26 June, 2022

Mendaki GUNUNG STONG - AYAM - BAHA & Meneroka GUA GELAP - KERIS - PAGAR Dabong Kelantan.

1-3 Februari 2022

Harga pakej pendakian : RM 180


HARI PERTAMA

Kami dari Kuala Nerang, Kedah melalui jalan Timur Barat (Gerik-Jeli). Kemudian sampai di Jeli masuk ke Jalan Dabong. Pemanduan sepanjang jalan Dabong ke starting point Gunung Stong mengambil masa sekitar 1 jam dengan jarak sekitar 50 kilometer.

Kami sampai di simpang berhampiran Masjid Mukim Jelawang dan Dewan Kesedar Jelawang. Di sini, kami sudah nampak pemandangan dari jauh air terjun Jelawang yang sangat menakjubkan. Terdapat juga beberapa kedai makan, memudahkan pendaki untuk menikmati masakan Kelantan terlebih dahulu sebelum memulakan pendakian.

Selepas menikmati makanan di warung berdekatan, kami memulakan perjalanan semula. Melalui jalan yang sempit dan berbukit. Kami terserempak satu lokasi khas dinamakan Gunung Stong Waterfall View yang dibina khas untuk pengunjung menyaksikan pemandangan indah berhadapan dengan air terjun Jelawang. Banyak juga kereta yang parkir di tepi jalan yang sempit. Mengambil peluang bergambar berlatarkan air terjun Jelawang. 

Kami tiba di Stong Hill Resort. Parkirnya padat dengan kereta dan motorsikal. Sukar juga mencari parkir. Pengunjung yang datang ke sini, bukan sahaja pendaki tetapi orang awam yang bercuti sambil bermandi-manda di sungai yang sejuk dan menikmati pemandangan hijau hutan yang mengasyikkan. Ada juga yang bermalam di chalet dan dorm yang disediakan dengan harga bermula RM 100 dan dorm berharga RM 30 seorang.

Jam 4.00 petang, kami seramai 16 orang termasuk 2 orang guide memulakan pendakian. Melalui laluan bersimen di lereng sungai yang mengalir laju dengan deruman yang kuat. Kami memperhatikan orang ramai sedang seronok mandi, ada yang duduk di atas batu sedang menikmati dan merasai ketenangan alam.




4.20 petang, kami tiba di penghujung kawasan rekreasi. Ada pintu pagar yang masih dikunci. Hanya pendaki yang berdaftar dan berpermit sahaja dibenarkan meneruskan pendakian. Kali ini, kami berjalan melalui denai hutan, sudah jauh dari sungai. Sudah tiada tangga simen. 

4.45 petang, kami tiba di kawasan air terjun. Baru separuh perjalanan. Kami menyeberangi kawasan batuan yang agak curam dan licin. Pemandangan air terjun Jelawang betul-betul dekat di hadapan kami. Keindahan di sini menyebabkan kami berhenti sebentar. Merenung dan memperhatikan keajaiban alam. Kemudian mengambil gambar berlatarkan air terjun. Sesudah itu, kami meneruskan perjalanan memasuki hutan semula. Denai tanahnya meninggi dipenuhi batu-batu kecil dan besar serta berlopak-lopak. Kepenatan. Titisan peluh mengalir laju membasahi baju. Berhempas pulas melangkah sambil membawa beg besar yang sendat dan berat dengan bahan mentah makanan dan pakaian.





6.20 petang (2 jam 20 minit dari starting point), kami tiba di Kem Baha di ketinggian 463 meter. Kemnya luas, mampu menampung sehingga 100 pendaki dalam satu-satu masa. Ada beberapa chalet tradisional, tandas dan bekalan air daripada sumber air sungai. Tetapi apa yang paling menakjubkan di Kem Baha, di sinilah puncak air terjun Jelawang.

Air terjun Jelawang setinggi 303 meter dikatakan dan dicatatkan setinggi tujuh tingkat. Di atas air terjun ini, kami dapat melihat nun pemandangan kehijauan dan kawasan penempatan yang sangat indah. Memang curam dan menakutkan. Waktu pagi memang ditunggu-tunggu untuk melihat pemandangan indah matahari terbit dan awan karpet yang berarak tenang.

Air sungainya sejuk, bersih dan dikelilingi suasana hijau yang menenangkan. Bongkah-bongkah batu besar menjadi tempat pendaki bertenggek duduk melepak menghayati ketenangan. Ada yang berani menggelongsor di atas batuan air terjun yang mengalir laju kemudian terus jatuh menghempas air sungai yang dingin.

Sebelum hari gelap, kami cepat-cepat memasang khemah dan memasak untuk hidangan makan malam. Malam yang panas. Gelap pekat. Hanya ditemani dengungan serangga dan unggas. Meriah pula dengan kebisingan kumpulan pendaki lain yang membuat aktiviti suai kenal. Aktiviti kami pula malam ini sekadar makan dan bersembang. Kemudian makan lagi dan bersembang.




