13 November, 2022

GUNUNG RINJANI, LOMBOK INDONESIA : Antara Gunung Terindah Di Asia

8-12 OKTOBER 2022




HARI PERTAMA

    Penerbangan ke Lombok Indonesia hanya sekali sahaja sehari. Kami mendarat di Lapangan Terbang Lombok dan perjalanan mengambil masa 3 jam 5 minit.

Kenderaan Langit - Karya Joko Avianto, 2019 yang dipersembahkan di Lapangan Terbang Lombok. Gambaran awan sebagai lambang dunia yang luas. Berat 250 kilogram dan mampu menampung 4 orang dewasa.

    Wakil penganjur syarikat Ohana, sudah menanti lama di lapangan terbang. Untuk pakej pendakian gunung Rinjani 5 hari 4 malam ini, saya membayar sebanyak RM 900 tidak termasuk tiket penerbangan. 

    Kami menaiki van persiaran. Segera menuju ke restoran di bandar Mataram untuk makan tengah hari. Suasananya nyaman berdekatan sawah. Angin bertiup nyaman menambahkan lagi selera makan.




Selesai makan, kami bertolak ke Kampung Senaru. Kawasan bandar yang padat dengan penempatan. Terlalu kurang bangunan-bangunan tinggi. Motorsikal banyak menguasai jalan raya yang menyebabkan pergerakan van menjadi perlahan. Sepanjang perjalanan kami melewati banyak kampung tradisional, sawah terbentang luas, ladang jagung yang merimbun dan kebun sayur-sayuran. Kami juga melalui jalan pantai dengan deretan pokok kelapa menghias keindahan pantai. Ada juga laluan bukit yang sempit dan curam dikelilingi hutan.

Jam 7.00 petang. 4 jam juga perjalanan. Kami selamat tiba di Guesthouse Anak Rinjani di Kampung Senaru. Suasana sudah malam. Aktiviti kampung masih rancak. Kami check-in bilik. Satu bilik dua orang. Bilik yang sederhana. Tiada pendingin udara tetapi kipas pun sudah memadai kerana suasana malam di kampung ini agak dingin. Kami disajikan makan malam secara buffet. Kemudian ketua penganjur dari kampung Senaru memberikan taklimat berkaitan pendakian Rinjani. Pada ketika ini, mana-mana keperluan yang kurang seperti hiking stick, baju hujan dan gaiter. boleh beli daripada penganjur.

HARI KEDUA
    Seawal jam 7.00 pagi, kami bertolak menaiki lori barang menuju ke desa Sembalun yang merupakan starting point Rinjani. Pagi yang cerah dan meriah kerana kebetulan hari ini adalah sambutan Maulidur Rasul. Orang kampung ada yang berarak dan bergotong royong menyiapkan kenduri kampung. Sepanjang perjalanan, kami melihat banyak kebun buah gajus. Biji buah gajus yang biasanya diproses hingga menjadi kacang gajus yang sedap dan rangup.  

 

   Setelah 1 jam perjalanan, kami tiba di starting point Desa Sembalun. Gunung Rinjani tersergam megah di hadapan kami. Benar-benar mengujakan. Di sini ada kemudahan Ojek dengan bayaran 150 ribu rupiah. Penunggang motorsikal akan membawa pendaki sampai ke Pos 2 sahaja yang mengambil masa sekitar 30 - 45 minit. Ojek ini hanya pilihan sahaja. 


    Sebahagian pendaki mahu berjalan kaki menikmati pemandangan hutan savana yang menakjubkan. Setiap sudut pemandangan banyak di hiasi dengan pemandangan lalang dan rumput yang kuning kehijauan yang beralun-alun. Cuaca agak panas tetapi diiringi sekali sekala dengan angin kencang yang dingin.







