24 July, 2019

GUNUNG SEMERU & PUNCAK MAHAMERU, PULAU JAWA : Pengembaraan seperti cerita The Hobbit...

JULAI 2019



Sepanjang perjalanan melalui trek Semeru, tiada yang tidak indah, setiap langkah, pasti akan ada keindahan yang mengasyikkan, pasti akan ada detik yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila. Saya kongsikan pengalaman pendakian Gunung Semeru dan kesukaran menawan puncak Mahameru. Jommmm...

⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴

STATUS :Gunung Semeru merupakan gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa dan berada dalam kedudukan nombor 4 tertinggi di Indonesia dengan ketinggian 3,676 meter. Gunung berapi ke-3 tertinggi di Indonesia.Lokasi gunung terletak diantara wilayah Kabupaten Malang dan Lumajang. Gunung Semeru berstatus waspada atau level 2 dimana letusan terakhir ialah pada tahun 2008 dan masih meletus sehingga sekarang.

JARAK DARI STARTING POINT RANU PANI KE POS KALIMATI : 14.9 km

BULAN PENDAKIAN & SUHU: Jun, Julai, Ogos dan September. Suhu waktu siang : 15 - 21 darjah celcius. Suhu waktu malam : -6 hingga 10 darjah celcius. Suhu puncak gunung : - 4 hingga 20 darjah celcius

PENGANJUR: AJ Eagle Outdoor - Nooraihan Mohamad Yusoff  017-5501775. Team : 16 orang pelbagai negeri. PAKEJ 5 HARI 4 MALAM: RM 650 - Termasuk pengangkutan di Surabaya, homestay, guide, makanan di Gunung Semeru, penginapan khemah. [ Beli Sendiri : Tiket flight, luggage, insurans, makan minum di Surabaya, upah potter]

FLIGHT AIRASIA : Kuala Lumpur to Surabaya & return termasuk luggage 20kg - RM 723
MATA WANG : RM 300 = 1 juta rupiah

⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴⥳⥴

PERJALANAN dari KLIA ke SURABAYA dan MALANG

Jam 9.05 pagi, kami pun berlepas menaiki AirAsia dan tiba di Surabaya lebih kurang jam 10.45 pagi. Ada sedikit kesukaran bila melalui pemeriksaan pasport sebab pegawai kaunter bertanya pelbagai soalan dan ada soalan yang tak mampu nak dijawab. So, lepas ni kena ready la jawapan tentang ittenary, siapa agen, tempat menginap, tiket perjalanan balik dan paling penting jangan bohong. Semasa pemeriksaan beg, diaorang guna anjing pengesan pulak, aiiiii... memang agak suspen betul la. Jenuh tanya ustaz kat Malaysia samaada perlu samak atau tak.
Selesai urusan pemeriksaan, kami pun cari simkad Indon kat area airport ni. Kami ambik sim kad 100,000 ribu rupiah (RM 29) untuk 6 GB. Kemudian kami pun bertolak menaiki van yang disediakan oleh guide dan berhenti makan di Restoran Pak D. Macam-macam makanan ada seperti ayam kampung, bebek, ayam bakar, nasi tumpeng, sambal, lalapan, ayam broiler, ntah macam-macam lagi. Pening, tak tau nak pilih apa.


Kami solah jamak dulu kat restoran ni. Waktu solah awal tau. Zuhur (11.30), Asar (2.55 ptg), Maghrib (5.25 ptg), Isyak (6.40 ptg), Subuh (4.19 pagi) dan terbit matahari (5.38 pagi). Selepas makan, kami pun mulakan perjalanan menuju ke Malang dan mengambil masa sekitar 2 jam. Sepanjang perjalanan melalui highway dengan kelajuan maksimum 90 km sejam, seronok tengok pemandangan sawah padi, bangunan-bangunan moden, kesibukan pekan, pelbagai jenis kenderaan yang rare dan boleh nampak Puncak Mahameru daripada highway ni. Bila masuk daerah Malang, jalan pun sangat jem dan boleh tengok kesibukan aktiviti harian, gerai-gerai jalanan, hiruk piruk, manusia ke hulu ke hilir mencari rezeki, wowww... memang nampak suasana kehidupan mereka yang cukup memenatkan.


BASE CAMP PENDAKI - Tumpang Camp Adventure.
Jam 5.30 petang, kami pun tiba di Base Camp Pendaki. Belum kat gunung lagi tau. Macam kawasan perumahan yang sibuk di daerah Malang. Di sini, kami hanya sekadar rehat sementara, mandi-mandi dulu, Solah Jamak dan beli barang keperluan kat kedai runcit. Kalau nak makan malam pun takpe, banyak je warung-warung tepi jalan.Hari pun semakin gelap dan suhu pun semakin sejuk.




MEDICAL CHECK UP
Jam 6.00 petang, kami menaiki Jeep yang sangat klasik dan lasak. Semua beg diikat kat atas jeep dan kami berdiri dan duduk di ruangan terbuka belakang jeep. Kat Malaysia, sekarang ni, tak jumpa jeep camni, mungkin ada digunakan era 60an hingga 80an.

Kami singgah di Balai Pengobatan (Klinik) untuk buat pemeriksaan kesihatan yang asas, check denyutan nadi, untuk pastikan kita betul-betul sihat sebelum mendaki. Bayaran pemeriksaan lebih kurang RM 5 sahaja. Alhamdulillah semua lulus dan sihat. Tiba masa untuk meneruskan perjalanan.

PERJALANAN JEEP KE HOMESTAY PAK TASRIP, RANUPANI-SENDURO LUMAJANG
Perjalanan jeep bermula dengan jalan yang sibuk kemudian melalui kawasan perumahan yang padat. Banyak gak selisih dengan jeep lain yang sibuk membawa pendaki samaada baru pergi atau dah turun. Jalan pun agak sempit dan berhabuk dengan cuaca yang sejuk. 

Kami dah mula masuk kawasan tanah tinggi, melalui lereng-lereng gunung dengan jalan yang kurang rata, jalan sempit dan bengkang bengkok yang dikelilingi hutan. Cuaca pun semakin sejuk dan mulut pun dah berasap. Rumah pun dah jarang-jarang nampak. Perasan gak melalui pekan kecil, warung-warung tepi jalan dan kampung-kampung kecil yang sunyi. Makin tinggi kami naik, terasa makin sejuk dan semakin sunyi. Jeep pun dah tekan minyak semakin kuat dengan gear yang rendah, berderum naik jalan berbukit, berkepul-kepul asap keluar dari ekzos, bau yang merimaskan kami.

Disebabkan tak dapat tengok pemandangan sekitar, kami tengok bintang je . Cuaca elok, jadi langit pun cerah dengan jutaan bintang yang berkerlipan. Pamandangan langit yang cukup indah, Subhanallah.

Setelah 1 jam 30 minit, kami pun sampai di Homestay Pak Tasrip. Kawasan penempatan agak padat. Suhu pun sangat dingin antara 10 - 20 darjah celcius. Menggeletar dibuatnya. Disebabkan dah lewat malam, kami pun cepat-cepat check in, duduk satu bilik 2 orang. Ingat nak mandi tapi airnya sejukkkkkk bangattttt, tak jadi la. Dalam homestay ni, ada unggun api, so kami pun ambik kesempatan memanaskan badan sambil minum kopi pekat dan bersembang dengan rakan-rakan satu team yang tak kenal lagi. Memang sukar nak tidur dalam keadaan suhu yang sangat sejuk ni. Berlapis-lapis baju, pakai setokin tebal, tutup kepala, terasa masih sejuk lagi. Heating pack pun tak sempat nak beli, ermmm, bertahan la kita seadanya.



Subuh kat sini, jam 4.15 pagi. Kedengaran azan Subuh berkumandang. Jam 5.00 pagi, matahari dah mula menampakkan sinar. Bunyi bising motor dan jeep dah mula memenuhi jalan utama. Penduduk kampung sudah bersedia memulakan rutin harian untuk ke kebun sayur, membuka perniagaan dan memulakan persediaan ke Gunung Semeru. Anak-anak kecil pun dah mula berlari-lari dan bermain-main di tepi rumah.






Malam tadi tak nampak sangat suasana kampung. Bila dah cerah ni, rupa-rupanya cantik pemandangan sekitar kampung. Dikelilingi gunung ganang dan kebun-kebun sayur seperti kobis, sawi, bayam, lobak, bawang dan sebagainya. Suhu pagi yang masih dingin dan suasana yang semakin ceria. Rumah-rumah di kampung ni nampak agak moden dan rumah batu. Kampung yang agak tersusun, ada masjid, kedai-kedai dan warung-warung di tepi jalan. Selepas sarapan, kami siapkan semua beg, bersenam dan mendengar taklimat guide.

POS RANU PANI & TAMAN NASIONAL BROMO TENGGER SEMERU KABUPATEN PROBOLINGGO JAWA TIMUR

Dari Homestay kami berjalan kaki menuju ke Pejabat Taman Negara melalui rumah-rumah kampung dan warung-warung di tepi jalan. Berselisih dengan jeep dan motorsikal yang sibuk membawa pendaki dan kelengkapannya ke tempat pendaftaran. Ketinggian di Pos Ranu Pani ni pun dah 2,200 meter.


Kebetulan sekarang cuti sekolah dan Universiti di Indonesia. Memang ramai orang-orang muda sedang berkumpul dan berbaris panjang untuk proses menghantar borang pendaftaran,surat medical checkup dan daftar barang yang dibawa masuk. Difahamkan, kuota sehari mendaki Gunung Semeru hanya 600 orang sahaja. Sebelum ni takde kuota dan atas inisiatif untuk menjaga hutan agar terus terpelihara maka kuota dikenakan. 



Bayangkan sebelum ini, satu tahun sahaja, 500 ribu pendaki masuk ke Gunung Semeru dan sekitar 20 ribu pendaki luar negara. Pendaftaran perlu melalui online dan perlu ada laporan medical check up. Maksimum 4 hari 3 malam dan berkumpulan dengan minima 3 orang. Permit pendaki asing hari biasa 207,500 rupiah (RM 61) dan hari cuti 307,500 rupiah (RM 90)

Sementara menunggu pendaftaran selesai, boleh la pergi makan-makan dulu di warung atau tengok-tengok barang kat kedai outdoor. Surau dan toilet pun ada disediakan. Selesai pendaftaran, kami dikehendaki untuk mendengar taklimat keselamatan daripada pegawai Taman Negara. Kena bergilir-gilir sebab ramai sangat orang. 

Sejam gak dengar taklimat berkaitan profail Gunung Semeru, kebersihan, kesedaran menjaga alam, keselamatan semasa pendakian dan risiko pendakian. Dah puluhan orang mati semasa mendaki Gunung Semeru dan puncak Mahameru disebabkan masalah kesihatan, cuaca ekstrim, jatuh gaung, lemas dan terkena batu. Ada juga yang tersesat dan sampai sekarang tidak ditemui.Yang cedera pun ramai. Jadi kami harus sentiasa berwaspada, berhati-hati, tidak sombong dan selalu berdoa.

POS RANU PANI ke POS LANDENGAN DOWO

Jam 11.00 pagi, kami pun memulakan langkah dengan bacaan doa agar Allah permudahkan segala urusan dan diberi perlindungan sepanjang pendakian ini. 10 minit pertama kami melalui jalan tar dengan kiri kanan jalan penuh dengan kehijauan sayur-sayuran dan pemandangan indah gunung-ganang sekitar. Suhu pun dah mula panas, dah tak perlu pakai jaket.




Tiba di pintu masuk Gunung Semeru. Sabar dulu, jangan jalan lagi, ambik gambar ramai-ramai dulu kat pintu gerbang. Kemudian, dengan rasa terujanya, kami pun menyambung langkah, terus memanjat bukit rendah yang dipenuhi lalang tinggi dan semak samun, cuaca panas dan peluh mula menitis.


Kemudian turun bukit dan melalui trek batu bata yang disediakan pihak Taman Negara. Trek redup ditutupi pokok hutan yang tebal. Trek tidak mencabar dan banyak yang landai. Naik pun sikit-sikit je sekadar trekking. Jangan lupa tengok kiri kanan, lihat pemandangan gunung pine dan pokok akasia yang cantik.







