27 August, 2018

GUNUNG KERINCHI & DANAU KACO : PADANG, INDONESIA : Keindahan Yang Tiada di Bumi Malaysia

OGOS 201


Ini merupakan 'First Time' mendaki gunung di luar negara. Sebelum kita sembang panjang, tengok profile kat bawah :
Nama Gunung
GUNUNG KERINCHI. Gelaran ATAP SUMATERA. Ketinggian : 3,805 meter

Lokasi
Kawasan Jambi, Sumatera Indonesia. Melalui airport Padang Indonesia.


Reputasi
Gunung Berapi Tertinggi di Indonesia dan Tertinggi di Sumatera. Gunung berapi masih aktif dan kali terakhir meletus pada tahun 2009. Salah satu G7 bagi gunung di Indonesia. Habitat bagi Harimau Sumatera dan Badak Sumatera. Dikatakan gunung yang mempunyai mistik.


Pendakian
Anggaran 9 jam dari starting point ke Shelter 3. Dari shelter 3 ke puncak mengambil masa 2 - 3 jam. menuruni gunung hingga ke starting point dengan anggaran 7 - 8 jam.

Trek : Pada awalnya jalan adalah landai dan melalui kawasan hutan tebal yang dingin, kelam dan sunyi. Kemudian trek mula curam dan menaik, naik dan terus naik antara 70-90 darjah. Tiada trek yang turun dan tiada puncak tipu.Jalan akan semakin sempit, becak dan licin. Melalui akar-akar kayu dan terowong bonsai. Pemandangan semakin berubah kepada pokok-pokok bonsai dan renek. Semakin tinggi, suhu semakin sejuk. 


Puncak : Boleh lihat pemandangan indah Kota Jambi, Padang dan Bengkulu. Boleh nampak Lautan Hindi, gunung-gunung sekitar, danau dan kawah sekitar gunung 7. Ada kawah yang masih aktif seluas 400 x 120 meter dengan kedalaman 600 meter.

☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺☺

Kat bawah ni butiran berkaitan pakej dan perjalanan :
Penganjur     : MARA Hikers
Jumlah       : 18 orang (7 lelaki dan 11 orang perempuan). 4 orang dari team Kolej MARA Kuala Nerang. Tarikh : 10 Ogos - 14 Ogos 2018.

Pakej : RM 500 seorang (upah guide, pengangkutan dari Airport ke Kerinchi, penginapan homestay, makan dan minum, pengangkutan dari homestay ke starting point dan baju t-shirt Kerinchi). Guide : ALEX. Muslim dan sangat friendly. No telefon : +6285378535599. Boleh whatsapp.

Tambang Airasia : RM 327.90 pergi dan balik [ KL - Padang - KL ]. Kalau rasa beg lebih 7 kg, elok la tempah luggage sekali.

Masa Penerbangan dari KL : 7.50 pagi dan sampai Minangkabau Airport jam 8.00 pagi masa Indonesia. Lebih kurang sejam lebih le sampai. Masa penerbangan pulang : 4.10 petang dan dijangka sampai KL 6.25 petang.

Currency : beli kat KLIA : 1 juta rupiah = RM 317. Beli kat Minangkabau Airport dapat 1 juta rupiah = RM 280. Untung giler.
 ********************************************************************************************
HARI PERTAMA
Kami sampai di Minangkabau Airport lebih kurang jam 8.00 pagi waktu Indonesia. Alex dan driver dah siap tunggu. Kami pun naik van dan menuju ke kedai makan untuk sarapan dulu merangkap makan tengahari. Pastu kami pergi ke kedai outdoor terbesar di Indonesia untuk beli kelengkapan hiking yang agak murah. 

Kami meneruskan perjalanan yang penuh kesibukan. Agak sesak, jalan keretapi pun kat tengah-tengah jalan tanpa ada sebarang pagar keselamatan, bunyi hon di mana-mana dan toleransi diaorang sangat tinggi. Tak nampak pun kemalangan. 


