23 February, 2019

MENEROKA GUA KANDU, ROCK CLIMBING DAN WET ABSEILING DI ULU GERUNTUM : 3+1 Ekstrim di Gopeng Perak...Bukan Biasa-Biasa...

Februari 2019

Jom, saya kongsikan pengalaman yang menakjubkan, hanya di Gopeng Perak.

Team Saya : Hiking & Adventure Club, Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah
Kekuatan : 37 orang :  22 perempuan & 15 lelaki.
Pengendali : KANDU ECO ADVENTURE, Lot 9176, Jalan Jahang, Kampung Jahang, 31600, Gopeng Perak. No Tel : 05-5415029 atau hubungi terus Puan Norhayati bt Yusoff - 016-5389704

Harga Pakej Keseluruhan: RM 180 seorang
Senarai Aktiviti & Kemudahan :
  • Kandu Cave Grand Tour : RM 30
  • Rock Climbing : RM 30
  • Wet Abseiling Ulu Geruntum : RM 80
  • Penginapan Dorm Berkipas : RM 20
  • Sarapan dan Makan Tengahari : RM 15
Perjalanan kami mengambil masa 5 jam dari Alor Setar dan keluar di susur keluar Gopeng. Dari Tol Gopeng, kami ambil jalan ke kiri dan 5 minit sahaja dah sampai kat jalan untuk masuk ke kem. Ouhh, bas kami besar sangat, so tak lepas dengan jalan yang sempit, ada ranting-ranting dan wayar elektrik yang rendah yang menghalang untuk bas masuk jalan tu. Takpe, nanti Kandu Eco Adventure akan sediakan kenderaan untuk hantar ke lokasi. Tak jauh pun, 8 minit sampai, kalau jalan kaki ambik masa lebih kurang 20 minit.







 Kemudian, kami check in di dorm, satu dorm boleh masuk 15 orang, disediakan katil bertingkat dan berkipas. Jam dah dekat 9.15 malam, kami cepat-cepat bersiap untuk buat aktiviti pertama Caving Gua Kandu pada waktu malam.

CAVING GUA KANDU
Kami diberi taklimat keselamatan oleh bos Kandu Eco Adventure, Puan Norhayati, kemudian buat senaman dan taklimat perjalanan daripada guide. Ada 5 guide yang ikut kitaorang. Make sure ada head lamp atau lampu suluh, bawa air minuman 500-600 ml, kasut sukan dan pakaian sukan. Jarang sebenarnya, orang caving malam tetapi kami cuba nak merasai pengalaman dan emosi yang berbeza. Biasanya orang caving waktu siang jer. Ala, siang malam, rasa sama jer sebab dalam gua sentiasa gelap.




Keunikan Gua Kandu :
  • Gua batu kapur berusia 400 juta tahun yang telah membentuk stalagtik dan stalagmit yang cukup menakjubkan. So, tolong jaga alam kita, jangan disentuh dan jangan dirosakkan sebab nak jadi stalagtik-stalagmit dengan panjang 1 cm jer mungkin ambil masa 5 tahun.
  • Gua Kandu juga pernah dijadikan pusat operasi dan pentadbiran tentera Jepun pada zaman 1940-an. Malah ada perancangan untuk jadikan landasan dan tempat simpan kapal terbang tetapi orang kampung yang dikerahkan hanya berjaya siapkan separuh sahaja sebab perang tamat dan Jepun menyerah kalah.
  • Selepas Jepun keluar, komunis pulak ambik alih tempat ni dijadikan tempat berkumpul dan merancang strategi. Geng-geng Chin Peng la ni. Memang ada orang kampung terjumpa senapang, basikal dan macam-macam peralatan peninggalan komunis.
  • Gua semulajadi dan kering, tiada lampu spotlight, tiada jambatan dan trek adalah semulajadi.


Kami memulakan perjalanan daripada kem jam 9.30 malam, melalui kawasan sedikit berbukit hingga sampai di pintu masuk gua. Guide memberi amaran sekali lagi : "jangan cakap besar, jangan sombong, jangan mencarut, jangan cakap bahasa kasar, jangan buat benda tak elok dan jangan ambik sebarang benda dalam gua ni. Sebab dah banyak kejadian, bila terambik sesuatu dalam gua dan dibawa keluar atau cakap benda yang tak elok akan berlaku gangguan daripada makhluk lain. Jadi, berhati-hati dan banyakkan berdoa dan baca surah-surah tertentu. Apa yang penting, jalan berkumpulan dan jangan berpecah untuk elak sesat dan mendapat gangguan." Mula-mula tu agak risau dan sedikit takut, tapi bila dah lama-lama jalan, hilang perasaan tu dan rasa seronok pulak.




Trek Gua Kandu cukup natural, jangan harap ada lampu spotlight atau jalan jambatan seperti di Gua Tempurung. Hanya guna lampu suluh atau head lamp yang menerangi suasana gelap pekat di dalam gua. Ada laluan yang yang luas, laluan yang sempit, laluan yang tidak rata, laluan yang berlubang, laluan yang perlu tundukkan badan atau merangkak atau mencangkung jalan itik, laluan yang curam, laluan yang menaik 70 - 80 darjah, laluan yang menurun, laluan yang perlu guna tali, laluan yang perlu guna tangga, ada laluan yang agak panas dan ada laluan yang agak dingin seperti tiupan angin. Kebanyakan laluan ni sangat berdebu sebab gua kering, jadi elok kena ada penutup hidung. Kadang-kadang, kita akan terasa masuk laluan yang sama jer, yup memang itula keistimewaan Gua Kandu, treknya seperti berpusing dalam satu bulatan yang besar. Hati-hati ye...Kalau tak fokus, boleh menyebabkan jatuh dan cedera, 







Jangan lupa untuk pandang kiri, kanan, atas dan bawah untuk lihat keindahan, kejadian dan ciptaan yang cukup menakjubkan dan mengagumkan dari Tuhan yang Maha Esa. Subhanallah... ratusan juta tahun tau terciptanya kesenian  alam dan dunia gelap gua yang cukup hebat dan mampu mendekatkan diri kita kepada Allah dan merasai kehambaan betapa kerdilnya manusia.







Ouhhh, biasa la kalau aktiviti gua ni, mesti ada aktiviti SENYAP 5 MINIT. Matikan semua lampu dan mulut diam dan jangan ada pergerakan. Yup gelap pekat yang amat sangat, haiii, teringat saat kegelapan di alam kubur nanti. Cuba tajamkan pendengaran, kita akan mendengar dengan jelas titisan-titisan air. Kalau sesat, kita boleh gunakan bunyi titisan air itu sebagai panduan untuk keluar.

Kami sempat bergambar kat dinding-dinding sulfur yang asli, batu-batu besi semulajadi yang beratnya beratus tan, batu yang boleh tembus cahaya, pelbagai rekabentuk batu yang tercipta secara semulajadi yang menyerupai nenek tua bersujud, bentuk telur, ekor ikan, gajah, obor-obor, kepala singa, batu-batu seperti air terjun, dinding langsir, dinding berombak-ombak dan ada batu-batu macam cengkerang. Kadang-kadang ternampak kesan duri landak gua yang baru, nampak lipan gua dan kalau ada rezeki boleh terjumpa rusa dalam gua dan burung yang sensitif dengan cahaya.



  
Jangan lupa untuk ambil gambar, kesan tulisan cina "Long Live Moozitong", ketua komunis yang menjadi idola komunis seluruh dunia ketika itu. 
Pastu ada tulisan bintang tiga di kawasan lapang sebagai bukti bahawa Komunis pernah berada di sini sebagai bilik mesyuarat.
Guide ada bagitau, ada satu kumpulan ambil gambar ramai-ramai di dalam gua dan ternampak ada budak kecil dalam gambar tu. Orang kampung kata, mungkin itu lah Kandu, anak orang asli, yang lari dari rumah kerana dimarahi ibu-bapanya dan telah sesat di Gua Kandu. Sehingga sekarang tak dijumpai. Betul atau tak betul, hanya Allah yang mengetahui. Sekadar dengar cerita jer daripada guide, metos ni pun belum ada pembuktian lagi sebab cerita zaman dahulu.

Setelah 2 jam kami pun berjaya keluar dengan selamat dan menuruni trek berbukit dengan tali dan sampai di kem jam 11.45 malam, lebih kurang 2 jam 15 minit. Apa yang menyedihkan sepanjang perjalanan meneroka gua Kandu, ada banyak gak kesan conteng di dinding gua daripada orang yang tak bertanggungjawab.Memang sangat mencacatkan keindahan. Please jangan buat camtu yer.


ROCK CLIMBING

5 minit je berjalan dari penginapan. Masih dikawasan kem. Guide beri taklimat keselamatan, teknik dan peraturan ketika memanjat serta penggunaan alat keselamatan. Kemudian buat senaman dan terus naik. 

Ketinggian batu bukit ni lebih kurang 20 meter dengan 90 darjah. Tak la mencabar sangat sebab banyak je lekukan atau lubang-lubang yang boleh dipijak dan dipegang. Tak perlu kasut climbing, kasut sukan pun dah memadai. Bila dah sampai puncak, boleh saksikan sebentar pemandangan sekeliling untuk menghilang rasa penat. Berhati-hati gak, boleh menyebabkan luka di jari kalau tak pakai glove dan cedera di kaki. Silap-silap pakaian pun boleh koyak, tersangkut kat batu. Ouhhh, dapat panjat sekali je sebab ramai, tapi takpe, sekurang-kurangnya dapat merasai pengalaman baru yang menakjubkan dan dapat buang rasa takut serta keyakinan pun meningkat.







 



WET ABSEILING ULU GERUNTUM

Selesai je rock climbing, jam 11.30 pagi kami pun terus bertolak dengan menaiki lori besar. Muat je 37 orang. Perjalanan lebih kurang 7 km dan ambil masa 30 minit gak. Sepanjang perjalanan, kami disajikan pemandangan hutan sekitar Gua Kandu, kemudian melalui ladang kelapa sawit, kawasan perkampungan, banyak kebun-kebun durian dan kadang-kadang berselisih dengan lori yang bawak durian. Jalan memang berliku, agak sempit dan laluan sedikit berbukit. Di tepi-tepi jalan, rupa-rupanya banyak gak kem, resort, homestay dan chalet yang menawarkan penginapan dan pakej extreme. Laluan ini adalah laluan yang sama untuk ke starting point mendaki Bukit Putih dan Water Rafting Sungai Kampar. 






Dah sampai sungai di Kampung Ulu Geruntum, kawasan perkampungan Orang Asli Suku Kaum Semai. Dengar dah bunyi air terjun. Jalan 10 minit, pastu sampai di lokasi air terjun yang agak tersembunyi. Tempatnya di pinggir hutan, agak bersih, terjaga dan masih dara lagi. Nyamuk memang banyak. Macam biasa guide akan beri taklimat keselamatan, teknik abseiling dan pemakaian alat keselamatan. 




Air terjun Ulu Geruntum mempunyai ketinggian lebih kurang 15 meter, kederasan airnya dari atas sampai ke lantai dasar air terjun sekitar 60 - 70 km sejam. Mula-mula tu memang agak takut, tetapi bila kita mula bergerak perlahan menuruni dinding batu hampir 90 darjah dan terkena percikan deras air terjun, tiba-tiba rasa syok pulak. Kalau salah teknik, memang jatuh le sebab batu licin, kedudukan badan kena bentuk L dan membongkok sikit, baru la tak jatuh. Sampai kat tengah, jangan lupa ambik gambar, bukan senang nak dapat moment ni. Rasanya antara 5 - 15 minit, sampai dah kat bawah. Sebab  ramai dapat buat sekali je, rasa tak puas pulak.












Dah abis abseiling, apa lagi, mandi ler kat sekitar air terjun ni. InshaAllah airnya ok, tak berapa dalam dan selamat. Pukul 2 petang, kami pun balik ke kem dan makan tengahari. Alhamdulillah MISI SELESAI.....

No comments:

Post a Comment