    Kami tiba di Pos 2 dengan ketinggian 1,500 meter. Sekitar 1 jam 30 minit perjalanan dari starting point. Guide mengarahkan kami berehat lama di sini kerana porter akan memasak makan tengah hari. Sambil-sambil itu kami menikmati pemandangan savana yang cukup menakjubkan sambil duduk bersandar di pondok wakaf yang disediakan.






    Selepas makan tengah hari, jam 11.30, kami memulakan langkah. Masih mendaki kawasan savana yang berbukit-bukit. Di jalur ini, sudah kelihatan banyak pokok Cemara yang tinggi dan merimbun. Pendakian pun semakin mencabar kerana ada jalur yang curam sehingga memenatkan kami. Cuaca pun telah berubah menjadi mendung. Awan tebal bertompok-tompok hitam di langit. Kabus tebal mula menyuram suasana. Hujan sudah mula turun membawa sekali angin sejuk. Masing-masing memakai baju hujan dan kesejukan. Porter yang mengandar barang seberat 30 kilogram nampak mula kesukaran untuk memanjat bukit yang agak curam.









    Jam 4.00 petang, saya berjaya sampai di Pos Pelawangan Sembalun dengan ketinggian 2,668 meter. Disambut monyet-monyet Rinjani yang setia menanti lebihan-lebihan makanan. Kami akan berkhemah dan bermalam di sini. Waktu malam yang terlalu dingin. Hujan lebat membasahi Pelawangan membawa angin yang kuat. Kedengaran bunyi pekikan angin kuat yang menggerunkan di bahagian utara Pelawangan. Apa-apa pun kami hanya mampu berdoa agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.





HARI KETIGA

    Jam 2.30 pagi. Kami sudah mula mendaki puncak. Hujan sudah berhenti. Tetapi angin kuat masih bertiup. Sangat sejuk. Langit cerah disinari bulan purnama. Jalur pendakian begitu mencabar kerana tanahnya daripada batu-batu lava gunung berapi. Permukaan tanah yang longgar dan tidak stabil. Setiap kami melangkah pasti akan menggelongsor beberapa inci ke bawah. Kadang-kadang mendap menutupi kasut seperti pasir jerlus.



    Kemudian kami sampai di jalur permatang. Trek di sini agak sempit, agak landai dan beralun-alun. Ada tanah yang longgar dan ada tanah yang stabil. Pendakian yang sedikit santai. Saya sampai di sebatang pokok Cemara yang satu-satunya hidup rimbun di jalur ini. Sempat bersolat Subuh dahulu.

    Selesai solat, saya meneruskan pendakian. Kali ini jalurnya lebih mencabar dan paling mencabar. Pendakian yang mampu melenguhkan dan menyakitkan otot kaki. Pendakian yang memenatkan. Jalurnya 100% seperti pasir. Longgar dan tidak stabil. Mudah menggelongsor. Disuliti lagi dengan angin sejuk yang masih bertiup kencang. Oksigen yang semakin kurang. Risikonya sesetengah pendaki boleh terkena penyakit altitud di jalur ini. Namun apabila matahari terbit, kecantikan Rinjani begitu terserlah. Terlalu indah dan nyaman. Warna merah menyirami jalur-jalur Rinjani. Di penjuru langit dihiasi jaluran merah keorenan.

    Jam 7.30 pagi, setelah 5 jam bertarung fizikal dan minda, akhirnya saya sampai di puncak Gunung Rinjani dengan ketinggian 3,726 meter. Saya antara kumpulan terakhir tiba, jadi puncak menjadi sunyi. Pemandangan di puncak Rinjani sangat-sangat menakjubkan. Boleh kelihatan danau atau tasik Segara Anak yang biru kehijauan. Di sekitar danau tersebut, tersergam gunung berapi yang masih aktif dinamakan gunung Barujari. Di keliling Rinjani juga terdapat kesan-kesan runtuhan gunung berapi yang beraneka bentuk yang menggerunkan. Di sebelah timur Rinjani kelihatan kehijauan hutan savana dan cemara serta penempatan masyarakat yang berhampiran.







