14 November, 2022

GUNUNG KINABALU : FERRATA WALK THE TORQ

 OGOS 2022

HARI PERTAMA

    Sejurus kami tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, kami diraikan oleh wakil Ohana dan kami bergerak menaiki van menuju ke Kinabalu Park. Setalah dua jam, kami tiba di Kinabalu Park untuk tujuan pendaftaran. Selesai urusan pendaftaran, kami bergerak ke lokasi penginapan yang berdekatan. Kami menginap di Mile 36 Lodge. Suasananya seperti homestay. Makan malam pun disediakan oleh wakil Ohana. Selepas makan malam, kami berkumpul untuk sesi berkenalan dan taklimat pendakian daripada wakil Ohana.

HARI KEDUA

    Jam 7.00 pagi, kami sudah berada di Kinabalu Park. Wakil Ohana menyerahkan name tag dan menguruskan timbangan barang-barang yang ingin di bawa oleh porter. Selesai urusan di Kinabalu Park, kami menaiki van menuju ke Timpohon Gate. Perjalanan pun tidak lama sekitar 15 - 20 minit. Dua orang guide memberi taklimat terlebih dahulu. Kemudian, kami mendaftar nama di kaunter Timpohon Gate. Setelah selesai semua urusan, jam 8.20 pagi kami memulakan langkah pendakian.




    Cuaca masih elok tetapi agak mendung. Trek dan tumbuh-tumbuhan hutan masih basah disebabkan hujan malam tadi. Trek pendakian yang bertangga dan terus-terusan menaik. Kecuraman yang berbeza-beza. Saya hanya jalan secara santai sahaja sambil menikmati udara segar, keindahan rimbunan kehijauan pepohonan. Ramai porter yang sudah lalu lalang memikul barang-barang yang besar dan berat. Saya sudah berjaya melewati empat pondok dan kadang-kadang sekumpulan tupai Kinabalu yang jinak mula keluar mencari makanan sekitar pondok. 




    Saya tiba di kilometer 4 dan berehat sebentar di pondok Layang-layang pada jam 11.35 pagi. Ramai pendaki, guide dan porter berhenti di sini untuk makan tengah hari. Setelah hilang lelah dan kembali bertenaga, saya meneruskan pendakian. Trek kali ini berbatu, curam dan lebih mencabar. Agak memenatkan dan menyakitkan kaki. Pemandangan telah bertukar kepada pokok-pokok renek dan bonsai. Sudah boleh kelihatan awan-awan putih bertompok-tompok di sebalik langit yang biru. Hembusan angin semakin kerap bertiup membawa sekali kedinginan Kinabalu. Pendaki-pendaki dari atas semakin ramai berselisih menuruni trek.




    Pada jam 2.40 petang, setelah 7 jam mendaki secara santai, saya berjaya sampai di mercu tanda Panalaban. Setelah mengambil gambar, saya meneruskan langkah menaiki tangga menuju ke Pendant Hut yang merupakan penginapan paling atas sekali dan biasanya diduduki oleh pendaki yang mengambil pakej Ferrata. Di sini, ketinggiannya ialah 3,280 meter. Bilik luas tetapi berkongsi banyak katil single double decker. Tandas juga berkongsi. 




Tepat jam 4.00 petang, semua pendaki berkumpul di ruang tamu Pendant Hut untuk mendengar taklimat Ferrata. Pendaki yang mengambil pakej Ferrata memang dimestikan mendengar taklimat ini. Jika gagal menghadiri taklimat pada jam 4.00 petang maka penganjur tidak membenarkan pendaki tersebut membuat aktiviti Ferrata.

Aktiviti pakej Ferrata yang disediakan oleh Pendant Hut terbahagi kepada dua iaitu :

Pakej 1 : Low’s Peak Circuit 

  • Harga pakej : RM 1,020
  • Jarak perjalanan : 1.1 - 1.3 kilometer
  • Tempoh masa diperlukan untuk menyelesaikan aktiviti Ferrata : 3 - 4 jam
  • Titik paling tinggi : 3,776 meter dan dinobatkan sebagai World’s Highest Ferrata oleh Guiness World Records.
  • Tahap kesukaran : agak sukar. (French Grading)
  • Sekurang-kurangnya berumur 17 tahun ke atas dan mempunyai tahap stamina yang tinggi.

Pakej 2 : Walk The Torq

  •  Harga pakej : RM 760
  • Jarak perjalanan : 380 - 390 meter
  • Tempoh masa diperlukan untuk menyelesaikan aktiviti Ferrata : 1 - 2 jam
  • Titik paling tinggi : 3,520 meter.
  • Tahap kesukaran : mudah. (French Grading)
  • Sekurang-kurangnya berumur 10 tahun ke atas dengan ketinggian 1.3 meter

Peraturan yang perlu diketahui dan dipatuhi :

  • Tidak dibenarkan memakai selipar, sandal atau kasut getah yang murah seperti yang dipakai oleh kebanyakan porter.
  • Setiap pendaki wajib ikuti had masa (cut off time) yang ditetapkan di lokasi checkpoint yang ditetapkan :
  • Pakej Low’s Peak Circuit : Cut off time di meeting point : 6.30 pagi. Meeting location : Papan tanda di kilometer 7.5.
  • Pakej Walk The Torq : Cut off time di meeting point : 7.15 pagi. Meeting location : Pondok Sayat-Sayat di kilometer tujuh. 
  • Jika pendaki gagal sampai pada waktu cut off time 6.30 pagi atau 7.15 pagi di lokasi yang ditetapkan maka wang pembayaran tidak akan dikembalikan.
  • Jika berlaku penutupan trek pada esok pagi disebabkan hujan lebat atau bencana alam, Ferrata akan dibatalkan dan wang pembayaran tidak dikembalikan.
  • Jika pendaki gagal untuk mendaki esok pagi disebabkan kecederaan, tidak sihat dan seumpamanya, wang pembayaran juga tidak dikembalikan.

    Selepas mendengar taklimat, saya menjamu selera di Laban Rata Resthouse. Hujan semakin lebat dan cuaca juga semakin sejuk. Saya duduk di tepi tingkap berkaca. Sambil menikmati makanan, sambil melihat pemandangan matahari terbenam yang begitu indah. Selepas makan malam, saya kembali ke Pendant Hut dan berehat mengumpul tenaga untuk pendakian ke puncak pada keesokan harinya.



HARI KETIGA

    Jam 2.00 pagi, selepas alas perut dengan roti dan air teh panas, kami memulakan pendakian ke puncak. Syukur, cuaca baik. Namun kabus tebal dan cuaca begitu sejuk. Awal pendakian, saya hanya memijak tangga kayu bertingkat yang agak curam. Pada jam 3.40 pagi, saya sampai di pondok Sayat-Sayat. Selepas daftarkan nama di kaunter, saya meneruskan pendakian. Kali ini laluannya sudah tiada tangga. Semuanya laluan berbatu yang curam dan licin. Sudah tiada pokok-pokok renek, hanya lumut. Udara begitu sejuk sehingga menyukarkan untuk bernafas dengan sempurna.

    Saya tiba di kilometer 8 pada ketinggian 3,929 meter. Berehat sebentar untuk menunaikan solat Subuh. Selesai solat, saya meneruskan pendakian, memanjat batu-batu besar. Akhirnya jam 5.50 pagi, saya berjaya sampai di puncak Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095 meter. Pemandangan puncak 360 darjah yang begitu menakjubkan. Saya sempat melihat keindahan matahari terbit yang memancarkan cahaya-cahaya merah keorenan. Pemandangan jurang, gaung dan lereng yang menakjubkan dan kadang-kadang menakutkan.





    Saya tidak boleh lama di puncak kerana perlu turun segera ke pondok Sayat-Sayat sebelum jam 7.00 pagi untuk aktiviti Ferrata Walk The Torq. Menuruni trek lebih mudah tetapi lebih berisiko dan menyakitkan otot-otot kaki kerana terlalu banyak membrek. Kesilapan boleh tergelincir dan mengakibatkan kecederaan. Saya terpaksa melajukan langkah, khuatir tidak sempat sampai sebelum jam 7.00 pagi.


    Alhamdulillah, sampai juga di pondok Sayat-Sayat jam 6.50 pagi. Staf Ferrata pun sudah menunggu. Ada pendaki yang terlewat sampai. Penganjur terpaksa membatalkan penyertaan mereka kerana tidak menepati cut off time iaitu sebelum jam 7.00 pagi. Setelah saya dipasangkan segala kelengkapan Ferrata dan memakai topi keselamatan, trainer membawa saya ke starting point Ferrata Walk The Torq. Meredah trek yang sedikit berbeza iaitu melalui rimbunan pokok-pokok renek.


    Sebelum memulakan Ferrata, trainer memberikan taklimat secara terperinci terutama berkaitan keselamatan. Selepas tali diikat kemas di pinggang, saya memulakan dengan berjalan dan memijak setiap tangga besi yang ditebuk kukuh di tebing gunung yang curam. Saya juga teruja ketika meniti jambatan daripada wayar dipanggil 2-wire bridge kemudian memanjat tangga curam 90 darjah dipanggil Rogimut Ladder. Pemandangan dari tebing ini begitu indah. Lautan awan putih gebu berkepul-kepul seperti karpet. Angin bertiup sejuk dan tenang. Langit membiru. Kehijauan hutan menghiasi pemandangan di bawah. Apabila mendongak ke atas, jalur-jalur gunung Kinabalu yang berstruktur indah. Saya berjaya menempuh segala cabaran Ferrata Walk The Torq sejauh 380 meter dan mengambil masa 1 jam 35 minit. Kepuasan yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata.







    Selesai Ferrata, saya berjalan melalui trek permatang yang beralun-alun dikelilingi pokok-pokok renek. Menuruni tangga-tangga kayu yang curam sehingga sampai ke Pendant Hut. Saya berehat sebentar dan menikmati makanan yang disediakan oleh Pendant Hut. Jam 11.20 pagi, saya melangkah turun. Kaki sudah terasa sakit dan menyulitkan untuk turun ke bawah terutama jika menempuh trek yang curam dan berbatu. Hujan pun turun dengan lebat. Air hujan mengalir turun seperti aliran sungai yang menyebabkan trek licin dan berbahaya. 




    Akhirnya jam 4.30 petang, saya berjaya sampai di Timpohon Gate dengan selamat. Syukur rezeki yang Allah berikan, dapat sampai ke puncak, dapat melakukan aktiviti Ferrata dan berjaya turun tanpa sebarang kecederaan serius.

No comments: