15 September, 2019

GUNUNG PAPULUT, GERIK PERAK : Pemandangan Indah Matahari Terbit dan Hamparan Awan Mengelilingi Banjaran

Ogos 2019



Gunung Papulut vs Gunung Pulut ( Pulut ). Jangan tersilap yer...2 gunung yang berbeza tetapi gunungnya bersebelahan jer di banjaran yang sama. Sebab semasa hari pendakian, ada 3 team yang akan menawan gunung Papulut. Ada 2 team (termasuk team saya) berjaya sampai ke puncak Papulut tetapi ada satu team lagi seramai lebih kurang 40 orang telah tersasar daripada trek gunung Papulut dan akhirnya tiba-tiba sampai ke Gunung Pulut pulak. Ini lah risiko di dalam hutan, apa-apa kemungkinan dan halangan boleh berlaku. Apa yang penting sentiasa berdoa, supaya pergi selamat dan turun pun selamat. Jom, rasai pengalaman saya bersama 15 orang pelajar Kolej MARA Kuala Nerang dalam misi menawan Gunung Papulut.

Ketinggian : 725.72 meter
Lokasi        : Kawasan Hutan Simpan Papulut Gerik, Perak
Starting Point : Kampung Tawai, Gerik, Perak

Jarak Sehala ke Puncak : 4.2 km
Permit       : RM 10 - Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak
Guide         : Sobri bin Yaakob ( 013-4599815 )
Pakej Daypack : RM 30 ( Upah guide dan urusan permit )

Itinerary :
2.00 pagi : Jumpa di Sekolah Rendah Seri Tawai dan gerak ke starting point
3.00 pagi : Start Hiking Papulut
6.30 pagi : Tiba di puncak Gunung Papulut
10.00 pagi : Turun dari puncak
2.00 petang : Dijangka tiba parking kereta

Kami bermalam di Hotel Sri Inai di Pekan Gerik dengan semalam RM 120. Bilik besar boleh masuk 8 orang. Jam 1.45 pagi, kami pun bergerak dari Pekan Gerik menuju ke tempat pertemuan guide iaitu di Sekolah Rendah Seri Tawai. 15 minit jer sampai. Guide pun bawa kami ke starting point, masuk kawasan kampung melalui jalan yang agak sempit.

Sampai di starting point, dah banyak kenderaan parking rupanya.Kalau parking rumah orang, biasanya kena bayar RM 3 satu kereta kat tuan rumah. Selepas taklimat dan renggangkan badan, kami pun on kan head lamp dengan bacaan Bismillah, Lebih kurang jam 3.00 pagi kami mulakan langkah dengan penuh semangat sempena pagi merdeka ni. 

Peringkat awal, 10 minit berjalan melalui ladang. Kemudian kami buka dawai pagar elektrik dan meneruskan perjalanan dengan memasuki kawasan hutan. Trek santai lagi, kemudian kami keluar ke jalan tanah merah, jalan lori untuk angkut kayu balak. Ouhhhh, dah semakin botak rupanya hutan kat sini dengan aktiviti pembalakan. Pacak gak jalan ni. Lebih kurang 30 minit kami sampai di hujung jalan dan kami masuk kembali ke dalam hutan dan berehat jap di sungai kecil.






Keadaan trek pun dah pelbagai, ada yang pacak, ada mendatar dan ada turun bukit sehingga kami sampai di simpang Y dengan anggaran 1 jam 30 minit. Simpang ni memang kena berhati-hati sebab satu simpang ke Gunung Pulut dan satu simpang lagi ke Gunung Papulut. Di sini lah selalu banyak kejadian tersalah laluan terutama apabila berjalan waktu malam dan ini berlaku kepada team orang lain kat belakang kami. Dikhabarkan mereka tersilap laluan, sepatutnya pergi Papulut, tiba-tiba sampai kat Pulut pulak. Mungkin tak perasan atau mungkin ada gangguan makhluk lain yang menutup jalan, hanya Allah yang Maha Mengetahui.


Selepas Simpang Y, trek ada yang menaik, menurun dan semakin curam. Ada trek yang curam antara 70 - 80%, ada sedikit berbatu dan laluan akar. Akhirnya kami sampai di laluan permatang dan nampak la cahaya lampu waktu subuh sekitar Gerik. Tiupan angin sejuk pun dah terasa. Di laluan permatang ini, ada tanah yang lembut seperti baldu apabila dipijak. Pokok-pokok bonsai dan lalang menghiasi kiri kanan jalan. Pokok-pokok renek yang berkulit merah pun makin banyak di sepanjang jalan dan memerahkan lagi suasana trek.



Alhamdulillah jam 6.30 pagi, lebih kurang perjalanan 3 jam 30 minit, kami sampai di Puncak Gunung Papulut. Ouhhh...nampak Beirut (penanda puncak) yang dah runtuh, memang confirm dah sampai puncak. Rupa-rupanya dah ada team lain di atas puncak yang sedang berehat menanti matahari terbit. Kawasan Puncak Papulut ni tak luas, 30 - 40 orang je. Bila ramai ni, susah gak nak cari port untuk solah Subuh. 

Jam 7.10 pagi, langit dah mula kemerahan, menandakan matahari akan terbit. Suasana pagi yang cukup indah, angin sejuk, langit yang cerah kemerahan, awan yang mula bergerak membentuk hamparan karpet putih tebal merentasi hutan Simpanan Papulut, gunung Pulut, Bukit Gelok, Bukit Kobeh, Bukit Nasah, Bukit Mengkuang dan sekitar banjaran.










Apabila matahari sudah semakin naik, wow, semakin cantik pemandangan 360 darjah di atas puncak ni. Puncak dikelilingi pokok bonsai dan batu-batu kerikil. Boleh nampak gunung Pulut, Kenderung, Kerunai, Banjaran Bintang, Titiwangsa dan Ulu Soh. Kehijauan hutan sekitar dengan ditutupi awan putih gebu, cukup memukau.








Jam 9.00 pagi, dah puas merenung dan mengambil gambar, kami pun mulakan langkah menuruni puncak. Bila cerah ni, cantik pulak pemandangan di laluan permatang, tersergam depan mata, kehijauan bukit-bukit berdekatan. Trek pun nampak cantik di tutupi daun-daun kering yang menyebabkan terasa lembut bila dipijak. Baru nampak trek agak curam dan merbahaya, trek pun semakin sempit. Kami terserempak dan bertegur sapa dengan beberapa orang yang masih berjuang untuk naik ke puncak, disebabkan jalan sempit, kena ada yang mengalah. 

Bila dah melepasi kawasan curam, masa untuk gerak laju. Memang cantik flora dan fauna hutan ni. Pokok balak pun banyak lagi tetapi nampak macam dah bertanda untuk di tebang. Sedih-sedih. Lumut gunung yang hijau pun banyak, cendawan besar yang tumbuh di sekitar trek , pokok-pokok herba yang hidup subur menghiasi perjalanan kami. Alhamdulillah takda gajah dan binatang liar yang mengganggu. Pacat pun takde, masa naik dan masa turun. Selamat darah kami. Cuaca pun elok, perjalanan sangat lancar, kami pun sampai di starting point jam 11.00 pagi, setelah 2 jam perjalanan turun. Alhamdulillah semua selamat dan pengalaman yang menakjubkan....
Mission Accomplished

2 comments: