04 September, 2019

GUNUNG BATU MERAH, PEDU KEDAH : Nama mu Merah, Bagai Lang Merah, Membara Ku Rasa di Jiwa....

OGOS 2019



Gunung Batu Merah mempunyai ketinggian 540 meter terletak di kawasan Banjaran Kedah Singgora dan merupakan sempadan antara Padang Terap, Yala dan Songkla. Gunung ini kurang popular berbanding gunung Fakir Terbang yang lokasinya berdekatan dengan gunung Batu Merah. Namun begitu, ianya mempunyai keunikan dan magis tersendiri. Jom, ikuti pengalaman pengembaraan kami bersama 19 orang team Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah.
Lokasi : Boleh set kan waze atau google map ke Tasik Pedu atau Pedu Lake Resort, Kuala Nerang, Kedah. Resort ni dah lama tutup tetapi masih ada lagi kesan peninggalan bangunan lama. Namun demikian, starting point Gunung Batu Merah sebenarnya terletak 1 km sebelum sampai ke Tasik Pedu atau Pedu Lake Resort. Nak senang, kami follow guide je, takut sesat.

Guide : Pak Tam 019-4465987
Pakej : Daypack - RM 35 (upah guide dan permit)

STARTING POINT

Jam 8.00 pagi, kami bertolak dari Pekan Kuala Nerang menuju ke Tasik Pedu. Setelah 35 minit melalui jalan raya berkabus di kawasan kampung Melayu dan Siam serta menikmati pemandangan hutan tebal, kami tiba di starting point Gunung Batu Merah. Starting point gunung ini di tepi jalan sahaja sebelum sampai ke Tasik Pedu atau Pedu Lake Resort yang terbiar. 

Tempatnya terpencil, sunyi sepi, kawasan hutan dan berdekatan selekoh jalan yang agak sempit. Kalau pergi sendiri memang payah nak cari tempat ni, so memang perlukan guide untuk menunjuk arah lokasi starting point.Kalau sapa-sapa nak naik Gunung Fakir Terbang kena jalan depan sikit lebih kurang 2 km. Kami parking kereta di tepi jalan, selepas itu, bermula lah sesi taklimat dan aktiviti senaman. 


HIKING
Jam 9.00 pagi, bersama-sama 5 orang guide,  kami memulakan langkah masuk ke dalam hutan tebal dengan trek yang landai dan semakin lama semakin pacak. Treknya memang agak kurang jelas kerana tak ramai yang hiking gunung ni dan memang perlukan guide yang sangat mahir dan faham dengan selok belok hutan Batu Merah.


Kami disajikan dengan pemandangan hutan yang asli, pokok balak yang tinggi dengan saiz gergasi. Pokok-pokok rotan yang menjalar, rumpunan buluh hutan, pokok mengkuang hutan yang hidup rimbun, pokok rumbia dan pokok nibong yang kelihatan gah menguasai hutan, ranting-ranting berduri yang menjalar sehingga menghalang trek. Kadang-kadang ternampak sarang lebah hutan di dahan-dahan pokok. 

Memang pemandangan hutan dara yang menakjubkan, Alhamdulillah tiada kesan pembalakan dan aktiviti manusia yang cuba merosakkan keaslian hutan gunung batu merah. Yup, gajah memang ada kat sini,Alhamdulillah kami tidak terserempak. Satu lagi halangan yang kita tak boleh nak elak iaitu PACAT. Masuk mana-mana celah jalan pun, mesti kena gak gigitan pacat.






30 minit sebelum sampai pacak, trek adalah berbatu dan semakin curam sehingga 90 darjah. Tali untuk panjat ada disediakan, cuma, kalau takut tangan luka atau tercalar, lebih baik pakai sarung tangan. Kami berehat jap di kawasan berbatu dan di sini dah nampak pemandangan Tasik Pedu dan hutan sekitar yang cantik. Boleh tengok gak spesis pokok orkid hutan yang tumbuh dicelah-celah batu dan lumut-lumut yang cantik di sekeliling batu. Setelah puas bergambar, kami teruskan perjalanan untuk menuju puncak dengan laluan berbatu dan pokok-pokok renek.



















PUNCAK GUNUNG BATU MERAH

Setelah 2 jam 45 minit,  kami tiba di puncak Gunung Batu Merah. Pemandangan puncaknya 180 darjah, kita boleh saksikan gabungan pemandangan Tasik Pedu yang biru, hutan yang penuh kehijauan dan langit biru keputihan yang cukup menakjubkan. Walaupun cuaca agak panas, sesekali angin lembut yang sejuk menerpa kami. Boleh nampak kem tentera di celah-celah hutan. Puncak ni tidak luas dan mungkin boleh muat sekitar 40 - 50 orang dalam satu-satu masa. Agak menakutkan kerana puncak ini betul-betul di pinggir jurang yang dalam dan curam. Jangan lepak tepi sangat sebab takut jatuh dan tanah runtuh. Boleh pasang hammock kat puncak, sambil baring kat hammock, minum kopi, makan nasi lemak pastu layan pemandangan sekeliling, ouhhh, moment paling best.




TURUN PUNCAK

Tiba-tiba cuaca yang panas bertukar mendung dan ada tanda-tanda nak hujan. Kami pun cepat-cepat berkemas dan turun jam 1.30 tengahari. Tak sampai 30 minit berjalan, hujan turun agak lebat. Trek dah semakin bahaya dan licin terutama ketika menuruni trek batu yang curam. Tak tau la, berapa kali jatuh dah. Trek pun dah becak dan boleh slide, confirm, pakaian abis kotor. 

Masa ni, pacat pun bersukaria menyerang kami tanpa henti. Kami agak tersesat sikit sebab trek dah hilang terkena air hujan. Alhamdulillah, dengan pengalaman dan kepakaran guide, kami berjaya mengenalpasti trek semula. Jam 4.00 petang, kami sampai di starting point setelah perjalanan 2 jam 30 minit penuh cabaran mengharungi hujan dan trek licin dan sempat gak solah Zuhur.

Setelah semua berjaya keluar dengan selamat, kami pun beredar dengan muka yang tension tapi penuh kepuasan kerana berjaya menawan puncak Gunung Batu Merah. Ahhhhhhhhh, ada pulak pacat yang kekenyangan dalam kereta ni.....ouhhhhh...

- MISSION ACCOMPLISHED -

1 comment: