26 March, 2020

GUNUNG BUJANG MELAKA I Bujang Melaka Yang Bukan di Melaka

JANUARI 2020
SAKSIKAN VIDEO YOUTUBE
Jangan lupa SUBSCRIBE channel saya : This is Haizan



Kami bermalam di Hotel bajet di Kampar, tak sampai RM 50 pun satu bilik dan jimat bila dapat kongsi dengan kawan-kawan. First time masuk Kampar. Ini la bestnya mengembara sebab kita berpeluang melihat dunia dan cerita yang berbeza.

PROFAIL GUNUNG : Gunung Bujang Melaka terletak di Hutan Simpan Bujang Melaka, Kampar Perak dengan ketinggian 1,233 meter. Keistimewaan gunung ini ialah terletaknya Air Terjun Batu Berangkai

Biasanya selepas hiking, pendaki akan mengambil peluang untuk mandi dan membersihkan badan di air terjun yang sejuk ini. Orang awam pun ramai kat sini bermandi manda sambil menikmati pemandangan sekeliling kawasan air tejun yang cukup indah, hijau, dengan deruan air terjun yang mampu menterapikan minda dan mendamaikan jiwa.

PAKEJ DAYPACK : RM 50 termasuk pek sarapan, pek lunch, permit dan guide
PENGANJUR : Nature Explorer & Adventure ( NEA)
KEKUATAN : 9 ORANG

BERKUMPUL & STARTING POINT : 
Jam 7.00 pagi, kami berkumpul terlebih dahulu di Masjid An-Nur, Kampar. Meriah masjid ni sebab ada Pasar Tani di perkarangan masjid. Ramai juga hikers daripada pelbagai team sedang berkumpul di sini. Kemudian kami follow kereta guide menuju ke starting point, Air Terjun Berangkai. 

Melalui jalan tar yang sempit dan berbukit di kawasan perkampungan orang asli. Jalan boleh muat-muat satu kereta sahaja. Kalau ada kereta di hadapan, salah seorang kena mengalah. Setelah 15 minit, kami tiba di starting point Air Terjun Batu Berangkai. Ouhhh, parkingnya sangat terhad dan sempit. Kalau kami lambat tadi, kemungkinan berebut parking le jawabnya.

STARTING POINT ke CP2: PONDOK ORANG ASLI

Harini sabtu, patut la ramai yang mendaki. Seperti biasa taklimat daripada guide. Kemudian jam 8.10 pagi kami memulakan pendakian. Permulaan trek yang santai, hanya trekking melalui dusun durian, laluan bersemak dan laluan tepi-tepi sungai. Banyak juga lorong-lorong yang mengelirukan. Tiba di CP2 PONDOK ORANG ASLI dengan ketinggian 273 meter, lebih kurang jam 8.35 pagi. Lebih kurang 25 minit perjalanan dari starting point. 

Memang betul, ada sebuah rumah kayu orang asli yang berpenghuni. Kami berehat 5 minit kemudian meneruskan perjalanan.Ada 4.775 km lagi yang perlu diharungi untuk sampai ke puncak.
 
 
 
 
CP2 : KEM PONDOK ORANG ASLI ke CP 3: KEM BALAK

Jam 8.45 pagi, kami memulakan perjalanan menuju ke Kem Balak dengan jarak 1.245 km. Bermula la masuk kawasan hutan dan trek mendaki yang masih santai dan kurang mencabar. Dah banyak pokok balak yang besar dan hutan pun semakin tebal. Pacat pun semakin banyak menyerang dan menggigit. 

Kami tiba di Kem Balak jam 9.20 pagi, lebih kurang 35 minit perjalanan daripada Kem Pondok Orang Asli. Kawasan kem ni memang banyak betul pacat. Pantang berdiri sekejap, berkejar-kejaran pacat ni nak gigit kaki kami. Tak boleh lama ni, jam 9.30 pagi, kami dah mula mendaki balik.  
 
 
 
CP 3: KEM BALAK ke CP 4: KEM LEBAH

Kali ini, kami akan mengharungi trek sejauh 1.63 km yang lebih mencabar. Trek yang penuh dengan akar-akar yang menjalar dan daun-daun kering yang bertaburan. Risau gak, takut ada binatang berbisa di celah-celah rimbunan daun kering. Ada juga trek yang berbatu dan licin. Melangkah sungai-sungai kecil. Banyak pulak pokok menjalar yang berduri yang menyebabkan beberapa kali tersangkut di pakaian kami. Sedikit terleka memang tersiat la tangan dan kepala terkena duri halus. 

Ada juga trek yang pacak menegak sehingga 80 darjah yang memerlukan tali untuk naik. Pokok-pokok balak lama yang tumbang pun sedikit menghalang pergerakan kami. Yup, kesimpulannya, memang berpeluh dan merungut sebelum sampai ke check point seterusnya.

Alhamdulillah, kami tiba di Kem Lebah jam 11.45 pagi dengan ketinggian 1,014 meter. Lebih kurang 2 jam 15 minit dari Kem Balak. Tapi, kalau dari starting point, kami dah ber hiking selama 3 jam 35 minit. 

Uiiiii, luasnya kem ni, boleh muat 50 orang. Kem yang rata, banyak daun-daun kering dan ada water point yang dekat. Air sungai yang agak deras, sejuk dan boleh mandi. Biasanya kalau yang buat 2 hari 1 malam, di kem ini lah mereka akan bermalam. Jangan bimbang, berita baiknya, dah takde pacat. Kami berehat dan makan tengah hari di sini.

 
 
 
 
 
 
 
CP 4: KEM LEBAH ke CP 5: KEM PERSI / PERMATANG

Jam 12.30 tengah hari, kami meneruskan perjalanan. Kali ni, kami banyak melalui trek permatang dan trek yang agak mudah. Biasa la, kalau trek permatang ni, kejap trek naik, kejap trek turun. Hutan pun dah mula dipenuhi pokok-pokok renek. Kami menghilangkan lelah jap di Kem Parsi jam 1.00 tengah hari. Lebih kurang 30 minit perjalanan dari Kem Lebah.
CP 5 : KEM PERSI terus ke 
PUNCAK GUNUNG BUJANG MELAKA

Ada lebih kurang 1.2 km lagi yang perlu diharungi sebelum sampai ke puncak. Boleh tahan meletihkan trek permatang ni. Alhamdulillah, Jam 1.40 tengah hari, kami semua sampai di PUNCAK GUNUNG BUJANG MELAKA. Kalau dikira dari Starting Point ke puncak, mengambil masa 5 jam 30 minit.

Keistimewaan puncak ni, masih lagi berdiri teguh menara Beirut. Puncaknya tidak luas dan pemandangannya 90% ditutupi dengan pokok-pokok hutan. Masih ada lagi port terbaik untuk melihat pemandangan sekitar Kampar. 

 
 
 
 
TURUN DARI PUNCAK

Jam 2,30 petang, kami pun bergerak turun dari puncak. Pergerakan kami memang boleh tahan laju sebab semakin banyak trek turun tetapi sangat berhati-hati. Bila banyak sangat turun ni, memang terasa kejang gak kaki sebab banyak mem brek. 

Alhamdulillah kami sampai di starting point jam 5.54 petang, dengan perjalanan 3 jam 26 minit. Bila dah sampai ni, apa lagi, ramai-ramai le kita mandi di air terjun. Membersihkan apa-apa yang patut dan terapi melegakan badan yang keletihan.


Jumpa lagi...MISSION ACCOMPLISHED

No comments:

Post a Comment