15 April, 2019

GUNUNG PULAG PHILIPPINES : Merentasi Hutan Pine, Mossy dan Savana untuk Menyaksikan Keajaiban Lautan AWAN Putih

APRIL 2019



Nak jadi pelancong adventure :

"Jiwa, mental, emosi dan fizikal mesti kuat. Jangan mengharapkan keselesaan, kesenangan, keseronokkan dan kurangkan merungut. Mesti bersedia menghadapi cabaran demi cabaran tanpa henti. Kepuasan pelancong adventure ialah apabila hari terakhir dan dapat balik Malaysia kemudian sampai ke rumah dengan selamat dan sihat. Selepas itu, kita akan bersyukur, kepuasan tidak terhingga dan lega kerana berjaya menyelesaikan misi yang orang lain tak mampu nak buat." 

"Kemudian kita pun ucapkan terima kasih dalam group whatsapp, dan kita pun 'left group'. Selang beberapa bulan, kita akan terasa sesuatu yang tak kena dalam hati, masa tu lah kita akan rancang kembali untuk menjadi pelancong adventure. Ouhhh... boleh jadi ketagih gak gaya hidup camni..."

Jom, mengembara bersama saya,  pengalaman peribadi ketika mengikuti trip MOUNT PULAG PHILIPPINES.


BEBERAPA BULAN SEBELUM PERGI

Setelah kaji dan kaji dan kaji, akhirnya hati saya kuat dengan organizer ni :

☺☺Organizer : AJ EAGLE OUTDOOR ☺☺
☺Nama Organizer : Pn. Raihan Yusoff                               ☺No. Telefon : 017-5501775
☺Instagram : @anyusoff atau @hikingtraveladventure       ☺Facebook : Raihan Yusoff

☺Pakej Mount Pulag : 4 hari 3 malam, pakej tidak termasuk flight : RM 650. 
                                   ( Flight tempah sendiri )

☺Kekuatan : 15 orang daripada pelbagai negeri.

☺Cadangan Ittenary :
Day 1
1500 - Ninoy Aquino International Airport     1600 - Pick up and to Mt. Pulag

Day 2
0200 - BAGUIO          0300 - ambuklao road (stop over) 30 mins coffee break
0500 - jangjang hanging bridge (longest hanging bridge in benguet) 
0800 - DENR office mt.pulag kabayan benguet/ register/denr orientation 1 hour
0930 - van going to mt.pulag ranger camp
1030 - mt.pulag ranger camp/ register/secure guide and get environmental permit
1130 - lunch. 1200 - free time. explore ranger camp buy souvnirs etc.
1630 - early dinner (package)      2000 - lights off

Day 3
1230 - wake up call quick breakfast
0100 - start trek        0200 - camp 1 mossy forest       0330 - camp 2 grass land area
0520 - summit wait for sunrise photo   0700 - start trek going back to camp 2
1130 - lunch (package)                         1230 - going back to denr log out
1330 - DENR get certificate of climb   1445 - going back to bagiuo

Day 4 : 0400 - breakfast.       0800 - ETD to Manila     1200 - Airport to KL

PERSEDIAAN AWAL

1) Tempah Tiket Kapal Terbang :
☺Kuala Lumpur ke Manila (Ninoy Aquino International Airport) : Jam 8.25 pagi dan sampai jam 12.30 tengahari (4 jam 5 minit)

☺Manila ke Kuala Lumpur : 12.55 tengahari dan sampai jam 4.55 petang ( 4 jam)
☺Checked Baggage : Ambik 20 kg (boleh kongsi 2 orang ni)
☺Jumlah Tiket keseluruhan pergi dan balik : RM 787

2) Borang ke Luar Negara : Orang yang kerja kerajaan biasanya akan isi borang ni dan dapatkan pengesahan kementerian masing-masing.

3) Insurans : Sekarang ni, banyak kes kecederaan dan kematian semasa melancong. Kalau rasa nak tenang semasa melancong, ambil insurans, lebih-lebih lagi sesiapa yang terlibat dengan aktiviti ekstrim macam kami ni.

☺Syarikat Takaful : Etiqa Takaful
☺Nama :Travel Insurans & Takaful https://etiqa.com.my/v2/travel-insurance-takaful
☺Produk Takaful : Ada 3 jenis produk, iaitu TripCare 360, Tripcare 360 dan Travel Ezy. Pilih la ikut kesesuaian dan kemampuan.

☺Saya pilih : TripCare 360 - antarabangsa - emas
☺Cara apply : Online. Dapat rebat 25%
☺Manfaat utama : Overseas medical care, baggage delay, travel delay, lost of valuables, loss of travel documents, death & permanent dissability, additional adventurous activities & 24 hours hotline
☺Manfaat Tambahan : Adventurous Activities : Mendaki Gunung kurang 3000 meter. (kena bayar tambahan kalau nak cover adventurous activities)

☺Jumlah sumbangan : RM 77.98

3) Laporan Perubatan : Wajib buat. Guna borang standard daripada Taman Negara Filipina. Organizer  kami share borang tu kat whatsapp. Buat kat Malaysia la senang. Buang masa kalau buat kat Filipina ni.

4) Beli Peralatan & Kelengkapan asas untuk mendaki Gunung Pulag yang sejuk:
Beg daypack, ubat-ubatan, tisu basah, cover bag, baju hujan, payung, termal plastik, lampu headlamp/touchlight, baju jaket tebal, penutup hidung, topi/pelindung kepala, sarung tangan, stokin, kasut, makanan tambahan, air 3 botol 500ml dan handset.
PROFIL GUNUNG PULAG

☺Lokasi : Pulau Luzon bersempadan dengan Benguet, Ifugao dan Nueva Vizcaya. Jangan bimbang, sangat jauh dari Pulau Mindanao yang selalu berlaku kes penculikan dan perang gerila. Mindanao ni bahagian Selatan dan Luzon bahagian Utara.

☺Reputasi Pulag : Ketinggian 2,926 meter, gunung ke-3 tertinggi di Filipina.
☺Viral netizen : Terkenal dengan lautan awan putih seperti berada di dunia lain. Dikelililingi persekitaran savana dan puncak-puncak gunung sekitar puncak Pulag. Ditambah pula dengan pancaran matahari pagi yang menyinari savana sehingga suasana kekuningan dan keorenan. Selepas itu, awan biru dengan awan putih menambahkan lagi kehebatan pemandangan Pulag. Subhanallah....

☺Bulan Paling Sesuai : Sekitar Januari - Mei
☺Trail : Ada 4 trail yang berbeza kesukaran iaitu Ambangeg Trail, Akiki Trail, Tawangan Tail dan Ambaguio Trail

☺Kami Pilih Trail : Ambangeg Trail dengan tahap kesukaran : sangat mudah 3/10
☺Cuaca dan Suhu : Purata sekitar 10 darjah dan ke bawah. Kerap berkabus tebal dan berangin yang sangat dingin.

PENGALAMAN HARI PERTAMA & KEDUA

Terbang dengan Airasia ke Manila jam 8.25 pagi. Setelah 4 jam sampai di Ninoy Aquino Airport sekitar jam 12.30 tengahari. Sampai di pintu imigresen, saya kena soal siasat pulak (prosedur biasa ni, diorang akan buat randomly untuk siasat pelancong). Macam-macam ditanya, nak pergi mana, siapa agen, tujuan apa, bermalam di mana, siapa ketua, apa ittenary, balik bila dan macam-macam soalan yang menyebabkan saya sukar nak jawab dan gementar.


Bila polis imigresen dah puas hati dan cop, baru lega rasanya. Di kawasan airport, ternganga dan lapar. Fast food banyak tetapi tidak halal. So, kami pun keluarkan makanan sendiri 'Kembara Pack Rendang', hanya letak air biasa sahaja, kemudian berasap, panas dan menggelegak sendiri untuk panaskan makanan. Risau gak, berasap kat aiport ni, kang di tuduh terrorist pulak.

Rupa-rupanya ada satu restoran halal di level 4, namanya 'Samurai Halal Restaurant'. Boleh makan kat situ. Nak solah kan, jangan bimbang ada Surau kat airport di Level 3, kat hujung sekali sebelah toilet.(Tanya polis kat situ jer). Jangan lupa ye, beli simcard Filipina. Kami beli kat syarikat SMART dengan 500 peso dengan 8 gb. Cukup la tu, ambik data je, tak boleh nak call. Duit Filipina ni 100 peso bersamaan RM 7.96, so kalau 500 peso lebih kurang RM 39.80.

Akhirnya jumpa geng, first time jumpa, terus bersalaman dan berkenalan. Jam 3 petang, 2 van putih datang menjemput kami untuk meneruskan perjalanan. Adoiiiii, lebih 3 jam terperangkap dengan kesesakan yang amat teruk di Manila dan Quezon City. Kesesakan ni sebenarnya berlaku setiap hari, ouhhhhh, tabahnya orang Filipina.
Berhenti jap di Balagtas untuk berehat sekitar jam 10.30 malam. Haiiiii, tak solah lagi ni, memang takde surau, so kami bentang sejadah kat parking kereta dan solah. Memang nampak ler, orang Filipina yang lalu lalang tu nampak pelik. Ada kami kisah, yang penting IMAN nombor SATU walau dimana berada. Pergi 7 eleven, ada gak produk halal dan produk daripada Malaysia seperti Julie dan Hersey, siap ada tulisan bahasa melayu lagi tu.


Kemudian teruskan perjalanan dan berhenti sekali lagi sekitar jam 1.45 pagi di Sison. Ingat dah sampai rupanya jauh lagi. Kemudian meneruskan perjalanan melalui jalan raya bersimen di kawasan lereng-lereng gunung yang curam, bengkang bengkok dan banyak sangat selekoh yang tajam.

Naik gunung turun gunung, akhirnya jam 5.00 pagi, sampai di kawasan Bokod. Ouhhhh jam 4.30 pagi dah subuh rupanya, kami pun segera solah subuh, Alhamdulillah kami bawak botol spray wuduk. Selesai masalah . 5.30 pagi dah terang, Wowwwww, baru nampak pemandangan sekitar yang sangat cantik dengan gunung-ganang, sungai di antara gunung, hutan pokok pine dan nampak empangan Ambuklao. Ingat dah sampai, rupanya belum lagi.

Teruskan perjalanan lagi dan berhenti sarapan di kawasan Itogon. Alamak, saya tak yakin ler makanan kat sini, minum kopi je ler. Kat sini boleh nampak Jambatan Gantung terpanjang di daerah Baguio diberi nama Janjang Hanging Bridge. Ermmm, tak boleh masuk, under construction, ambik gambar dari jauh je la. Dah selesai sarapan dan ambil gambar, kami teruskan perjalanan.


Setelah 17 jam melalui perjalanan yang penuh mencabar, jam 8.15 pagi, sampai gak di Mount Pulag National Park Office, Bokod, Benguet. Kami di arahkan untuk mengumpul Laporan Perubatan yang kami buat di Malaysia kemudian tandatangan borang. Selepas itu, masuk bilik khas untuk saksikan video Mount Pulag dan dengar taklimat ringkas daripada pegawai National Park.



Kat kawasan ni, ada kedai cenderahati dan kedai keperluan mendaki. Kalau ada yang tak beli lagi, boleh la beli dengan harga yang lebih kurang macam kat Malaysia gak. Kemudian kami diarahkan untuk naik kenderaan unik yang dipanggil Jeepneys. Rupa-rupanya tak sampai lagi. Perjalanan melalui jalan gunung yang curam dan sempit mengambil masa 40 minit. Perjalanan yang menakutkan gak tetapi disajikan pemandangan hutan pine dan udara sejuk yang best.

Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jam 10.15 pagi di Mount Pulag Ranger Camp. Kawasan perkampungan kecil yang tenang, sejuk, klasik dan jauh daripada pembangunan dan kesesakan hidup. Di kiri kanan, boleh nampak kehijauan kebun sayur kobis, lobak dan macam-macam lagi. Bunga yang berwarna-warni. Seronok tengok kanak-kanak comel dengan pipi yang kemerah-merahan sedang berlari bermain tolak tayar. Penduduk kampung dengan wajah putih dan bermata sepet yang sedang galak bersembang sambil tersenyum melihat kami dan sudah biasa dengan pelancong.




Kami check in di Homestay Dencio's (contact no. : 09392441813). Ada banyak bilik dalam homestay ni dan ada dapur untuk masak. Masa ni makan tengahari pun sendiri-sendiri. Macam biasa la, kita makan Kembara Pek Nasi Tomato pulak. Nak charge telefon kena bayar 20 piso dan shower air panas disediakan dengan 100 piso. Bestnya....dapat minum kopi dan duduk kat luar homestay dengan cuaca sejuk dan berkabus sambil melihat aktiviti penduduk kampung. Kemudian jalan-jalan sekitar kampung sambil ambil gambar pemandangan dan mencari line telefon. Biasa la orang Malaysia, sejam tak whatsapp, rasa tak tenteram hidup.






6.15 petang, dah maghrib rupanya. Kami solah Jamak dan makan malam dengan nasi putih, ikan talapia goreng dan sayur kobis makaroni. Lepas tu bancuh kopi, lepak kat luar sambil bersembang dan berkenalan dengan team bertemankan kabus tebal, cuaca sejuk dan berjuta bintang diangkasa. adoiiii...memang moment paling best ler. Organizer dan guide Mark suruh tidur awal sebab pukul 12.30 tengah malam dah nak bangun, bersiap-siap untuk hiking. Alamak...susah gah nak pejam mata ni, biasanya kat Malaysia, pukul 12 tgh malam baru nak tidur. Takpe la...tidur ayam je la.


PENGALAMAN HARI KETIGA & KEEMPAT

Jam 12.30 pagi, kami pun bangun tidur, berkemas dan bersiap sedia untuk hiking. Jam 1.00 pagi berkumpul kat luar homestay, bersenam dan mendengar taklimat. Jam 1.30 pagi, kami pun memulakan perjalanan. Sebenarnya kami kat sini pun dah 2,400 meter, jadi ada lebih kurang 500 meter untuk didaki. Bersuluhkan guna headlamp, kami melalui jalan yang mendatar, berkabus tebal dan cuaca sejuk sekitar 16 darjah celcius. Setelah 30 minit, kami dah mula melalui jalan yang agak menaik lebih kurang 60 - 80 darjah je. Trail belum mencabar lagi. Memang gelap, tak nampak pemandangan apa pun. Badan dah mula berpeluh ni, rasa nak buang jaket je. 

Setelah hampir 1 jam, kami tiba di checkpoint 1 jam 2.20 pagi.Hujan gerimis dah mula turun, apa lagi kami pun cepat-cepat pakai baju hujan plastik, buka payung kecil dan balut beg dengan cover. Ouhhh, dah terasa sejuk sangat ni.Kami meneruskan perjalanan dan trail kali ni agak panjang, jalan sebenarnya banyak mendatar berbanding pacak. Naik pun sikit-sikit dan tidak mencabar. Trek pun sangat jelas dengan trek berbatu yang telah termendap dengan tanah gambut dan tanah merah. Kurang becak walaupun hujan. 

Kami sampai di Checkpoint 2 lebih kurang jam 3.30 pagi. Sekitar 1 jam 30 minit. Hujan renyai-renyai masih turun, semakin tebal kabus dan semakin sejuk. Di sini baru lah, kami jumpa banyak team, dikatakan ada 100 orang akan menuju puncak daripada pelbagai negara. Setelah semua ahli cukup, kami pun meneruskan perjalanan ke puncak. Trek sangat jelas, jalan berbatu dan merentasi kawasan semak savana. Jalan pun banyak yang landai, Ada juga jalan menaik tetapi tidak mencabar. Yang mencabarnya sekarang ni ialah melawan cuaca sejuk yang berangin dan hujan renyai-renyai. 

Trail yang terakhir ialah kita akan panjat lebih kurang tinggi 80 meter dengan 80-90 darjah dan selepas itu kita sampai di puncak. Alhamdulillah sampai kat puncak gunung Pulag dengan ketinggian 2,926 meter pada pukul 5.00 pagi, dengan perjalanan keseluruhan 3 jam 30 minit. Kami pun bersegera untuk solah subuh berlatarbelakangkan lautan awan. 




Cahaya matahari kemerah-merahan dah mula menampakkan sedikit sinarnya. Memancarkan ke arah lautan awan putih tebal yang bergulung-gulung seperti ombak yang membaluti puncak-puncak gunung sekitarnya. Masing-masing mencari lokasi terbaik untuk menonton dan merakam pemandangan yang cukup-cukup menakjubkan. Subhanallah. 

Tiba-tiba, tak sampai 20 minit, angin kuat yang membawa hujan renyai-renyai dan kabus sangat tebal menutupi seluruh pemandangan puncak. Dengan kesejukan sekitar 5 darjah celcius, kami bertahan dan terus bertahan, mendoakan agar cuaca kembali reda. Kesejukan yang amat sangat menyebabkan kaki rasa kejang, terpaksa guna plastik termal menutupi badan yang masih kesejukan. Ada group yang dah tak tahan sejuk, mula mengorak langkah untuk turun dari puncak tetapi kami masih setia bertahan dan terus bertahan selama 1 jam 30 minit. Alhamdulillah, tiba-tiba cuaca semakin reda, kabus sudah semakin menghilangkan diri, pemandangan indah dibuka semula, suasana pun semakin terang, baru la nampak pemandangan savana yang cukup hebat, cukup indah dan cukup menakjubkan. Kami pun cepat-cepat ambil gambar, takut cuaca buruk datang lagi. 
















Setelah puas mengambil gambar dan merenung keajaiban dunia ciptaan Allah, jam 7.15 pagi, kami pun mula turun. Sepanjang turun puncak memang mata seperti tak mau berkelip melihat pemandangan savana yang sangat indah. Tiba-tiba kabus tebal datang lagi dengan hujan renyai-renyai. Kami pun cepat-cepat turun, pakaian dah semakin basah menambahkan lagi kesejukan badan. Akhirnya kami pun berjaya keluar daripada gunung savana dan sampai di checkpoint 2. Di sini la tempat orang selalu camping dan ada tandas disediakan. 





Bermula la cabaran merentasi dunia bongsai dan mossy pulak. Baru la nampak pemandangan mossy dan pokok-pokok bongsai yang cukup dara dan tumbuh segar menghiasi hutan semulajadi. Bagusnya gunung pulag ni, tiada sampah kelihatan, memang kami dinasihatkan untuk menjaga tahap maksimum bagi memelihara keindahan hutan. Sampai di checkpoint 1, dah tak nampak ahli lain. Semuanya dah bertebaran. Masih sejuk dan hujan pun semakin lebat. Kaki pun melangkah agak laju tetapi mata masih memandang kiri dan kanan menghayati keindahan alam, tak mau terlepas moment walaupun seminit sebab belum tentu kita akan datang lagi kat sini.











Kami pun berjaya melepasi hutan mossy dan sekarang melalui pemandangan lereng-lereng gunung berlatarbelakangkan hutan pokok pine pulak dan kebun-kebun sayur yang menghijau. Alhamdulillah, sampai gak kat basecamp jam 10.15 pagi. 3 jam perjalanan daripada puncak Pulag. 

Nak BALIK Dah

Kami pun berehat jap sebab jam 2.30 petang, kami perlu check out. Kami pun turun dari base camp menggunakan kenderaan Jeepneys. Berpusing-pusing menuruni gunung. Akhirnya sampai di Pejabat Taman Negara dan dapat sijil sorang satu sebagai kenangan terindah. Kami pun terus menaiki van untuk pulang. Alamak perjalanan turun kali ni, cukup menggerunkan, melalui jalan curam, sempit dan selekoh-selekoh tajam. Sepanjang perjalanan memang disajikan hutan pokok pine dan sungai antara gunung yang sangat luas. Pening, loya dan muntah, biasa la tu. Kita orang Malaysia, tak biasa dengan jalan mencabar camni. Setelah 3 jam melalui jalan berpusing-pusing, kami sampai di bandar Baguio. Baru nampak kehidupan moden dan kesesakan jalan. Kami berhenti di restoran halal makanan arab untuk makan malam.
Setelah puas makan, kami meneruskan perjalanan kemudian berhenti sekejap di gerai tepi jalan. Boleh la, kalau sapa-sapa nak beli cenderahati, baju atau apa-apa barang yang nak dibawa ke Malaysia. Teruskan perjalanan lagi dan melalui jalan highway dan sampai di Quezon City, walaupun dah jam 10.00 malam, jalan masih lagi jem. Jam 12.00 pagi, kami sampai di airport dan masing-masing bersalam-salaman tanda perpisahan. Ouhhh, flight kami jam 12.55 petang, lambat lagi ni bertapa kat sini, kami pun bergegas ke surau di level 3 untuk solah dan berehat.

Pagi ni, kami sarapan di Samurai Restaurant. Halal tempat ni. Selepas itu check in dan masuk kapal terbang dan terpaksa bertapa dalam kapal terbang selama 1 jam. Tak terbang-terbang, ada masalah di airport, jadi delay ler. Alhamdulillah sampai di KLIA jam 5.40 petang. Ouhhhh, rasa bersyukur, rasa lega dan terharu pulak bila menjejak kaki di bumi Malaysia. Terfikir saya, Malaysia ni banyak yang mewah dan hidup senang berbanding negara Filipina yang masih banyak kekurangan dan cabaran hidup yang getir. Kat sini, nak solah pun mudah, makanan halal pun banyak, air pun cukup. Tak perlu nak solah kat tepi jalan atau guna tisu kat toilet seperti di Filipina.

Pengalaman yang cukup menakjubkan. Terima kasih organizer dan kawan-kawan yang sertai team Gunung Pulag ni. Alhamdulillah...MISI SELESAI.

No comments:

Post a Comment