30 January, 2020

GUNUNG SILIPAT BETONG THAILAND : Lautan Awan Putih yang di viralkan. Jangan lupa berkunjung ke THE SEA OF MIST I-YERWENG dan AIR TERJUN NAMTOK CHALOEM PHRA KIAT ROR 9

Januari 2020
Sebelum tu...saksikan video pengalaman kami di gunung Silipat ....



Ini pakej yang kami ikut :
  • Organizer : Manjung Outdoor & Recreation Station & Naz Outdoor Adventure
  • Harga Pakej : RM 170 - Termasuk local guide, powil, campsite, BBQ dinner dan sarapan. Konsep : Bawa kereta masuk Betong ( Carpool )


Agak ragu-ragu juga masuk Betong, lebih-lebih lagi, pertama kali menggunakan kereta sendiri. Pernah pada tahun 2014, berlaku letupan bom kereta di luar hotel Holiday Hill di kawasan pelancongan bandar Betong yang mengorbankan 2 nyawa dan 36 orang cedera sehinggakan kerajaan Malaysia melarang rakyat Malaysia untuk masuk sempadan buat sementara waktu. 



Selepas diyakinkan, saya menguatkan jiwa dan bertawakal untuk meneruskan ekspedisi. Namun begitu, risiko tetap ada, tak wajib pun tetapi sebagai langkah berjaga-jaga perlu ada, macam biasa, saya beli takaful perjalanan pakej sederhana murah berharga RM 36 daripada Etiqa Trip Care 360.




Proses kalau nak bawa kereta sendiri ke sempadan Thailand, berdasarkan pengalaman sendiri. Kalau nak tambahan info, baca pengalaman orang lain gak ye.
  • Insurans kereta : Saya beli kat kawasan tempat tinggal saya je beberapa hari sebelum pergi. Boleh juga beli dekat sempadan, cuma takut, kalau ramai orang, nanti banyak masa terbuang. Sediakan Geran Kereta original (kalau kereta dah abis bayar) dan Pasport. Ada orang kata, kalau Salinan Geran kena dapatkan pengesahan balai polis dan ada yang kata tak perlu. Sorry, takde pengalaman. Kalau bawa kereta orang, sebagai tambahan kena buat surat kebenaran dan ditandatangani oleh pemilik kereta.

  • Kemudian pekerja insurans akan uruskan semua dan kita duduk diam dan bersedia untuk keluar duit je. Jangan lupa, bagitau kat pekerja tu jumlah penumpang dalam kereta kita. Bila dah selesai, pekerja akan beri kita kontrak insurans yang telah di print. Biasanya beri juga  2 jenis borang iaitu borang untuk pemandu kereta dan borang keluar masuk border yang perlu diisi setiap orang. Kalau nak diaorang tolong isikan semua borang akan dikenakan charge. So semua sekali untuk urusan insurans dan borang, kosnya sebanyak RM 25.
  • Pastikan bawa semua dokumen iaitu pasport, geran kereta, insurans Thailand, borang pemilik kenderan dan kad border masuk-keluar yang telah diisi semasa masuk sempadan.

☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺

Kami bermalam di hotel bajet di Pengkalan Hulu, Perak dengan RM 75 semalam, kalau kongsi-kongsi, lagi jimat. Paginya, jangan lupa isi minyak penuh di Pengkalan Hulu, sebab minyak di Thailand mahal. Jam 9.00 pagi, dengan 5 buah kereta seramai 20 orang, kami memulakan perjalanan memasuki border dengan rasa teruja dan sedikit gementar sebab baru first time bawa masuk kereta.
Mula-mula, kami memasuki lorong kaunter Imigresen Malaysia, tidak perlu keluar kereta, hanya serahkan semua pasport kepada pegawai Imigresen. Selepas di cop, kereta kami bergerak dan melalui roadblock imigresen, pastu bersedia la untuk ditanya berkaitan pasport atau geran kereta atau suka hati pegawai tu le nak tanya apa.

Sampai dah sempadan. Sapa-sapa yang tak buat lagi insurans kenderaan ke Thailand, boleh buat di sini dulu. Kedai makan pun ada dan ada beberapa juga bangunan perniagaan. Dah settle semua, kita masuk bangunan Imigresen Thailand. Parking kereta dulu, semua orang perlu turun menuju ke kaunter Imigresen Betong. 


Sapa-sapa yang tak isi borang masuk kereta dan kad masuk-keluar border, boleh ambil di sini. Kalau nak mintak pekerja Thailand tu isi, kena bayar sikit antara RM 2- RM 4 seorang. Saya dah buat semua borang tu siap-siap sebelum pergi, so jimat le masa daripada beratur panjang.

Bila dah selesai urusan borang, jalan kaki sikit dan pergi ke kaunter Imigresen Betong. Ramai sangat orang, kena beratur panjang. Serahkan pasport, borang untuk masuk kereta dan kad masuk-keluar border di kaunter, seterusnya scan 10 jari dan settle. 

Yahooooo....dah boleh bawa kereta masuk Betong dengan hati yang tenang. 




LOKASI PERTAMA : THE SEA OF MIST @ I-YERWENG

Jalan utamanya memang cantik melalui jalan berbukit yang bersimpang siur, melalui perkampungan kecil dan disajikan pemandangan hijau hutan serta kebun-kebun getah. Ada beberapa roadblock tentera yang perlu dilalui dan pastikan pakai seat belt. 

Sekitar 1 jam, kami sampai di simpang masuk ke Sea of Mist I-Yerweng, lebih kurang 15 minit lagi perjalanan, melalui jalan tar dan simen yang sempit, berbukit, curam dan selekoh yang tajam. Kiri kanan jalan, dihiasi dengan pokok getah dan kawasan pedalaman. 

Jarak perjalanan keseluruhan dari Betong lebih kurang 40 km. Parking sunyi sepi sebab kami sampai pun dah tengahari. Biasanya waktu awal pagi atau selepas subuh, ramai orang kat sini, sangat meriah, gerai jualan pun banyak, sebab tarikan utama di sini nak tengok pemandangan lautan awan karpet. 


Ermmm, disebabkan kami sampai lewat, sekadar tengok pemandangan je le. Nak naik ke kawasan port untuk lihat pemandangan, perlu jalan kaki lebih kurang 15 minit. Kalau tak larat nak jalan kaki, boleh naik motor penduduk tempatan dengan bayaran tertentu. Murah je, nanti diaorang akan bawa kita naik atas.


Sampai di viewpoint setinggi sekitar 330 kaki. Kami disajikan pemandangan 360 darjah yang indah dikelilingi bukit-bukit dengan kehijauan hutan dan rimbunan pokok-pokok getah. Sinaran matahari yang terik dengan kepulan awan nipis menghiasai langit biru. Kalau waktu pagi ni, mesti sangat menakjubkan apabila melihat lautan awan karpet sambil melihat matahari terbit. Disebabkan orang tak ramai, kami bebas mengambil gambar di mana-mana sudut dan ceruk.






LOKASI KEDUA : GUNUNG SILIPAT

Gunung Silipat, walaupun dengan ketinggian 670 meter, sudah menjadi popular kepada pendaki dan pencinta alam terutama di Malaysia dan Thailand. Tidak putus-putus orang datang. Sehinggakan diaorang dah bahagi-bahagikan hari apa yang digalakkan orang Malaysia datang dan ada hari tertentu digalakkan untuk orang Thailand.

Gunung ini sangat sesuai untuk beginner, tidak perlu mendaki terlalu teruk, namun begitu, jangan diambil mudah sebab ada juga cabaran dan bahayanya. Bagi orang yang dah biasa mendaki gunung-gunung yang ekstrim di Malaysia atau negara lain, mungkin mereka akan rasa kurang mencabar tetapi ekstrim atau tidak ekstrim, itu bukan isu. Bagi kami, apa yang penting, aktiviti mendaki untuk melihat keindahan ciptaan Allah dan mendekatkan diri  kepada Allah.

Kami yang bawa kereta ni, parking kat tepi jalan je di starting point. Sementara menunggu kenderaan powil, kami melepak dulu di restoran untuk makan tengahari sambil bersembang-sembang dan berkenalan dengan lebih rapat. Maklum la, kebanyakan team kami baru first time jumpa, tak kenal pun tetapi team gunung ni lain le, biasanya cepat mesra walaupun baru bertemu. Sebelah restoran ni ada kedai menjual pakaian hiking, kecil-kecilan je tetapi terpedaya gak kami untuk membeli sebab lebih murah dari Malaysia.



Lebih kurang jam 2.30 petang, powil pun datang untuk mengangkut kami. Perjalanan memang menyenakkan perut dan bersesak-sesak. Musim kering ni, jalan tanah merah pun tak becak, sedikit berbonggol dan berlubang yang menyebabkan powil terhoyong hayang sehinggakan kami terjerit-jerit teruja. Pemandangan sepanjang perjalanan, hampir 100% adalah ladang pokok getah. Setelah 30 minit perjalanan, kami pun tiba di last point untuk powil bergerak. Lega dah sampai.





Selepas turun dari powil, bermula la 30 - 45 minit, trekking dan pendakian yang santai, trek gambut yang bercampur-campur daun pokok getah kering yang. Trek memang jelas dan tidak ekstrim. Trek menaik takde le sampai tahap curam dan mencanak tetapi kadang-kadang tu penat gak. Pemandangan hanya dikelilingi pokok-pokok getah. Hutan pun tak nampak lagi. Memang trekking hutan pokok getah je. 










