29 July, 2019

GUNUNG BROMO DAN BUKIT KING KONG, SURABAYA INDONESIA : Mengharungi panas terik dan jalan penuh debu menyaksikan kawah gunung berapi aktif

JULAI 2019



Pada tahun 2011, saya pernah sampai di Surabaya dan rancangan utamanya nak pergi Gunung Bromo. Takde rezeki ketika itu, kerana Gunung Bromo telah memuntahkan vulkanik debu dan pasir halus sehingga 15 kali letusan dalam tempoh 2 hari dan ini menyebabkan pihak berkuasa melarang sebarang aktiviti pelancongan disitu. Alhamdulillah setelah 8 tahun, ada rezeki kami untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman hebat di Gunung Bromo... Ayuhhh, kita explore...

Sebelum kami ke Gunung Bromo, kami singgah dulu ke.....

BUKIT KING KONG

Kami check out daripada Homestay Pak Tasrip jam 3.30 pagi. Ouhh masih rasa letih lagi sebab semalam kami baru turun dari Gunung Semeru. Pagi pun sangat dingin. Kami menaiki Jeep dan duduk di belakang jeep sambil memeluk tubuh disebabkan sejuk yang amat sangat. Turun bukit melalui lereng-lereng gunung dan selekoh-selekoh tajam. Kami melalui pekan-pekan dan kampung-kampung kecil dan apabila sampai di pertengahan jalan, terkejut kami melihat ratusan kerlipan lampu Jeep. Deruan jeep pelbagai warna dan rekabentuk klasik memecah kesunyian subuh, bergerak laju, sambil potong memotong antara satu sama lain, seperti perlumbaan jeep. Debu-debu pasir yang tebal berterbangan memenuhi jalan dan membentuk kabus debu.

Persimpangan jalan menuju Bukit King Kong sangat sesak dengan jeep-jeep yang membawa pelancong dalam dan luar negara. Kami pun terpaksa parking agak jauh daripada pintu masuk Bukit King Kong. Ribuan pelancong, tua, muda dan kanak-kanak berjalan kaki menuju ke puncak. Memang banyak warung-warung tepi jalan. Motorsikal klasik berderum-derum, berpusu-pusu dan tak henti-henti membawa pelancong yang tak larat nak naik puncak. Dah masuk waktu subuh. Surau yang disediakan pun sangat kecil dan crowded, kami pun bentang alas kat jalan dan terus solah tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang.

Selain motorsikal, ada juga disediakan kuda untuk naik ke atas Bukit King Kong dengan harga sekitar RM 30 kot. Kami jalan kaki aje la dengan cuaca yang agak sejuk ni, boleh berhenti ambik gambar kat port-port yang kita suka. Banyak gak tahi kuda atas jalan ni, kena hati-hati. Setelah 1 jam berjalan kaki, kami pun sampai di port yang menjadi tumpuan orang ramai melihat pemandangan matahari terbit yang sangat indah dan menakjubkan.
 


Apabila matahari mula menampakkan sinar kemerahan dan kekuningan menyebabkan sinarannya memancar dan menyelinap terus ke awan-awan karpet yang mengelilingi gunung Bromo, gunung Batok, gunung Semeru dan gunung-gunung lain sekitarnya. Paling ketara keindahannya ialah bila kami betul-betul berhadapan dengan Gunung Bromo. Seperti lukisan yang cukup hebat. Melihat pemandangan padang pasir yang cukup luas, tanpa ada sebarang pokok mengelilingi Gunung Bromo. Memang ramai orang bersesak-sesak untuk mengambil gambar yang terbaik berlatarbelakangkan gunung Bromo dan cahaya pagi yang indah.







Setelah puas mengambil gambar kami mula bergegas turun dan naik jeep untuk pergi ke Gunung Bromo pulak.









GUNUNG BROMO

Kebetulan harini hari cuti Indonesia, memang luar biasa ramainya pelancong menuju ke Gunung Bromo. Difahamkan lebih 600 jeep telah habis ditempah oleh pelancong harini dan memenuhi jalan-jalan ke Gunung Bromo. Cuaca memang panas, baju pun dipenuhi debu-debu yang berterbangan ketika melalui lautan dan padang pasir yang seluas 10 km persegi. Di persimpangan tertentu jalan memang sangat jem. Ratusan motorsikal pun tak mahu mengalah, saling memotong jeep yang bergerak laju menerbangkan debu-debu tebal yang luar biasa sehingga membentuk jerebu. Ada gak motorsikal dan jeep yang terpaksa mengalah ,terkandas dan tersadai di tepi jalan kerana rosak.





Perjalanan melalui padang pasir yang panas terik, diserikan lagi keindahannya dengan gunung-gunung pine dan gunung savana di kiri kanan jalan. Ada pelancong yang berhenti di tepi jalan dan berposing mengambil gambar sekitar padang pasir yang berlatarbelakangkan gunung-gunung yang tersergam indah. Nampak gak aksi mat-mat motor racing, yang berderum derum, menunggang motorsikal naik ke gunung pine sambil merakamkan video.

Alhamdulillah sampai di Gunung Bromo. Subhanallah luasnya padang pasir. Ratusan jeep berderet-deret parking ditepi jalan. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke kaki gunung bromo. Ada yang berjalan kaki, ada yang menaiki motor dan kami pulak menunggang kuda. Eeeeee haaaaa, masa untuk koboi. Bayaran pergi dan balik, lupa la, rasanya antara RM 30 - RM 60. Saya diberi peluang untuk menunggang sendiri setelah ditunjuk ajar cara-cara nak belok kanan, belok kiri, berhentikan kuda dan lajukan kuda. Pengalaman yang cukup hebat. Rupanya senang je nak bagi arahan kat kuda.








Mungkin ribuan pelancong berjalan kaki sambil menutup hidung dengan buff, puluhan kuda menapak sehingga memercikkan debu-debu ke udara, ratusan motorsikal menekan minyak dengan laju, semuanya berbondong-bondong ke kaki gunung Bromo. Kalau naik kuda, ambil masa 30 minit gak untuk sampai.





Setelah sampai di kaki gunung, kami berjalan kaki menaiki tangga dengan kecuraman 80 darjah. Ramai sangat orang naik dan turun. Perjalanan ambil masa 20 minit gak untuk sampai ke puncak. Di puncak, pemandangan sekitarnya memang cukup menakjubkan. Kami dapat melihat sendiri lava yang sedang menggelegak di dalam kawah gunung berapi dan mengeluarkan asap sulfur yang kurang menyenangkan. 






Pemandangan gunung-gunung berapi aktif disekitarnya cukup mempersonakan. Daripada puncak, jelas kelihatan manusia dan jeep yang sedang bergerak di lautan pasir putih seperti deretan semut-semut kecil. Tiba-tiba terfikir, seperti beginikah keadaan kita nanti di Padang Masyar, kepanasan tanpa ada sebarang teduhan. Cuaca yang sangat panas dan sedikit sejuk tidak mematahkan semangat kami untuk mengambil gambar sebagai kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakan.




Kami bergegas turun tangga untuk pulang dan menunggang kuda yang sama yang sedang menanti dengan sabar. Memang sangat tabah orang-orang di sini yang mencari rezeki halal. Mereka tidak peduli dengan bahaya letusan gunung berapi, berpanas dan menyedut debu setiap hari demi mencari rezeki halal. 






Kami singgah di warung di sekitar Gunung Bromo untuk mengisi perut yang lapar. Kemudian kami cepat-cepat menaiki jeep dan bergerak laju merentasi padang pasir berdebu dan melalui hutan gunung pine. Jalan sangat, sangat sesak disebabkan jalan yang sempit dan hanya boleh memuatkan satu jeep. Lega rasanya bila melepasi kawasan jem dan dapat bergerak laju turun daripada gunung melalui jalan yang berselekoh. Jalan yang sempit menyebabkan jeep kami sukar untuk memotong kenderaan di hadapan yang bergerak perlahan. Di kiri kanan jalan penuh dengan kehijauan hutan pine. 









Kami pun sampai di Malang setelah 3 jam perjalanan. Kami cepat-cepat turun dari jeep dan menaiki van untuk bergerak ke airport Surabaya. Macam biasa la, van kami terperangkap dengan kesesakan jalan raya di kawasan bandar Malang. Ouhhh, nampaknya kami sampai lewat di airport. 



Alhamdulillah flight delay tetapi nak masuk beg dah close. Terpaksa la merayu-rayu kat staf Airasia, akhirnya dibenarkan masuk beg dengan syarat bayar lebih kurang 500,000 ribu rupiah. Kami pun berjaya melepasi pemeriksaan demi pemeriksaan dan sampai pemeriksaan terakhir, staf Airasia rasa kasihan dan bantu kami untuk masukkan beg dalam kapal terbang tanpa dikenakan sebarang bayaran. Terima kasih staf Airasia yang mempunyai hati dan budi bicara yang tinggi. 

Kami pun masuk kapal terbang dan berlepas dengan kepenatan menghadapi cabaran demi cabaran. Kami sempat solah hormati waktu dan terlelap dengan tenang. Alhamdulillah, misi berjaya....jumpa lagi next trip yer....