17 November, 2019

GUNUNG BATU PUTIH, TAPAH PERAK : Walaupun Puncak Ke - 8 Tertinggi di Semenanjung Malaysia Tetapi Cabarannya Tetap Hardcore

NOVEMBER 2019




Walaupun Gunung Batu Putih ini ke-8 tertinggi di Semenanjung Malaysia tetapi boleh tahan 'hardcore' dan 'extreme'nya. Walaupun ada yang mendaki secara 'dayhike' dan 2 hari 1 malam tetapi TIDAK bermakna kita juga mampu lakukan seperti itu. Kami merupakan team terakhir masuk ke gunung Batu Putih kerana selepas itu, semua hutan ditutup disebabkan musim tengkujuh. Ikuti pengalaman pengembaraan kami, apabila perancangan asalnya 2 hari 1 malam telah gagal dan terpaksa menamatkan misi 3 hari 2 malam.

INTRO

Nama Gunung : Gunung Batu Putih, ketinggian 2,132 meter.      Lokasi: Tapah, Perak
Reputasi : Gunung ke-8 tertinggi di Semenanjung Malaysia

Jarak keseluruhan naik dan turun : Anggaran 15 km
Kekuatan : 15 orang ( 9 perempuan, 6 lelaki) diketuai guide Tawau 

Pakej : RM 100 seorang (upah guide, permit, fly & ground dan ration makanan)

PERJALANAN HARI 1

Bertolak dari rumah lagi, hati rasa tak berapa sedap. Ada rasa khuatir, takut berlaku sesuatu yang di luar jangka. Ditambah lagi dengan berita kemalangan di gunung Batu Putih sepanjang tahun 2019 yang tidak berapa menyeronokkkan. Ada berita tentang pendaki yang patah kaki dan terpaksa diselamatkan dengan helikopter. Ada juga berita sekumpulan pendaki sesat dan pendaki yang tersangkut ketika menyeberang sungai Y disebabkan kepala air.

Kami bermalam di Rumah Rehat Tapah di Pekan Tapah. Harga 1 bilik family lebih kurang RM 100. Biliknya luas dan boleh muat ramai orang tetapi tidur kat lantai je la. 

HARI 2
STARTING POINT 
KAMPUNG AMPANG BESAR, HUTAN LIPUR KUALA WOH

Kat Pekan Tapah ni, banyak gerai makan, so untuk sarapan dan tapau makan tengahari, takde masalah. Selepas sarapan, kami meneruskan perjalanan melalui jalan lama Cameron Highland sejauh lebih kurang 22 km menuju Hutan Rekreasi Kuala Woh. Kami melepasi Hutan Rekreasi Kuala Woh, jangan berhenti kat sini pulak, jalan lagi ke depan, jauh lagi. Kita akan melepasi Stesen Hydroelectric TNB, kemudian beberapa perkampungan orang asli. Jalan elok tetapi semakin lama semakin sempit yang kadang-kadang boleh muat satu kereta sahaja.

Sampai dah di penghujung jalan dan di sini lah Starting Point Gunung Batu Putih. Dikelilingi hutan dan bunyi deruan sungai yang deras. Kenderaan pun boleh parking kat sini. Macam biasa, dengar dulu taklimat guide, bersenam dan bacaan doa semoga perjalanan pergi dan balik selamat.


STARTING POINT KE CHECKPOINT BALAK 1 
( hampir 3 jam)

Jam 9.45 pagi, kami memulakan perjalanan dan di awal perjalanan, kami melalui kampung orang Asli yang klasik dengan rumah bertiang diperbuat kayu dan buluh. Salakan anjing pun semakin ganas apabila kami melintasi rumah-rumah mereka. 

Perjalanan adalah santai, jalan yang banyak landai dan banyak melalui laluan berhampiran sungai yang luas dan deras. Ada juga melalui lereng-lereng batu tepi sungai dan perlu berhati-hati takut tergelincir. Kaki pun dah ada rasa geli-geli ni, tau dah, kena gigit pacat la ni.
 


Jam 10.45 pagi, setelah 1 jam perjalanan, kami tiba di Sungai Y. Cabaran bermula apabila kami perlu menyeberang sungai yang agak deras, luas dan dalam. Gelaran sungai ni dipanggil Sungai Y di mana pertembungan Sungai Telom dan Sungai Woh. Memang nampak, usaha guide ke hulu ke hilir mencari laluan menyeberang yang lebih selamat. Beg yang berat memang menyukarkan pergerakan. Kami perlu sangat berhati-hati, jika tidak, boleh dihanyutkan arus. Banyak gak masa yang diambil lebih kurang 30 minit semasa menyeberang sungai untuk pastikan semuanya selamat.