Kami berhenti jap untuk solah Jumaat. Kemudian meneruskan perjalanan melalui jalan berbukit, gunung ganang, pemandangan indah sekitar gunung, melihat kehidupan dan penempatan masyarakat di kaki-kaki gunung. Jalan yang agak teruk, sempit dan berlubang-lubang, melalui selekoh tajam, rasa ekstrim tapi best. 

Berhenti jap di R&R untuk makan dan mencari toilet.Order soto. Ingat soto macam kat Malaysia, rupa-rupanya nasi putih dengan kuah soto. Naik gunung turun gunung, masuk pekan keluar pekan, masuk kampung keluar kampung, masuk jalan hutan keluar hutan, AKHIRNYA kami sampai di homestay lebih kurang jam 9.00 malam. Wow dekat 10 jam perjalanan. Jauh tu.




Bila keluar van, tu dia, sejuknya, rasanya antara 15 - 20 darjah. Nak mandi pun tak mampu, sejukkkkkk sangat. Homestay yang kami tempah ni bertaraf bajet dan murah jer. Memang sedikit kurang selesa. Hiker tak pentingkan itu semua, yang penting dapat bantal, tilam dan selimut tebal, terus tidur dengan sangat lena.

HARI KEDUA
Nak ambik wuduk pun sejuk. Pukul 4.45 pagi dah subuh. Azan memang bersahut-sahutan di mana-mana ceruk kampung. Bila cerah sikit, kami cepat-cepat keluar dari Homestay. Subhanallah, terkejut kami, rupa-rupanya cantik banget pemandangan kat kampung ni. Sekeliling kampung penuh dengan ladang teh yang kehijauan seperti Cameron Highland ditambah pulak dengan berlatarbelakangkan Gunung Kerinchi. Ya Allah cantiknya. Udaranya sejuk sangat, tenang dan sangat nyaman. Boleh kelihatan asap-asap sulfur disebalik samar-samar cahaya matahari di puncak gunung Kerinchi. Adoiiii...lawa sangat...Subhanallah. Memang bergambar sakan kami. Jam 6 pagi, orang kampung dah mula sibuk mencari rezeki dan menghantar anak ke sekolah. Suasana kampung pun nampakseperti zaman 70 an di Malaysia.



Setelah sarapan pagi, kami pun menaiki powil untuk menuju ke Starting Point. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan kehijauan kebun teh dan kebun-kebun pelbagai sayur-sayuran. Lebih kurang 15 minit kami sampai kat Starting Point. 






STARTING POINT : DESA KERSIK TUO, JAMBI, INDONESIA


JAM 9.00 PAGI bermula pendakian.Sebenarnya ada satu laluan lain yang lebih ekstrim dan mencabar iaitu Solok. Kami ikut Kersik Tuo je la kerana laluan sangat famous dan risikonya agak kurang. Powil turunkan kami di kawasan kebun sayur iaitu Pos Jaga dengan ketinggian 1,582 meter. Ada warong kecil kat sini. Kami seramai 18 orang peserta, 2 orang guide dan 4 orang porter. Geng-geng perempuan majoritinya tempah porter dengan bayaran RM 90 sehari. Boleh je kongsi-kongsi 1 porter untuk 3 orang. Dari segi kelengkapan individu:
  • Ada yang pakai kasut mahal, ada pakai kasut futsal dan ada je pakai kasut adidas kampung. Terpulang ler ikut keselesaan. Berstokin nipis elak melecet. Stokin tebal bawak gak standby malam nanti.
  • Seluar yang selesa. Baju t-shirt cotton dan baju termal fit lengan panjang.
  • Kena bawak air sendiri. Boleh bawak 6-8 botol kecil yang 500 ml. Memang tiada punca air yang terdekat dengan shelter. kalau ada pun punca air agak jauh. Kalau kehabisan air boleh hidrate gak disebabkan peluh dan kesejukan.
  • Stick at least satu. Sangat membantu. Kalau malas nak bawak, boleh jer.
  • Kalau nak pakai porter, bawak beg daypack. Tapi kalau tak mau porter bawak beg sendiri 55 L - 70 L. Ration-ration bagi porter atau guide jer le bawak.
  • Baju sejuk yang ada penutup kepala sangat penting. Kalau tak, boleh beku nanti kat puncak.
  • Penutup hidung pun kena bawak untuk elak udara sejuk dan bau sulfur yang agak kuat di puncak.
  • Sarung tangan mesti kena bawak, sangat sejuk weiii.
  • Power bank, telefon, Gopro. Kalau tak bawak rugi ler. Banyak view cantik.
  • Cuaca sangat tak menentu. Mesti standby baju hujan, cover rain untuk beg dan bungkus semua pakaian dan peralatan dengan plastik biasa.
  • Ini kena bawak. Sleeping Bag. Kalau tak boleh kena hipotermia. Alas untuk khemah memang dah disediakan oleh guide.
Berjalan lebih kurang 15 minit melalui kawasan kebun sayur dan kentang dengan jalan berbatu. Sampai di Pos Pintu Rimba jam 9.15 pagi dengan ketinggian 1,682 meter.





Perjalanan awal dari POS PINTU RIMBA ke POS BANGKU PANJANG mengambil masa 25 minit dan tiba jam 9.40 pagi dengan ketinggian 1,890 meter. Trek adalah landai dengan suasana hutan tebal yang sunyi, dingin, trek tanah gambut yang agak becak, kadang-kadang kena serangan agas dan kedengaran suara riuh monyet-monyet di atas pokok. Peringkat awal ni agak nervous sikit tetapi passion masih tinggi sebab diorang kata kawasan habitat harimau dan badak, so mata kena fokus setiap masa dan jalan dalam berkumpulan. Yang tak bestnya..Aduiii banyaknya sampahhhh...





Perjalanan diteruskan dari POS BANGKU PANJANG ke POS BATU LUMUT mengambil masa 35 minit dan tiba jam 10.15 pagi dengan ketinggian 2,010 meter. Perjalanan masih lagi landai tetapi dah mula jumpa laluan akar-akar di trek dan dah nampak banyak pokok-pokok besar dan tinggi di sepanjang perjalanan. Semakin dingin tapi masih berpeluh lagi.Jangan bimbang, takde pacat pun.





Jom jangan buang masa dari POS BATU LUMUT ke SHELTER 1, sampai jam 12.30 tengahari dengan ketinggian 2,512 meter, lebih kurang 2 jam 15 minit. Sepanjang perjalanan, trek semakin menaik, dah banyak akar-akar kayu kecil dan besar merentangi laluan. Trek pun semakin becak dan licin. Suasana pun kelam dan semakin sunyi seperti tiada cahaya matahari yang menyinari trek. Pemandangan sekeliling pun semakin cantik dengan pokok-pokok besar yang dililit akar dan batang tumbuhan menumpang menjalar dihiasi kehijauan lembut lumut. suasana dah semakin rare dan sekali sekala boleh curi peluang tengok pemandangan hutan dan gunung-gunung sekeliling yang cukup indah. Orite, dah makin sejuk ni.









Selesa ke atau tak selesa, Solah wajib dilaksanakan di mana-mana tempat. Kadang-kadang tefikir gak, orang sanggup panjat gunung berjam-jam, setengah mati nak sampai puncak tetapi solah tak sampai 10 minit, tak boleh nak buat... confuse..confuse


SHELTER 1 ke SHELTER 2 Jam 1.30 tengahari bertolak dari Shelter 1. Yerrrr.. sampai jam 4.20 petang.  ketinggian kat sini 3,072 meter. Lebih kurang 2 jam 50 minit. Sepanjang perjalanan, trek dah semakin mencabar dan terus naik, naik, naik dan naik. Takde turun-turun dan takde puncak tipu. laluan semakin sejuk, dah ada tanda-tanda kena pakai baju sejuk ni. Banyak jalan sempit, becak, semakin banyak akar-akar kayu, pokok-pokok pun banyak yang renek dan jenis bonsai. Makin terasa kepenatan dengan bawak beg berat ni. Pemandangan pun semakin cantik dan menakjubkan, dah nampak awan karpet. Tapi sayang.... banyaknya sampahhhhhh... Kat sini sebenarnya dah boleh pasang khemah tapi masa masih belum gelap lagi jadi kami pun meneruskan perjalanan.



Kami plan kena sampai sebelum maghrib. So 4.30 petang kami meneruskan perjalanan dari SHELTER 2 ke SHELTER 3. Alhamdulillah, sampai jam 6.10 petang, lebih kurang 1 jam 40 minit dengan ketinggian 3,320 meter. Nak pergi shelter 3, wow, jalan dia boleh tahan. Banyak jalan sempit, trek antara 70 - 90 darjah, licin, agak becak, kami terpaksa pijak dan berpaut akar-akar kayu yang licin seperti Tarzan. Dah macam rock climbing. Melalui banyak terowong pokok-pokok bonsai. Dalam erti kata lain trek dari shelter 2 ke shelter 3 macam G7 seperti Yong Belar, Yong Yap dan Korbu. Tapi best sangat. Bila dah nak sampai Shelter 3, dah tak nampak pokok-pokok bonsai yang agak tinggi, nampak banyak batu-batu dan pokok bunga hutan batu. Aduiiiii.... kat sini memang sejukkkkkk dan kami berhadapan angin kuat yang sejuk seperti ribut. Alhamdulillah perjalanan dari pagi tadi sampai sekarang tak hujan.
















 SUNSET DI SHELTER 3
Kami cepat-cepat pasang khemah sebab angin semakin lama semakin kuat. Dah macam tahap ribut ni, kadang-kadang terasa gak hujan batu seperti ada ais.


Kami kena bertahan kejap dengan cuaca yang sangat sejuk sekitar 10 darjah celsius sebab nak tengok dan ambik gambar sunset yang sangat menakjubkan. Pemandangan yang sangat.. sangat.. sangat.. HEBAT.


Mulut kami sentiasa keluar ucapan Subhanallah... Subhanallah...Subhanallah...cantik sangat... Bila dah tak tahan sejuk kami cepat-cepat masuk khemah yang telah disiapkan oleh guide dan porter. Ahhhh lega. Satu khemah 3 orang. Dah selesai solah dan makan malam yang disiapkan oleh guide, kami pun terus tidur dengan sangat lena bertemankan bunyi ribut dan bunyi kibaran khemah seperti nak terbang.
 




HARI KE-3
JAM 5.00 PAGI di SHELTER 3 menuju PUNCAK GUNUNG KERINCHI
Ouhhh... boleh dengar rupanya sayupan azan subuh daripada kampung kat kaki gunung. Lepas solah subuh dan makan roti, kami memulakan perjalanan ke puncak gunung Kerinchi. Angin masih lagi kuat dan sangat sejuk. Bila pandang atas memang cukup indah dengan jutaan bintang-bintang berkerlipan. Kami mulakan perjalanan jam 6.00 pagi. 

Dah tak nampak pokok, hanya batu-batu besar dan batu-batu kerikil di atas jalan. Memang stick sangat membantu untuk elak tergelincir. Tak mampu nak laju. setapak demi setapak. Terpaksa melawan angin kencang dan berhadapan jalan dengan batu yang tak stabil. Silap-silap gaya boleh jatuh dan menyebabkan kematian atau kecederaan. 

Berhenti jap tengok SUNRISE. Saya dah mendaki lebih 20 gunung, Allahuakbar, saya tak pernah melihat lagi pemandangan yang sungguh indah, menakjubkan dan Subhanallah cukup hebat. Dengan awan karpet, melihat matahari terbit dan nampak sinar-sinar pancaran dari celah-celah gunung, berlatarbelakangkan bayangan gunung-gunung sekitar dan pemandangan kawasan penempatan. Yer seperti pemandangan Gunung Kinabalu. Tapi kat sini berbeza.






Kami teruskan perjalanan dan sampai di Tugu (3,600+ meter) bagi memperingati pendaki pertama yang mati iaitu Adi Permana Atje yang pada mulanya hilang pada 11 Disember 1983. Jenazahnya berjaya ditemui. 