GAMBAR : AIR TERJUN JELAWANG






HARI KEDUA (GUNUNG STONG-AYAM-BAHA)

Jam 9.10 pagi, kami memulakan pendakian. Memang lewat. Kumpulan lain lepas subuh dah bertolak. Kami pula kumpulan terakhir yang bergerak. Permulaan denai yang berbatu-batu. Kiri kanan pula dipenuhi rimbunan buluh hutan. Lebih kurang 40 minit, kami tiba di Sungai Rantai. Kami menyeberangi sungai dengan berjalan di atas bongkah batu. Airnya tenang, sejuk dan menyegarkan.



Kami meneruskan pendakian. Laluan yang masih mudah, jelas tetapi semakin meninggi. Jam 11.20 pagi, kami berhenti sebentar di kawasan gua sungai yang agak luas. Menyuap sedikit makanan yang disediakan oleh penganjur. Sambil duduk di atas bongkah batu ditemani air sungai yang mengalir tenang. Bongkah batu-batu gergasi terbentuk seperti gua.




11.50 pagi, kami bergerak semula melalui hutan tebal dikelilingi banyak spesis pokok balak yang bersaiz besar. Ada yang tumbang dan merentang denai. Kami meniti batang-batang pokok tumbang lapuk yang sudah dipenuhi lumut dan kulat pokok. Laluan juga semakin mencanak. Akar-akar kayu berselirat memenuhi laluan.









2.20 petang, akhirnya setelah 5 jam pendakian, kami berjaya tiba di puncak Gunung Stong setinggi 1,422 meter. Sebelum itu, kami perlu memanjat bongkah batu gergasi menggunakan tangga untuk sampai ke papan tanda atau landmark bagi puncak Gunung Stong. Jika berdiri di atas bongkah batu ini, baru kelihatan pemandangan hutan pokok renek dan gunung sekitar. Ruang pun agak terhad, perlu bergilir-gilir untuk naik ke atas bongkah batu ini.



3.30 petang, kami memulakan pendakian semula untuk menuju gunung seterusnya iaitu Gunung Ayam. Kali ini, banyak meredah denai permatang dikelilingi rimbunan pokok renek dan bonsai. Denai yang sempit dan mengelirukan. Jika tiada guide kemungkinan boleh sesat sebab banyak denai-denai tipu yang dibuat oleh gajah atau binatang lain. Masih laluan turun naik yang menyebabkan kaki semakin lenguh.



6.15 petang, kami tiba di puncak Gunung Ayam dengan ketinggian 1,530 meter. Hampir 3 jam perjalanan dari puncak Gunung Stong. 


Waktu sudah maghrib. Hutan sudah gelap. Salah seorang kumpulan kami pula tercedera yang menyebabkan perjalanan menjadi lambat. Namun kami berjaya juga sampai ke puncak Gunung Baha pada jam 9.10 malam dengan ketinggian 1,450 meter. Selesai misi menawan 3 puncak. Seterusnya misi menuruni gunung dengan selamat.

Rakan pendaki yang tercedera semakin teruk. Perjalanan semakin lama semakin perlahan. Kami terpaksa berhenti banyak kali untuk memberi ruang kepada rakan kami untuk berehat. Dan membantu mana yang perlu untuk mengurangkan kesakitannya disamping sentiasa memberi semangat untuk meneruskan perjalanan. Hutan yang semakin gelap pekat, hujan renyai-renyai, trek yang semakin basah dan licin serta laluan turun yang semakin curam menambahkan lagi kesukaran untuk kami bergerak. 

Pacat-pacat sudah menyerang dan menghinggap kulit kami menghisap darah. Tidak disangka-sangka, rakan yang cedera hampir terpijak ular berbisa berwarna biru muda dan berkepala merah. Lantas ular tersebut meluru cuba menyerang kami. Kami cepat-cepat berundur dan kekal tenang. Akhirnya ular itu merayap hilang entah ke mana dalam kegelapan.

HARI KETIGA

Akhirnya semuanya berjaya sampai jam 6.00 pagi di Kem Baha. Semuanya selamat setelah 21 jam mendaki penuh cabaran. Sampai-sampai sahaja, kami terus solat subuh dan kemudian tidur merehatkan badan yang keletihan.

Jam 3.30 petang, dengan sisa tenaga yang masih tinggal, kami pun pulang ke starting point dari Kem Baha. Menuruni gunung cukup memeritkan apabila sakit dan penat malam tadi masih terasa. Kami rasa lega apabila sampai di jambatan gantung yang merentasi sungai. Jambatan ini sebagai tanda kami sudah hampir sampai ke starting point. Jam 4.30 petang kami pun tiba di parkir. Alhamdulillah misi selesai. Masa untuk pulang ke rumah masing-masing dengan selamat pula.



GUA GELAP, GUA PAGAR DAN GUA KERIS