Sampai di pos Landengan Dowo dengan ketinggian 2,270 meter dan jaraknya dari pos Ranu Pani lebih kurang 3 km. Perjalanan mengambil masa 1 jam. Di pos ini, ada beberapa warung hutan yang menjual tembikai merah, tembikai kuning, tembikai susu dan pisang yang sejuk. Sejuk semulajadi tau, dengan harga satu 2,500 rupiah ( 70 sen). Ada juga dijual pisang goreng, tempe goreng, air minuman, madu macam choki-choki, kopi dan teh paket. Kalau rasa sejuk, minum kopi dulu dengan harga sekitar 7,000 rupiah. Kesimpulannya, sebelum mendaki, jangan lupa bawa siap-siap duit kecil yer.


POS LANDENGAN DOWO KE POS WATU REJENG

Jarak perjalanan dari pos Landengan Dowo ke pos Watu Rejeng ialah 3 km. Trek pun natural, dah takde batu bata. Pokok-pokok pine yang tinggi-tinggi pun dah memenuhi hutan. Suhu pun semakin sejuk. Treknya masih seperti trekking, ada landai dan trek sedikit menaik. Trek memang santai, enjoy dan tidak mencabar. 

Pemandangan gunung pine di sekitar memang indah. Kabus dah mula menyelinap di celah-celah pokok pine, mendinginkan lagi suasana di dalam hutan. Apabila berselisih dengan pendaki yang baru turun, pasti mereka akan menegur kita dengan ceria, 'permisi pak', 'semangat pak' dan macam-macam sapaan lagi. Memang budaya yang sangat bagus, ni la dinamakan sahabat pendaki, walaupun tak kenal, tapi bila dah masuk gunung, semua akan bersaudara dan bersilaturrahim. Gunung kat Malaysia pun bagus gak, ramai je yang beri salam dan bertegur sapa.




Tiba di pos Watu Rejeng dengan ketinggian 2,350 meter. Pos Watu Rejeng memang meriah dengan pendaki yang berehat sebentar sambil makan buah tembikai, goreng pisang dan minum kopi di warung hutan.

POS WATU REJENG KE POS RANU KUMBOLO

Selepas melepaskan lelah di pos Watu Rejeng, kami meneruskan perjalanan ke Ranu Kumbolo dengan jarak 4.5 km. Hari pun semakin petang dan cuaca pun semakin sejuk. Makin ramai berselisih dengan pendaki yang sedang turun dan tak henti-henti menegur kami. Laluannya agak sempit dan kena ada orang yang mengalah untuk memberi laluan kat orang lain.Perjalanan pun masih santai lagi, tiada laluan yang pacak, hanya melalui lereng-lereng gunung pine. Pemandangan gunung sekitar pun semakin cantik. Ada 2 jambatan batu yang kami lalui dan antara port terbaik mengambil gambar.











Tak sedar pulak, tiba-tiba melalui laluan Tasik Ranu Kumbolo. Tersentak dan tercengang kami melihat keindahan pemandangan tasik biru dan kehijauan gunung sekitar, Ya Allah cantik sangat. Tanpa membuang masa, kami pun cepat-cepat ambil gambar di kawasan lereng gunung berlatarbelakangkan tasik yang sesekali kabus menutupi pemandangan tasik. Kadang-kadang berlalu hembusan angin kuat yang mendinginkan lagi suasana.






Hari pun belum gelap lagi, jadi kami melencong kejap ke padang rumput savana. Savana yang luas mata memandang, dikelilingi gunung dan kehijauan hutan pine. Memang tiada langsung pokok-pokok di sini, hanya rumput-rumput dan lalang-lalang yang kering dan sedikit hijau. Ada sikit-sikit macam savana kat Bukit Broga. Suasana pun berubah terlalu pantas, kadang-kadang terang dengan cuaca panas dan tiba-tiba boleh jadi redup ditutupi kabus. Subhanallah, memang terlalu indah ambil gambar di sini. Setelah puas ambil gambar, kami pun bertolak ke kawasan perkhemahan Ranu Kumbolo.












RANU KUMBOLO
PETANG di RANU KUMBOLO
Setelah 10 km berjalan daripada starting point Ranu pani, kami pun tiba jam 4.30 petang. Keseluruhannya 5 jam 30 minit. Sebenarnya 3 jam dah boleh sampai tetapi disebabkan kami terlalu banyak berhenti untuk ambil gambar, tu yang 5 jam baru sampai.

Setiap pendaki pasti akan bermalam di Ranu Kumbolo dengan ketinggian 2,400 meter dan suhu antara -4 hingga 20 darjah celcius. Ada pendaki yang tak pergi puncak pun tetapi sekadar camping di Ranu Kumbolo sebab di sini lah antara lokasi pemandangan yang paling indah, dan paling menakjubkan. Allah nak tunjukkan kepada manusia sikit jer kecantikan di dunia, bayangkan bagaimana hebatnya keindahan di Syurga. 





Hari semakin gelap, kami pun tolong-tolong pasang khemah. Wow memang beratus khemah dengan pelbagai warna dan rekabentuk dipasang secara berdekatan dan menghadap tasik Ranu Kumbolo. Ada gak beberapa team Malaysia yang berkhemah di sini. 

Guide pun tengah sibuk memasak di rumah batu yang dikhaskan untuk guide tidur dan memasak. Di sini ada toilet dan bilik mandi. Airnya memang direct daripada air tasik yang sangat sejuk. Bayaran masuk toilet, lebih kurang 1,000 rupiah jer untuk menampung kos jenerator dan upah pembersihan. Pondok surau yang diperbuat kayu pun disediakan. Tak silap saya ada 4 warung kat sini yang menjual tembikai, pisang goreng, kopi paket, air minuman dan sebagainya. Unggun api pun ada disediakan di setiap warung, sapa-sapa tak tahan sejuk, boleh la memanaskan badan di sini sambil minum kopi. 


Makanan pun dah siap, kami pun bentangkan tikar di tepi tasik. Huuu, bestnya, sambil makan sambil tengok pemandangan tasik dan layan cuaca sejuk.  Kami ditegur ketika mengambil wuduk di tepi tasik, sebenarnya dilarang menggunakan air di tasik dan boleh kena denda nanti oleh penguatkuasa Taman Negara. Kalau guna air kemudian kita buang air tu kat tempat lain, takde masalah. Yang dilarang adalah guna air dan air tu masuk balik dalam tasik.


MALAM di RANU KUMBOLO
Suhu sangat sejuk mungkin sekitar -4 darjah hingga 10 darjah celcius. Kami berkampung dalam khemah je la dengan memakai baju tebal dan stokin tebal. Kalau sapa-sapa yang tak tahan sejuk, boleh memanaskan badan di tempat unggun api berhampiran warung. Sambil duduk depan unggun api, boleh sembang-sembang dengan team Indonesia dan Malaysia.

Cuaca sangat baik malam ni. Langit sangat cerah dengan jutaan kerlipan bintang dan bulan mengambang yang menyinari tasik Ranu Kumbolo. Khemah kami betul-betul mengadap tasik dan memang cukup menenangkan, sambil baring, sambil tengok bintang. Susah sebenarnya nak dapatkan pemandangan bintang ni kat Malaysia. Subhanallah. 




Dengan kesejukan yang ekstrim, memang sukar untuk kami melelapkan mata. Sesekali kena keluar khemah gak untuk cari unggun api. Malam pun semakin pekat, wap kabus dah mula memenuhi keseluruhan tasik, seperti keluar daripada dalam tasik dan menghembuskan dan menari-nari di atas tasik. Moment yang sangat hebat. Kesejukan ini menyebabkan ada kesan-kesan ais di sekitar khemah.

PAGI di RANU KUMBOLO

Pagi yang sangat sejuk, kami menggagahkan diri untuk berwuduk dengan air yang sangat sejuk dan berjemaah di surau. Ramai pendaki dah mula berkumpul di tepi tasik untuk menyaksikan pemandangan matahari terbit jam 5.00 pagi. Wap kabus masih lagi bertiup dan memenuhi tasik mencantikkan lagi pemandangan tasik. Sinaran matahari dah mula menyinari gunung dan  hutan pine dan memancar di tasik menyebabkan kelihatan jelas bayang-bayang hutan dan gunung di atas air tasik. Kejelasannya seperti cermin. Subhanallah...tak tergambar keindahan pagi Ranu Kumbolo.









Banyak port yang cantik untuk ambil gambar. Selain gambar di tepi tasik, kami pergi jauh sedikit di hadapan tasik, untuk ambil gambar di pokok kayu yang tumbang ke dalam tasik. Gabungan cahaya merah pagi, wap kabus atas tasik, tasik biru, awan putih dan pokok pine menyebabkan gambar kami cukup sempurna.




Selepas itu, kami pergi ke belakang kawasan perkhemahan. Kena panjat bukit sikit, pastu pasang hammock antara 2 pokok dan ambil gambar. Ya Allah....pemandangan yang amat-amat cantik. Nampak beratus khemah beraneka warna, kebiruan tasik dan kehijauan hutan pine yang mengelilingi tasik. Puas mengambil gambar, kami pun bersarapan di hadapan tasik dan bersiap-siap untuk pengembaraan seterusnya.








POS RANU KUMBOLO ke POS CEMORO KANDANG ke POS JAMBANGAN ke KALIMATHI

Khemah dan beg pun dah siap kemas, jam 10.00 pagi, kami pun memulakan pengembaraan dengan beg yang agak berat dengan jarak 2.5 km untuk sampai ke pos Cemoro Kandang. Peringkat awal perjalanan, kena mendaki sikit dan melalui lereng-lereng gunung pine.


Selepas itu, kami memasuki pos Oro-Oro Ombo yang merupakan PADANG SAVANA VERBENA. Cuaca memang sangat panas dan tiada pokok-pokok tinggi untuk berteduh. Padang ini dipenuhi dengan pokok Verbena yang bunganya berwarna ungu seakan-akan seperti Lavender tetapi bukan spesis Lavender ye. Pokok Verbena ini berasal dari Amerika Latin sangat mudah untuk tumbuh dan mendominasi seluruh padang sehingga pokok-pokok lain sukar untuk hidup. Bila seluruh padang berwarna ungu, memang pemandangan akan jadi sangat cantik dan menakjubkan.








Setelah 50 minit perjalanan, kami mula memasuki trek hutan pine. Ahhhh lega, pokok pine yang tinggi dan berdaun tebal menutupi kami daripada cuaca yang panas. Di sini ada warung yang disediakan dan boleh rehat-rehat jap sambil makan tembikai. Kami meneruskan perjalanan dengan trek yang berdebu dan cuaca yang panas. Trek masih mendatar dan ada sikit-sikit la menaik. Trekking je. Selain pokok pine, ada gak pokok beri, kalau nampak buah yang masak, kami pun petik dan makan, buahnya sedap masam manis.







Perjalanan dari Cemoro Kandangan ke Jambangan sejauh 3 km dipenuhi dengan hutan pine yang tebal. Debu yang berterbangan pun semakin tebal dan mengganggu pernafasan. Akhirnya kami sampai ke pos Jambangan setelah perjalanan 1 jam 30 minit dari pos Cemoro Kandangan. Kami berehat di sini dan masih ada warung yang menjual air, buah-buahan, pisang goreng, kopi paket dan sebagainya. Di pos Jambangan berketinggian 2,600 meter, dah boleh nampak Puncak Mahameru yang berdiri megah dan menggerunkan dan menjadi idaman bagi setiap pendaki untuk menawannya.




Cuaca memang sangat panas. Memang dah tak terasa sejuk. Bayang-bayang pun sangat jelas kelihatan. Perjalanan seterusnya dari pos Jambangan ke pos Kalimati dengan jarak 2 km. Treknya mendatar dan berdebu. Pokok-pokok tinggi pun dah kurang. Hanya semak, lalang dan pokok renek. Walaupun tidak mendaki, tapi peluh banyak keluar sebab panas terik, tiada pokok untuk berteduh.

Alhamdulillah, sampai di pos Kalimati jam 1.15 petang dengan ketinggian 2,700 meter. Pos Kalimati adalah pos terakhir untuk bermalam dan beristirehat sebelum ke puncak. Jarak dari starting point Ranu Pani ke pos Kalimati melibatkan 14.9 km. 



Masa untuk pasang khemah. Ada beberapa warung kat sini dan ada rumah yang digunakan guide untuk tempat memasak. Kawasan sekitarnya memang kotor dengan sampah. Najis dan bau kencing ada di mana-mana. Tiada toilet dan tempat mandi di sini. Punca air kena berjalan kaki 20 - 30 minit untuk sampai ke tempat tersebut dan dikatakan tempat binatang liar minum. So kena pergi berkumpulan. Aktiviti petang ni, kita tidur dulu la.

Sebelum hari gelap, kami pun melepak di kawasan padang rumput yang lapang sambil minum kopi dan memerhati puncak Mahameru yang sangat menggerunkan tetapi sangat cantik pemandangannya seperti sebuah lukisan. Sesekali, terasa seperti ada hujan debu gunung berapi yang diletuskan dari puncak Mahameru. Habis baju dan kepala berdebu. Selepas makan malam, kami dinasihatkan tidur awal dan rehat secukupnya kerana esok akan melalui cabaran yang sulit.

MENDAKI PUNCAK MAHAMERU

Cuaca di Kalimati sangat sejuk mungkin antara -4 hingga 10 darjah celcius. Memang susah nak tidur tapi kena paksa gak pejam mata. Jam 12.15 tengah malam, kami pun bangun, bersiap bawa beg daypack. Jangan lupa bawa air. Bersenam dulu dan mendengar taklimat daripada guide. Selepas itu kami mulakan perjalanan memasuki hutan pine dengan kegelapan malam dan debu yang sangat banyak yang berterbangan. Beratus pendaki turut sama mendaki menyebabkan suasana sangat meriah dengan kerlipan lampu headlamp. Kami akan menempuh cabaran getir dengan jarak 2.7 km dan ada lagi 976 meter lagi untuk menawan Puncak Mahameru

Apabila dah tak nampak pokok pine dan pokok renek, bermula la pendakian yang sangat menggerunkan dan paling mencabar dengan trek antara 60 - 90 darjah. Treknya penuh dengan pasir-pasir dan batu kerikil yang longgar dan tidak padat. Setiap kali kami memijak, pasti akan menggelongsor. Batu-batu di sepanjang trek juga tidak stabil, jika dipijak , batu itu akan menggelongsor dan jatuh ke bawah dan ada kes sebelum ini, pendaki yang meninggal disebabkan terkena batu yang jatuh. Debu menutupi trek dan menyesakkan untuk bernafas. Pakaian dan muka pun berdebu. Jangan lupa pakai buff, kalau tak, sedut debu le jawabnya.





Perlu kekuatan fizikal untuk terus berjalan dan memijak tanah-tanah kerikil yang jerlus ini. Tiada pokok-pokok dan dahan-dahan untuk berpaut. Cuaca pun sangat sejuk sehingga menggeletar tangan. Takpe la, biar la naik setapak demi setapak tetapi perlu teruskan perjalanan. Kadang-kadang kaki tertimbus sehingga paras separuh lutut. So kena pakai Gaiter yer untuk elak batu masuk ke dalam kasut.

Dah masuk waktu subuh. Dah 4 jam mendaki, masih belum nampak tanda-tanda sampai puncak. Perlu jimat air, jadi kami bertayammum sahaja. Kami pun solah subuh berjemaah dengan duduk atas batu yang sedikit kukuh. Mengumandangkan al-Fatihah di hadapan langit yang mula kemerah-merahan, awan-awan yang membentuk karpet putih, dihadapan gugusan gunung-gunung dan angin sejuk yang bertiup menghadirkan ketenangan solah yang luar biasa. Rasa syukur yang amat sangat, Allah memberi kurniaan dengan memberi kekuatan untuk solah dan mengingatiNYA di hadapan ciptaan yang cukup menakjubkan.




Cahaya matahari mula menyinari sekeliling gunung. Jelas kelihatan gunung-gunung, awan tebal dan ratusan pendaki yang masih berada di bawah dan sedang berjuang untuk sampai ke puncak. Kami beberapa kali menghentikan langkah untuk menyaksikan pemandangan luar biasa ini.










PUNCAK MAHAMERU
Alhamdulillah, rezeki kami, jam 7.45 pagi, setelah hampir 8 jam berjuang, melawan trek yang jerlus, debu yang berterbangan, cuaca pagi yang sejuk, akhirnya kami sampai di Puncak Mahameru. Team kami yang laju, 5 jam diaorang dah sampai dan team kami yang terakhir tiba setelah 10 jam mendaki. Padahal ketinggian dari pos terakhir Arcopodo ke Puncak Mahameru hanya 1.5 km sahaja. Memang ada pendaki yang tidak mampu sampai ke puncak disebabkan kecederaan, kepenatan melampau, masalah cuaca dan gagal melawan mental terpaksa berpatah balik.



Suasana cukup meriah di atas puncak yang luas dengan pendaki mengambil gambar dan ada juga yang sakit dan cedera. Namun jelas kelihatan di riak wajah, betapa kepuasan yang amat sangat bila sampai di puncak. Alhamdulillah cuaca sangat baik. Nampak jelas gunung Bromo dan gunung sekitar. Kehijauan hutan yang jauh mata memandang. Langit pun sentiasa membiru dengan awan-awan tebal mengelilingi puncak. 



Walaupun cahaya matahari terik, kadang-kadang terasa sejuk lagi, lebih-lebih lagi bila ada angin kuat. Tiada sebarang tumbuhan di atas puncak, hanya batu-batu gunung berapi sahaja. Moment paling hebat dan menakutkan apabila, berlaku letusan lahar gunung setiap 20 - 30 minit. Mengeluarkan asap tebal kelabu gunung berapi yang aktif.



TURUN PUNCAK MAHAMERU

Setelah 1 jam berada di puncak, dah sampai masanya untuk turun. Semasa turun puncak, kami melalui trek lain, trek yang dikhaskan untuk turun sahaja. Trek ini mempunyai tanah dan batu kerikil gunung berapi yang lebih jerlus, longgar dan tidak stabil berbanding trek untuk naik ke puncak. Ada cara tersendiri untuk turun iaitu dengan menggunakan teknik SKI GUNUNG BERAPI. Yup sama macam ski ais. Pegang kuat-kuat stick atau kayu, kemudian belakangkan badan sikit, hulurkan kaki kat tanah, pastu layan jer, biarkan kaki kita terus menggelongsor. Jangan bongkokkan badan, kawal kaki dan badan kita dengan stick. Fokus 100%. 




Yeeaaaaa sangat best main ski ni dan pengalaman yang sangat hebat menuruni puncak dengan 60 - 80 darjah. Semasa kami turun puncak, rupa-rupanya masih ramai lagi yang sedang berjuang untuk naik ke puncak. Kami memberi semangat kepada mereka agar mereka terus cekal dan jangan putus asa.

30 minit sahaja kami sampai kat bawah. Tu diaaa... Bayangkan... 8 jam naik pastu turun hanya 30 minit jer...Kami sampai di hutan pine dan berjalan kembali melalui trek pokok pine. lebih kurang 1 jam kami sampai di pos Kalimati. Apa lagi, sementara menunggu kawan-kawan yang belum sampai, kami tidur dulu la.

PERJALANAN PULANG KE STARTING POINT, RANU PANI

Lebih kurang jam 2.00 petang, kami pun bertolak pulang dari pos Kalimati. Dianggarkan nak sampai starting point, Ranu Pani lebih kurang 13 km. Kali ni, kami jalan agak laju. Cuma agak lambat sikit la, bila berselisih dengan pendaki lain, kena berhenti dan beri laluan kat orang lain. Debu pun boleh tahan banyak. 


Sampai di Ranu Kumbolo, kami solah sebentar dan meneruskan perjalanan. Sesekali kami melihat segerombolan awan yang bergerak laju melalui celah-celah gunung dan akhirnya membentuk awan karpet yang sangat menakjubkan. Kami sampai di pos Landengan Dowo dah waktu maghrib. Kami berhenti sekejap untuk menghormati waktu sambil menumpang unggun api di warung. 


Hari dah gelap, cuaca semakin sejuk, kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai di Starting Point Ranu Pani lebih kurang jam 8 malam. Kami pun berehat di warung dan makan malam dengan penuh selera. Selepas itu, kembali ke homestay menempuh suhu yang sangat sejuk. Rasa tak percaya pulak kami berjaya menyelesaikan misi pendakian dan pengembaraan yang cukup hebat dan pengalaman yang sukar dilupakan sampai bila-bila. Syukur...Cukup la setakat ni...jumpa lagi next trip yer...Bye...

2 comments:

  1. saya amat tertarik dengan journal tuan mendaki gunung semeru. bolehkah tuan berkongsi informasi tentang costing dan contact person jasa bus dari juanda airport ke tumpeng, costing jeep, tarif homestay, guide & porter. sekian terimakasih.

    -Sab
    JB

    ReplyDelete
    Replies
    1. maaf tuan.. saya pun ikut organizer lain. sy hanya bayar RM 650 dan organizer akan uruskan semua. Flight sendiri (RM 700 pergi balik)

      Delete