran komputer interaktif.







Profil Tokyo Skytree:
  • Ketinggian 634 meter dan diiktiraf Guiness World Record sebagai menara komunikasi tertinggi di dunia.
  • 1,325 hari untuk menyiapkan struktur bangunan bermula 2008 hingga 2012
  • 2,523 tangga daripada tingkat satu sampai ke Tembo Galleria 450 meter
  • Berat menara 36,000 tan bersamaan berat 200 jumbo jet
  • 2,900 pengunjung boleh masuk di Tembo Deck dan Tembo Galleria
 
 Bayaran Masuk :
  • Tiket Regular Combo dewasa 18 tahun ke atas : 3,100 yen / RM 122(hari biasa), 3,400 yen (hari cuti). Boleh naik ke Tembo Deck (ketinggian 350 meter) dan selepas itu sambung naik ke Tembo Galleria (ketinggian 450 meter). Tiket ini dinamakan regular. Maksudnya beli tiket di kaunter dan beratur panjang. Pengunjung memang ramai. Tetapi kalau tak nak beratur, kita boleh beli tiket Fast :
      • Tiket Fast Combo dewasa 18 tahun ke atas : 4,200 yen / RM 165 seorang. So tak perlu beratur beli tiket dan tak perlu beratur masuk lif. Cepat dan menjimatkan masa tapi tiket mahal le.

JOM BALIK MALAYSIA

Dah sampai masanya kami pulang. Kami menaiki bas dari Shinjuku Bas Station ke Haneda International Airport dengan tambang 1,230 yen (RM 48). Flight Airasia jam 11.40 malam dan saya duduk bersebelahan dengan uncle chinese yang telah bekerja di Jepun lebih 20 tahun. Uncle tak henti-henti bercerita tentang budaya kebersihan, cara bekerja yang sangat rajin dan mementingkan ketelitian, kehidupan sebenar orang Jepun dan pengalamannya sepanjang 20 tahun hidup di Jepun.
Apa yang diceritakan oleh uncle tentang kehidupan orang Jepun memang tepat. Sepanjang saya berada di Gunung Fuji dan sekitar Tokyo memang sangat susah untuk cari sampah walaupun tong sampah tak banyak. Sangat sukar untuk melihat orang Jepun merokok di tempat awam, hanya di tempat merokok yang disediakan sahaja. Tandas sangat bersih dan sangat selesa sampai boleh set muzik kat dalam toilet. Orang Jepun memang mementingkan beratur ketika menunggu train, bas, teksi atau ketika mendapatkan perkhidmatan di kaunter. 

Diaorang ni memang sangat laju berjalan dan nampak sangat terlalu sibuk dan sangat suka menggunakan perkhidmatan awam. Kata uncle, tension kerja di Jepun, selagi bos tak balik, selagi tu la orang Jepun tak balik rumah. Gaji sehari memang lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi banyak cukai yang kena bayar. Sangat..sangat sukar untuk melihat pekerja Bangla, Indon atau negara lain bekerja di Jepun. Semua kerja diisi sendiri oleh orang Jepun sendiri daripada kerja kat toilet, guard, buat jalan, pelayan restoran sampai la kepada pegawai tinggi. Hormat dan profesionalnya mereka sangat tinggi. 

Pendidikan di Jepun sangat-sangat berbeza berbanding di Malaysia yang mementingkan peperiksaan. Diaorang ada gak exam tetapi markah bukan penentu utama samaada pelajar ini bijak atau lemah. Semua pelajar dianggap hebat, dilayan dengan baik, tiada istilah lemah. Ibu-bapa dimestikan bekerjasama dan terlibat secara langsung dengan sekolah, sampaikan setiap minggu dimestikan ibu bapa jaga lalu lintas depan sekolah. Setiap petang wajib ikuti kokurikulum secara serius dan profesional, student akan balik hampir malam. Patut la Jepun ni ramai melahirkan jaguh sukan dunia.

Tengah syok bersembang, tiba-tiba ada penumpang sebelah mintak tolong senyap sebab dia tak boleh nak tidur. Ok, no problem, perbualan pun tiba-tiba terhenti sampai turun KL jam 6.00 pagi.

Alhamdulillah Mission Accomplished Jumpa lagi pengembaraan seterusnya.

No comments:

Post a Comment