Bagus gak ada tugu ni bagi pengajaran kepada pendaki lain bahawa risiko ke puncak sangat tinggi. Sebenarnya selepas kejadian 1983, pada tahun 1997, 2 orang pendaki hilang dan jasadnya tidak ditemui hingga sekarang. Pastu seorang pendaki dari Switzerland juga hilang dan gagal dikesan hingga sekarang. Tahun 2003, 3 orang pendaki dari Jakarta telah hilang dan jasadnya berjaya ditemui. Terbaru 27 Disember 2014, seorang pendaki tempatan juga hilang dan belum ditemui.So nampaknya kena sangat berhati-hati dan banyak mengingati Allah serta berdoa supaya Allah beri perlindungan dan keselamatan. 



















PUNCAK GUNUNG KERINCHI

Alhamdulillah, jam 8.00 pagi, lebih kurang 2 jam, saya berjaya sampai ke puncak Gunung Kerinchi. Pemandangan yang cukup hebat. Boleh nampak pelangi di celah-celah awan. Namun bau sulfur yang sangat kuat. Cuaca di puncak sangat tidak stabil. Dalam tempoh 10 minit jer akan berlaku perubahan persekitaran puncak. Kejap cerah, kejap berkabus, kejap angin kuat, kejap gerimis, kejap keluar asap dari kawah gunung berapi aktif dan boleh nampak debu-debu halus sulfur kat cermin mata. Tak boleh lama sangat untuk menikmati pemandangan.Agak resah gak ada sorang yang follow saya tak sampai-sampai lagi. Bila check kat bawah, rupa-rupanya dia dah terjatuh disebabkan tergelincir. Mungkin badan dia sedikit sakit dan kesan trauma, akhirnya dia tak sampai puncak walaupun 5-10 minit lagi nak sampai. Takpe la takde rezeki.









MENURUNI PUNCAK GUNUNG KERINCHI hingga ke SHELTER 3

Memang mencabar, kalau leka je boleh tergelincir dan jatuh yang menyebabkan kematian dan kecederaan. So pace kena slow je. Pentingkan keselamatan bukan pentingkan cepat sampai.Cahaya matahari dah mula panas tetapi angin masih lagi kuat dan semakin mendung.  Pemandangan semasa turun, Allahuakbar cantik yang amat-amat sangat tetapi gerun gak sebab pemandangan kiri dan kanan adalah gaung dan bekas jalur-jalur larva. Sampai shelter 3 lebih kurang jam 11.00 pagi. Rehat jap dan makan tengahari yang disediakan oleh guide.









MENURUNI GUNUNG DARI SHELTER 3 ke STARTING POINT

Hujan lebat dah mula turun dan sangat sejuk. Kami pun cepat-cepat keluar dari Shelter 3. Pesanan guide jalan 2-3 orang. Trek sangat teruk, sangat licin, sangat becak. Tak tau le berapa kali tergelincir dan jatuh berdebub. Hutan semakin kelam, sunyi dan semakin takde orang yang kami selisih dalam perjalanan.Kami terus maju sebab tak nak jalan waktu malam. Dengar katanya mistik kuat. Saya terperasan seperti ada kepulan asap dalam bentuk bulatan keluar dari semak macam ada orang smooking. Bila check, takde orang pulak. Saya pun tak sedar rupa-rupanya saya dah jalan sorang-sorang dalam hutan yang sunyi ni. Ouhhhh....memang risau gak...takut harimau. Bila tunggu sorang-sorang terasa macam ada sesuatu yang memerhatikan dan bulu roma macam dah naik pulak. So nak tak nak, terpaksa teruskan perjalanan dengan pace yang laju. 

Alhamdulillah saya orang pertama sampai kat starting point dan sampai jam 5.30 petang. 5 jam gak baru sampai. Sementara menunggu kawan-kawan lain sampai, saya minum kopi dan makan goreng pisang dulu kat warung kecil.


