29 August, 2011

WAKAF CHE YEH, PASAR SITI KHADIJAH, MENARA TINJAU, MASJID MUHAMMADI & PANTAI CAHAYA BULAN : Lokasi 'Trademark' Kelantan...

25-26 OGOS 2011
WAKAF CHE YEH

Kalau saya pergi Kelantan, mesti orang akan kata 'jangan lupa pergi Wakaf Che Yeh'. Saya pun terfikir, apa yang hebat sangat Wakaf Che Yeh ni. Daripada KB Mall, saya bertolak ke Wakaf Ch Yeh lebih kurang 4km. Jam 12.00 tengah malam saya sampai, banyaknya kenderaan 'parking' ditepi jalan.Memang agak sukar nak cari 'parking'.Manusia memang ramai sangat dan terlalu padat, kebetulan masa saya pergi adalah minggu terakhir ramadhan. Orang nak beli baju raya kot.

Keluasan Wakaf Che Yeh yang lebih kurang suku ekar, dipenuhi dengan beratus gerai-gerai yang menjual pelbagai pakaian wanita dan lelaki, barang keperluan peribadi, makanan ringan, peralatan rumah, perhiasan dan sebagainya. Difahamkan, waktu pagi ianya adalah pasar basah menjual sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging. Waktu malam sehingga jam 3 pagi ianya menjadi pasar malam yang meriah.Saya balik jam 1.30 pagi tapi saya lihat pengunjung tak berkurang dan masih meriah.Kenapa pengunjung pergi sini ye, mungkin saya ada jawapan. 1) Barang banyak dan pelbagai 2) Harganya mungkin berpatutan dan boleh tawar-menawar.
 
 
 
 
MENARA TINJAU TAMBATAN D'RAJA KOTA BHARU

Dibuat pada Disember 2009 dan projek di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia. Penat gak naik ke atas. Daripada atas, kita akan melihat pemandangan sungai Kelantan dan sebahagian Kota Bharu.

 
 

MASJID MUHAMMADI

Masjid ini ada keklasikannya. Dibina sejak 1867 lagi dengan menggunakan kayu terpilih.Pada zaman dulu, masjid ini dijadikan pusat pengajian Islam. Ramai tuan-tuan guru yang tersohor pernah mengajar disini antaranya Tok Kenali sendiri. Setelah dibuat banyak pengubahsuaian, masjid ini kini mampu menampung sehingga 2400 jemaah.

 
 
PASAR BESAR SITI KHADIJAH

Pasar ini menjadi 'trademark' bila berkunjung ke Kota Bharu. Nama Siti Khadijah diberi adalah sebagai penghormatan ke atas golongan wanita yang banyak berniaga di komplek ini.Semuannya ada 4 tingkat. Bahagian bawah adalah kawasan barang basah, tingkat 2 - barang kering, tingkat 3 & 4- barang bukan makanan seperti pakaian.



PANTAI CAHAYA BULAN

Ini la, pantai yang terkenal yang berdekatan dengan Kota Bharu.Pantai ini ada sejarah tersendiri iaitu tempat pendaratan tentera Jepun untuk menyerang tentera British pada tahun 1941. Nama asalnya Pantai Cinta Berahi yang diilhamkan oleh seorang askar British yang putus cinta.Pantai ni nampaknya dah semakin terhakis. Terkenal lagi ke pantai ni sekarang !!
 

QARYAH RAMADHAN KOTA BHARU: Pelancongan Ibadah di Tengah Kota...

25 - 27 OGOS 2011
QARYAH RAMADHAN, PERKARANGAN STADIUM, KOTA BHARU. 
(MALAM PERTAMA, 26 RAMADHAN)
Sebenarnya, dah 20 tahun saya memasang impian untuk beribadah 10 malam terakhir di Qaryah Ramadhan, Kota Bharu. Sebelum ni, macam-macam halangan. Walaupun terlalu lama menanti saat ni, Alhamdulillah Allah makbulkan juga.

Sebelum tu, saya nak cerita sedikit sejarah Qaryah ni. Ianya bermula pada tahun 1990-an di Jalan Tok Hakim berdekatan stesen bas dan pasaraya Store. Masa tu jalan ni ditutup sepanjang Ramadhan dan diistihar sebagai Dataran MPKB. Khemah-khemah dipasang sepanjang jalan yang boleh memuatkan 2000 jemaah. Lantainya dipasang playwood dan tikar. Imamnya dikalangan orang-orang tahfiz. Pada tahun 2006, Qaryah Ramadhan ditukar ke perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke IV sehingga kini.

Saya tiba pada waktu Asar dalam hujan lebat. Saya masuk khemah utama. Ermm, sejuknya. Ada pendingin udara rupanya. Wow besarnya tempat ni boleh memuatkan 3000 jemaah dalam satu masa. Disebelah kanan, dibuat satu pentas utama untuk aktiviti tazkirah, ceramah, motivasi, program Al-Quran dan sebagainya. Biasanya dibuat selepas sesi tarawikh selesai. Di sebelah kiri pula, ruangan solah muslimat. Lantainya diletak playwood dengan carpet. Memang cukup selesa. Di kawasan luar pula, didirikan khemah untuk solah dan berbuka puasa. Makanan berbuka disediakan. Pastu ada pulak pentas. Memang tempat ni dibuat dengan begitu sistematik la....

Mendengar azan dilaungkan menegakkan bulu roma saya. Nada azannya cukup berintonasi dan menggetarkan seolah-olah seperti berada di Mekah. Saya solah Maghrib, Isyak dan Terawikh bersama-sama lebih 3000 ribu jemaah dengan berimamkan syeikh Hisham dan syeikh Ramadhan dari Mesir. Suaranya ketika membaca ayat al-Quran cukup lunak, merdu, beralun-alun, berintonasi, nyaring, beremosi dan cukup bertadabbur. Ayat al-Quran dibaca mengikut maksud tertentu. Bila ayat berkaitan siksaan, neraka dan ancaman, imam akan membaca dengan nada tegas. Bila ayat berkaitan syurga dan kebaikan, nada suaranya cukup mendayu-dayu. Walaupun nak abiskan 2 rakaat Tarawikh mengambil masa 15 minit, ianya tidak melekakan sebab kita akan terlalu asyik mendengar bacaan al-Quran yang mendayu-dayu dan penuh beremosi walaupun kita tak faham maksud ayat tersebut. Rupa-rupanya, setiap malam, solah terawikh ni dirakam secara live dan boleh disaksikan di internet. Selesai Terawikh 8 rakaat tanpa witir, dekat 10.30 malam gak abis, tazkirah disampaikan oleh penceramah jemputan. Siap ada LCD projektor lagi tu di sebelah kiri dan kanan.

Jam 3 pagi ada Qiamullail. Sebelum menanti jam 3, saya cuba melelapkan mata di dalam surau yang ber'aircond'. Ramai gak yang tidur bergelimpangan dalam surau ni. Solah sunat Tahajjud 8 rakaat pada pagi itu dipimpin oleh syeikh Ramadhan. Setelah selesai, program munajat, solah Taubat dan solah Hajat dijalankan oleh imam jemputan daripada Selangor. Lepas subuh, saya dah tak larat 'so' saya tidur je dalam kereta. Malu nak tidur dalam surau sebab jemaah sedang bertadarus.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

QARYAH RAMADHAN (MALAM KEDUA, JUMAAT, 27 RAMADHAN)

Arini kehadiran jemaah agak luar biasa. Ramai sangat dan padat sebab hari cuti. Malam ni terawikh 'special' sikit iaitu mengambil suasana khatam al-Quran. Syeikh Hisham dari Mesir selaku imam, hanya membaca ayat-ayat daripada juzuk 30 hingga la surah lazim. Malam ni ada solah sunat witir 3 rakaat 2 salam. Semasa witir satu rakaat ada doa qunut.....Ini lah doa qunut yang paling panjang pernah saya alami sejak saya lahir. lebih 20 minit baru selesai sehingga kaki lengoh semasa berdiri dan tangan kejang semasa berdoa. Ada jemaah yang tak tahan, tiba-tiba terpaksa duduk. Walaupun doa qunutnya panjang tapi tak terasa sangat sebab doanya dibaca cukup mendayu-dayu sehingga beberapa kali suara imam tersekat sebab menangis.Walaupun kurang memahami bacaan doa tersebut tapi ramai jemaah merasa sebak dalam menginsafi segala dosa-dosa.

Selepas itu, ada majlis bacaan yassin sempena anak-anak yang akan mengambil UPSR dan ceramah motivasi.

Malam ni ada Qiamullail dan munajat perdana. Kebetulan malam ganjil, mudah-mudahan malam Lailatul Qadar. Pukul 3 pagi bermula solah tahajud yang dipimpin Ustaz Hussin Ibrahim Masri dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Bacaan zikir dan munajat pula dipimpin Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak. Allahuakbar...ramainya yang hadir. Tak kira lelaki, perempuan, anak-anak kecil, remaja-remaja, orang muda, orang tua. Tak kira samaada rakyat biasa malah pemimpin-pemimpin masyarakat, exco-exco pun ada. Lebih 3000 orang berqiamullail dan bermunajat di dalam dan di luar surau. Kagum dan terkejut saya. Rasa macam pukul 9.00 malam je. Cukup meriah. Biasanya kalau qiamullail ni orang malas nak hadir tapi di sini tidak. Memang susah nak cari suasana Qiamullail yang ramai jemaah di tempat lain. Hanya di Kota Bharu sahaja....Hanya di Kota Bharu sahaja.....Qiamullail di akhiri dengan munajat daripada Menteri Besar Kelantan sendiri, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat...Selepas itu, orang ramai bersahur beramai-ramai membawa juadah sendiri. Terharu sangat tengok satu 'family' dengan mak bapak dan anak-anak kecil bersahur sama-sama ditepi-tepi jalan.

 
 
 

KULIAH ILMU HARI JUMAAT di DATARAN ILMU, MPKB, KOTA BHARU

Pukul 8,30 pagi. saya bersiap-siap untuk pergi Kuliah Ilmu di Jalan Dato' Pati. Dari Stadium, jalan je, 8 minit sampai. Wow, banyaknya kereta, ramainya orang. Di kiri kanan jalan tersebut banyak gerai-gerai menjual pelbagai pakaian, makanan dan barang-barang keperluan. Macam pasar pulak.Di tengah-tengah jalan, dipasang khemah untuk kemudahan orang ramai duduk sambil mendengar kuliah ilmu. Saya duduk betul-betul berhadapan dengan penceramah iaitu Menteri Besar Kelantan sendiri, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Ini lah 'First time' sejak 20 tahun, saya dapat mendengar kuliah ilmu daripada seorang Menteri Besar. Wajahnya putih bersih, suaranya lembut tapi ada kalanya masih bernada tegas, fizikalnya kecil tetapi masih bertenaga walaupun sudah berumur 80 tahun, raut wajahnya yang berkedut cukup menenangkan mata memandang, pakaiannya sederhana dengan baju jubah putih lambang seorang Tok Guru. Setengah orang yang berumur 80 tahun biasanya menampakkan kenyanyukan dan fizikal yang terlalu lemah tetapi Tuan Guru tidak begitu. Ribuan manusia begitu tekun mendengar kuliah bertajuk kisah Abu Ayyub.Saya sedikit sukar nak menghayati sebab bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru adalah Dialek Kelantan.

Jam 10.30 pagi, kuliah selesai. Saya sempat berjabat tangan dan mengambil gambar curi sebagai kenangan yang cukup indah. Tuan Guru beredar dengan keretanya. Tiada polis trafik, tiada kereta peronda. Hanya seorang prebet polis yang berpangkat rendah sahaja yang mengawal. Sangat berbeza, kalau orang besar lain, saya rasa berbelas polis yang mengawal. Sebelum saya beredar, sempat la tengok-tengok gerai sepanjang jalan kat situ.

 
 
 
 
 
 
 


ZIARAH MAKAM TOK KENALI
Semasa zaman sekolah dulu, cikgu-cikgu ada ceritakan tentang kisah seorang ulama dan wali yang terkenal daripada Kelantan iaitu Tok Kenali. Jadi, arini saya berazam cuba menjejak makam Tok Kenali di Kubang Kerian. Susah betul nak pergi tempat ni sebab tiada papan tanda yang jelas. Memang tawakal betul la. Akhirnya sampai setelah beberapa kali sesat. Dari jalan utama, ada lorong kecil, pastu ada papan tanda yang dah lusuh ditulis Lorong Tok Kenali. Makamnya dah berbusut, mungkin ada hikmah yang besar kenapa keadaan ini berlaku. Hanya Allah yang tahu. Tok kenali dilahirkan pada 1871 dan wafat pada November 1933. Terlalu banyak kisah Tok Kenali, kalau nak diceritakan disini, tak mampu rasanya. Beli je buku terbaru tentang Kisah Tok Kenali yang ditulis sendiri oleh cicit Tok Kenali. Rasanya dah 'publish' sejak Jun 2011.
 
 
Sedikit kisah Tok Kenali:
Dikisahkan oleh guruku, satu kisah ulama besar Tok Kenali, telah diundang oleh seorang penduduk kampung untuk ke majlis tahlil/yasin di rumahnya. Ditunggunya Tok Kenali tak kunjung tiba sehingga majlis dimulai. Pada pertengahan majlis datanglah Tok Kenali ke rumah penduduk kampung itu, tetapi mengejutkan Tok Kenali telah naik ke rumah beliau dengan melalui tingkap. Maka hairanlah ahli dalam majlis itu, tuan rumah hanya berdiam, lalu ditanya salah seoarang ahli majlis mengapa Tok Kenali naik ikut tingkap dan tidak beradab ke rumah tetamu. Lalu Tok Kenali mengatakan yang beliau naik melalui tingkap kerana tangga tuan rumah itu didirikan melalui harta haram (RIBA). Lihatlah kehalusan jiwa mereka yang dibuka matahati oleh Allah di anugerahkan Allah membezakan antara Haq dengan yang Batil dalam segala urusan kehidupan.

RUMAH MENTERI BESAR

Sempat la pergi tengok rumah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka. .'First Impression', saya ingat rumah Menteri Besar ni mesti banglow yang  berharga jutaan ringgit, tembok pagar berhias yang tinggi dilengkapi CCTV dan pengawal, hiasan rumah dan lanskap yang indah dan deretan kereta berjenama yang mahal-mahal. Rupa-rupanya, tanggapan saya salah.Rumah Menteri Besar Kelantan hanya rumah yang berdindingkan papan, cukup sederhana, tiada pagar, tiada pengawal, disebelah rumahnya adalah surau dan sekolah agama. Patut la majoriti orang Kelantan cukup sayang kat MB ni.
 
 
 

BAZAR RAMADHAN, PERKARANGAN STADIUM.

Sebelah Qaryah Ramadhan, ada Bazar Ramadhan yang dianggap terbesar di Kota Bharu. Macam-macam makanan dan minuman yang dijual. Kalau orang luar datang sini mesti sangat teruja sebab macam-macam makanan yang susah nak dijumpai di negeri-negeri lain. Hanya kat Kelantan sahaja. 'Of course la', saya beli nasi kerabu special, ayam percik, daging lembu bakar, nekba ( kuih baulu yang diletak gula), pisang pengat dan pisang yang diletak air gula (apa tah namanya).