11.15 pagi, kami meneruskan perjalanan dengan bermulanya aktiviti mendaki yang terus terusan menaik. Jalan tanah gambut dan laluan berakar yang agak licin dan becak. Kami tiba di checkpoint Balak 1 jam 12.30 tengahari (1 jam 15 minit). Ada sungai kecil di sini dan sudah pasti pacat pun ada. Makan tengahari dulu dan berehat menghilangkan penat.












   
KEM BALAK 1 KE KEM BALAK 2 
(2 jam 45 minit)

Kami meneruskan pendakian dengan laluan yang menaik dan terus menaik. Laluan yang masih ok, kurang mencabar dan kurang bahaya. Cuaca yang mendung tadi, akhirnya hujan turun agak lebat. Ada juga dentuman guruh. Laluan pun semakin becak dan licin. 

Kami berjaya sampai di checkpoint Balak 2, jam 3.40 petang . Kami berhenti rehat di sini. Kawasan Balak 2 ini agak luas, boleh masuk sekitar 80 orang dan biasanya kalau trip santai, diaorang akan bermalam sahaja di Kem Balak 2.

KEM BALAK 2 KE GUA AZAN 
( 2 jam 30 minit)

Jam 3.45 petang kami meneruskan pendakian dari Balak 2 dan menuju ke Gua Azan. Laluan pun masih sama, banyak trek menaik. Tak banyak laluan yang mendatar dan menurun. Banyak gak pokok-pokok buluh, pokok berduri dan pokok-pokok balak sepanjang laluan.





Kami sampai di persimpangan Gua Azan dan untuk sampai ke Gua Azan, kami perlu turun bukit. Disebabkan hujan yang masih turun, trek pun licin, ada gak ahli kami yang tersembam. Jam 6.15 petang, kami tiba di Gua Azan setelah 8 jam 30 minit mendaki dari Starting Point. 

Tak sangka pulak di tengah-tengah hutan yang tebal, tiba-tiba ada pulak gua yang besar dan luas serta boleh dijadikan tempat berteduh dan bermalam. Kami pasang khemah, fly dan ground dengan beratapkan syiling gua. Jadi, Alhamdulillah tak kena hujan. Tepi gua adalah kawasan curam dan licin. Ianya sangat bahaya jika terleka. Dihadapan gua adalah terbuka dan boleh nampak hutan tebal. Cuma serangga agas banyak sangat kat sini. Bila kena gigit tu memang sangat gatal dan boleh bengkak dibuatnya. Masa ni, ubat nyamuk sangat penting.

Di Gua Azan terdapat water point, kena turun sikit lebih kurang 10 minit, ada aliran air yang sejuk dan agak laju yang keluar dari celah-celah gua. Boleh la nak bersihkan badan, ambil wuduk dan guna air tersebut untuk tujuan memasak. Selepas makan malam, kami pun mula bersiap-siap nak tidur. Memang kawasan gua yang tidak rata, sangat tidak selesa untuk tidur. Suhu pun biasa-biasa je, takde la sejuk sangat. Macam-macam bunyi pelik binatang kedengaran di sekitar kepekatan malam hutan tebal. Takpe la hiburan di malam hari. Hujan masih turun. Risau gak nak tidur ni, sebab biasa la kat gua ni macam-macam serangga dan haiwan berbisa boleh mengacau kita.

HARI KE-3
GUA AZAN KE PUNCAK BATU KAK (1,440 meter)  
1 jam 30 minit

Jam 5.00 pagi, kami pun memulakan pendakian. Guna beg kecil je. Laluan kali ini lebih mencabar. Ada yang mencanak sehingga 90 darjah. Ada laluan 80 - 90 darjah yang memerlukan kami menggunakan tangga dan tali yang disediakan. Kami perlu berhati-hati ketika melalui laluan lereng-lereng gunung dengan cerun yang curam. 

Selepas melalui halangan ini, akhirnya kami sampai ke puncak Batu Kak. Kami cepat-cepat solah subuh di sini. Pemandangan adalah 180 darjah yang menakjubkan. Boleh nampak pemandangan gunung-gunung sekitar dan boleh nampak puncak gunung Batu Putih yang nun jauh di sana. Terasa angin sejuk membawa awan tebal dan sekelip mata menutupi pemandangan gunung sekitar.








PUNCAK BATU KAK ke LAST WATER POINT AIR TERJUN TERBUNUH ke PUNCAK BATU PUTIH 
4 jam mendaki

Jam 7.00 pagi kami meneruskan pendakian dari puncak Batu KAK. Trek memang terus menaik. Hutan yang di selaputi kabus tebal. Awan masih mendung menyebabkan hutan terasa kelam, lembap dan seram sejuk seperti filem seram. Trek yang lembap dan becak. Beberapa kali melalui permatang dan puncak tipu. Lumut-lumut hijau mula banyak menyelimuti dahan-dahan dan akar-akar kayu.




Kami berehat sebentar di water point terakhir jam 8.40 pagi setelah 1 jam 40 minit mendaki. Kalau nak tengok Air Terjun Terbunuh kena turun kat bawah. Kemudian, kami meneruskan perjalanan, ada 1 jam lagi untuk sampai ke puncak. Kali ini pemandangan hutan lumutnya cukup cantik dan menakjubkan. Beberapa kali kami berhenti untuk mengambil gambar.








Alhamdulillah kami sampai di Puncak Gunung Batu Putih jam 11.00 pagi setelah 6 jam mendaki dari Gua Azan. Ada Beirut di sini sebagai mercu tanda puncak gunung Batu Putih. Puncaknya luas dan boleh memuatkan 40-50 orang. Dikelilingi dengan pokok bonsai dan pokok renek menyebabkan sukar untuk melihat pemandangan di atas puncak. Suhunya nyaman dan berubah-ubah.

Disebabkan kami menyasarkan untuk sampai ke starting point sebelum jam 7.00 petang, selepas 1 jam berehat dan mengambil gambar, kami pun turun dari puncak jam 11.40 pagi melalui laluan yang sama. Kali ini trek banyak menurun je.Semasa menuruni puncak, seorang ahli kami, injured tetapi masih boleh berjalan dengan perlahan. Kami sampai di Gua Azan jam 3.15 petang setelah 3 jam 30 minit turun dari puncak Batu Putih. Makan tengahari dulu dan mengemas apa-apa yang patut. Setelah hampir 1 jam kami sampai di Gua Azan, team terakhir yang menemani peserta yang injured pun sampai.





Jam 4.30 petang, kami pun memulakan perjalanan turun dari Gua Azan. Laluan pun banyak menurun. Cuaca pun elok. Jalan pun elok, tak becak dan tak licin. Ahli kami yang injured semakin teruk dan semakin sukar untuk berjalan. Kami perlu bekerjasama, sentiasa memotivasikannya dan membantu sedaya mungkin agar dia sentiasa kekal bersemangat untuk meneruskan perjalanan walaupun berjalan setapak dan setapak.

Jam 1.30 pagi, akhirnya kami tiba di checkpoint Balak 1. Memandangkan dah lewat, kami bermalam dulu di Balak 1 untuk recovery badan dan melelapkan mata. Serangan agas dan nyamuk yang menggila memang sangat mengganggu sehingga bengkak-bengkak muka. Ditambah lagi dengan pacat yang tak henti-henti mencari port untuk digigit. Hujan lebat malam ni. Wow, banyak dugaan tetapi kami berusaha untuk menempuh dengan sabar.

HARI KE-4
BALAK 1 - STARTING POINT

Ahli kami yang injured masih tiada perubahan, nampak semakin teruk.Kami terpaksa meneruskan perjalanan selepas subuh kerana dah takde bekalan makanan dan rasa khuatir hujan lagi dan takut berlaku kepala air di sungai. Perjalanan sangat perlahan, kami cuba habis-habisan membantu ahli kami. Apabila sampai di sungai utama, nampaknya air agak dalam dan deras. Kami berdoa agar semuanya selamat melintasi sungai terutama ahli yang injured dan Alhamdulillah semua berjaya. Perjalanan seterusnya melalui trek tepi-tepi sungai. Kami perlu bersabar membantu ahli yang cedera dan semakin lemah. Akhirnya jam 10.45 pagi, kami semua berjaya sampai ke starting point. Syukur Alhamdulillah.
Tidak dinafikan, banyak cabaran dalam trip kali ini. Terutama bila ada peserta yang injured. Kami tidak mengeluh sikit pun sebab kecederaan boleh berlaku kepada sesiapa. Apa yang penting, jangan pentingkan diri sendiri, sama-sama bersabar tanpa mengeluh, saling bermotivasi sesama ahli untuk teruskan sehingga tamat, bekerjasama pada tahap yang luar biasa dan sentiasa berdoa tanpa henti memohon diberi kekuatan luar biasa untuk sampai ke starting point. Syukur, ini lah pengajaran dan nilai yang cukup hebat yang kami perolehi pada trip kali ini. Pasti nilai dan pengalaman ini tidak mungkin boleh dipelajari di dalam kelas.

Jumpa lagi pengembaraan seterusnya
MISSION ACCOMPLISHED