Sembang dengan makcik warung tu, dia kata, sehari sebelum tu, ada orang kampung jumpa tapak kaki harimau kat area pintu rimba. ouhhhhh...terdiam saya sambil berdoa supaya kawan-kawan lain selamat sampai. Sebelum Maghrib, 7 orang berjaya sampai dan kami pun balik hostel dulu. 11 orang lagi masih berada dalam hutan dalam keadaan gelap.Kumpulan ke-2 sampai lebih kurang jam 8.00 malam dan dengar kata ada seorang jatuh dan injured di kumpulan belakang sekali. Alhamdulillah lebih kurang jam 9.30 malam semua selamat keluar hutan. Macam-macam cerita mistik keluar semasa perjalanan malam. Memang guide pun dah bagi nasihat jangan berhenti kat pos sebab ada mistik jahat.Ada yang tiba-tiba jumpa ular lintas trek, ada yang dengar teguran menyeramkan dan macam-macam lagi. Apa-apa pun, itu perkara biasa bagi hikers, nak buat camne kita masuk kawasan dan dunia mistik diorang, cuma kena banyak berdoa supaya Allah beri perlindungan dari syaitan dan jin. Sampai hostel, kami pun mandi, sejuk pun sejuk la, pastu bersembang kat kedai sambil minum kopi. 

Kesimpulannya, Syukur,  Allah beri peluang kepada kami menikmati rezeki  yang hebat ini. Pengalaman yang cukup menakjubkan. Tidur dulu...


DANAU KACO
HARI KE-4
Pagi yang sangat indah dan damai. Lepas subuh meronda-ronda jap melihat kegiatan penduduk kampung kemudian minum kopi di warung kopi. Jam 8.00 pagi kami menaiki van menuju Desa Lempur, Kabupaten, Kerinchi, Jambi. Pemandangan indah kiri dan kanan jalan dengan ladang teh dan suasana gunung yang menenangkan. Kemudian kami memasuki beberapa pekan dan bandar utama Jambi. Setelah 3 jam, sampai la kami di Starting Point.


Jam 11.45 pagi, kami memulakan jungle tracking dalam hutan yang tebal iaitu Taman Nasional Kerinchi Seblat. Jalan landai sahaja dan agak becak. Just santai sambil menikmati pemandangan hutan dan bunyi deruan sungai. Cuma bahayanya, laluan ni memang laluan binatang-binatang dalam hutan ni. Ada rezeki boleh nampak rusa besar dan pelbagai spesis monyet yang tak pernah dilihat di Malaysia.






Jam 1.30 tengahari, hampir 2 jam,  kami sampai di DANAU KACO.Tak tau nak cakap camne. Sangat..sangat..sangat...INDAH. 

Tak yah nak paksa-paksa, tiba-tiba terpacul sendiri ucapan Subhanallah.. Subhanallah...

Airnya sangat jernih yang berwarna biru seperti kaca. Boleh nampak ikan-ikan kecil dan ikan-ikan besar berenang dengan bebas. Keluasannya 90 meter persegi dan menurut guide kedalamannya boleh mencecah 20 meter. 

Dikatakan kalau waktu malam terutama bulan mengambang seolah-olah keluar cahaya yang cukup terang dari Danau seolah seperti lampu suluh yang menyala ke arah atas. 

Airnya sangat sejuk, menggigil di buatnya. Kami tak melepaskan peluang untuk berenang dan menyelam dan merasai sendiri keunikan dan kesejukan Danau Kaco.





 
 Kalau ikut cerita rakyat, ada intan yang disimpan oleh Raja Gagak dalam danau ni. Alaa, macam krisis keluarga diraja ni. Cerita ni sebenarnya masih dipegang oleh masyarakat setempat dan mereka yakin ada intan dalam danau kaco. Jam 3.00 petang, kami bertolak pulang melalui trek yang sama. Lebih kurang jam 5 petang kami pun naik van untuk kembali ke hostel. 9.00 malam kami sampai di hostel. Bersiap-siap kerana malam ni gak kami bertolak ke Padang yang mengambil masa 7 - 10 jam.

HARI KE-5
Subuh, sampai di Masjid Besar di Padang yang berbumbungkan Minangkabau. Rekabentuk masjid yang sangat unik dan cukup kreatif. 

Kemudian, jalan-jalan jap di sekitar bandar Padang. Shopping beli barang-barang. Pastu kami check in di Airport Minangkabau jam 3.00 petang. 

ALHAMDULILLAH MISSION ACCOMPLISHED sampai Malaysia jam 6.30 petang. InshaAllah, kita cari gunung lain lepas ni...