Alhamdulillah sampai di Kem Gunung Silipat. Difahamkan, malam ni, ada lebih kurang 90 orang dan majoritinya orang Malaysia yang akan bermalam di kem. Wow, semua khemah dah tersedia dan dah tersusun dengan sistematik. Tinggal masuk dan baring je di dalam khemah yang dah dilapik dengan tikar. 




Kat kem ni pun dikelilingi dengan pokok getah. Ada kemudahan toilet dan bekalan air yang mencukupi. Time kami ni takde pulak kena bayar 10 bath, sebelum-sebelum ni diaorang kata kena bayar. Di sini juga ada kedai runcit yang menjual pelbagai minuman sejuk, air panas, maggi dan baju.



Masa di Thailand adalah awal 1 jam dari Malaysia. Jam 6.30 petang dah Maghrib. Sebelum maghrib, kami cepat-cepat naik puncak gunung Silipat. 15 minit je dah sampai puncak. Walaupun 15 minit, treknya agak curam, berbatu seperti melalui permatang. Di kiri kanan, pemandangan memang menakjubkan. Tiba di puncak, pemandangan 360 darjah cukup mempersonakan. Pemandangan bukit-bukit yang dirimbuni dengan pokok-pokok getah dan hutan. Hampir 100 orang duduk, berdiri, termenung di tepi batu, ber times-lap, berselfie, bergambar dan menyaksikan  matahari terbenam.




Sebelum gelap, kami pun cepat-cepat turun ke kem untuk berehat, bersolah dan menguruskan keperluan sendiri. Pakej makan malam nasi bungkus telah disediakan oleh guide. Ouhhh ada extra BBQ hot dog dan meat ball, kenyang betul malam ni.Aduhhh..kena serangan kumbang riang-riang pulok, berdesing satu kem, terjerit-jerit kami dibuatnya bila jatuh kat tempat kami makan. Lawak pun ada.

Kalau ada mod, boleh le panjat lagi ke puncak untuk menyaksikan star gazing. Subhanallah, pemandangan 360 darjah di langit yang diterangi jutaan bintang yang cukup mengagumkan. 

Kedengaran azan subuh sayup-sayup. Kami solah terlebih dahulu, kemudian menuju terus ke puncak Silipat. Angin sejuk yang tidak berhenti henti cukup menenangkan dan mendamaikan. Hampir 100 orang sudah berada di puncak menyaksikan matahari terbit. Cukup meriah dengan pelbagai ragam. 

Pada masa ini, bermula lah keajaiban alam yang selalu di viral-viralkan di mana-mana facebook, instagram dan whatsaap yang menyebabkan ramai orang terpegun, teruja dan terpesona. Lautan awan putih gebu yang tebal mula bergerak perlahan dengan ditiupi angin sejuk mula menjalar, memenuhi dan menutupi pemandangan bukit-bukit sekitarnya. Matahari mula menampakkan sinarnya menyinari dan menembusi awan-awan tebal sehingga membentuk warna alam yang cukup indah. Maha Suci Allah.









Happening betul bila guide mula membakar roti dan memasak air untuk sarapan kami semua di atas puncak. Makan roti bakar dan minum milo panas sambil menyaksikan pemandangan, ouhhhhh....best nya... Memang berebut-rebut orang mencari port terbaik untuk bergambar dengan suasana riuh yang tak henti-henti. 




Setelah puas di puncak, kami pun mula turun dan kemaskan beg. Kemudian bergerak meninggalkan kem. Trek pun menurun je, kejap je dah sampai ke tempat menunggu powil. Powil pun bergerak membawa orang sampai ke bawah tetapi saya rasa macam tak puas pulak, so saya and the gang, turun jalan kaki je le sampai ke starting point. Berjalan 45 minit dah sampai. Baru rasa peluh dan kepuasan maksimum.Sampai di Starting Point, kami makan tengahari dulu dan rehatkan badan.



LOKASI 3 : 
AIR TERJUN NAMTOK CHALOEM PHRA KIAT ROR 9

Selepas makan tengahari, kami pun bergerak dengan kereta menuju air terjun. Jalan sempit dan naik bukit. 30 minit dah sampai. Parking pun agak sempit. Kami perlu berjalan lebih kurang 300 meter di tepi sungai yang dikelilingi hutan. 



Tingginya.... air terjun dan dikatakan setinggi 30 meter. Pemandangan air terjun yang cukup mengagumkan. Air yang jatuh dari ketinggian 30 meter cukup deras dan agak menakutkan. Air sungainya yang agak keruh membuatkan ada keraguan samaada nak mandi atau tidak. Jangan lupa bergambar, banyak port yang menarik berlatarbelakangkan air terjun yang menakjubkan.





2 comments:

  1. chantek gmbr2 kat siam nih., ;p

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih...Dipersilakan Subscribe Channel saya : This is Haizan

      Delete