    Disebabkan saya agak lewat sampai ke puncak, guide mengarahkan saya untuk turun segera. Khuatir berlaku perubahan cuaca dan kelewatan bergerak ke perhentian seterusnya. Perjalanan menurun lebih mudah kerana saya hanya perlu menggelongsor ke bawah. Cuma perlu fokus dan seimbangkan badan supaya tidak jatuh. 









    Dalam masa 2 jam sahaja, saya sudah sampai di tapak perkhemahan Pelawangan Sembalun. Kami berehat dahulu makan tengah hari di Pelawangan Sembalun. Bersantai-santai melihat pemandangan danau yang kebiruan dan hutan savana yang kehijauan.



    Jam 1.00 petang, kami meninggalkan tapak perkhemahan pelawangan dalam keadaan kabus tebal. Trek menurun yang curam, berbatu dan licin. Setelah 40 minit, kami berjaya keluar daripada dunia kabus. Pemandangan telah berubah begitu indah dengan hamparan kehijauan hutan savana yang dikelilingi gunung dan permatang.



     Setelah 3 jam menuruni gunung, akhirnya kami tiba di danau Segara Anak dengan ketinggian 2,004 meter. Keluasannya 11.3 kilometer persegi dengan kedalaman maksimum 230 meter. Air danau yang biru kehijauan. Berdekatan dengan gunung Barujari yang masih aktif mengeluarkan asap sulfur. Danau yang dikelilingi lereng-lereng dan rabung gunung. Hujan semakin lebat, kami hanya berkampung sahaja di dalam khemah sambil bersembang tentang pengalaman pendakian masing-masing.

HARI KE-4

    Pagi yang cerah dan nyaman. Kelihatan pancaran matahari pagi menyinari setiap rabung gunung dan sudut air danau yang berombak tenang. Burung-burung pipit berekor merah berterbangan rendah dan mematuk makanan di tanah. Ada pendaki yang memancing ikan di tepi danau. Ada juga pendaki yang sekadar berjalan-jalan menghirup udara segar sambil bergambar.






    Selepas sarapan, jam 8.00 pagi, kami mula beredar dari danau Segara Anak. Meneruskan perjalanan. Trek kali ini begitu lumayan sekali pemandangannya. Setiap minit, kami dapat melihat pemandangan yang berbeza dan unik. Keindahan tanpa henti. Awal pengembaraan, kami melalui lembah savana yang ditumbuhi spesies lalang dan rumput yang hidup subur. Ditambah pokok-pokok cemara yang tumbuh tinggi. Di tepi lembah dihiasi dengan kecantikan lereng-lereng dan rabung gunung yang tinggi melangit. Suasananya begitu nyaman dengan kehijauan alam. Kami juga menyaksikan ketinggian air terjun yang airnya menjunam deras.




   
    Kemudian kami melewati pula kolam air panas semula jadi. Seterusnya sampai di kawasan jajaran sungai yang agak cetek. Namun airnya agak keruh kerana bercampur sulfur. Selepas itu kami mendaki di lereng-lereng gunung yang sempit dikelilingi rimbunan lalang. Kami berhenti sebentar di separuh perjalanan untuk menikmati makan tengah hari. Selepas makan tengah hari kami meneruskan kembali perjalanan. Kali ini trek adalah hutan tebal dengan pokok-pokok balak yang tinggi melangit. Barulah kedengaran bunyi serangga dan unggas di hutan yang kelam dan redup.























    Setelah berjalan hampir 8 jam dari danau Segara Anak, akhirnya saya berjaya sampai ke penamat pendakian di Desa Torean. Rasa terharu kerana berjaya menyelesaikan misi pendakian sejauh 30 kilometer dari starting point hari pertama hingga hari terakhir. Pengalaman yang menakjubkan. Memang patut gunung Rinjani dikategori sebagai antara gunung terindah di Asia.



No comments: