02 September, 2018

GUNUNG KENDERONG-KERUNAI (K2) : Pemandangan Awan Karpet Yang Menakjubkan

JULAI 2018

Gunung Kenderong-Kerunai memang menjadi sasaran dan idaman pendaki untuk ditawan disebabkan pemandangan sekeliling dan puncak yang mengagumkan. Kali ni, saya bersama team Hiking & Adventure Club Kolej MARA Kuala Nerang yang terdiri daripada 36 orang peserta melibatkan 23 orang perempuan dan 13 orang lelaki.

Nama Gunung : 
GUNUNG KENDERONG ketinggian 1,223 meter & 
GUNUNG KERUNAI ketinggian 1,000 meter

Reputasi : Dikenali sebagai Puncak Kembar Perak.
Lokasi : Tidak terletak di mana-mana banjaran. Tersergam di daerah Gerik, Perak.
Starting Point : Kampung Pahat, Gerik, Perak.


Trek Gunung Kerunai : Peringkat awal melalui kawasan semak dan lalang, kemudian laluan menaik dan merentasi banjaran serta dikelilingi banyak pokok-pokok renek, bonsai dan pelbagai spesis hutan gunung. Tidak banyak pokok-pokok tinggi sepanjang laluan dan banyak melalui laluan batu-batu kerikil.

Trek Gunung Kenderong : Peringkat awal adalah laluan hutan dan semak samun, kemudian semakin mencabar dengan laluan  pacak 60 - 90 darjah dan terus naik... naik dan terus naik. Melalui beberapa puncak tipu dengan jalan berbatu kerikil dan batu-batu besar. Pertengahan jalan, dikelilingi pokok-pokok renek dan bonsai serta boleh menyaksikan pemandangan cukup menakjubkan kiri dan kanan. Semakin hampir puncak, laluan semakin mencabar dengan kecuraman 70-90 darjah dan banyak batu-batu yang tidak stabil.

Pendakian Gunung Kerunai : Antara 2 - 2 jam 30 minit mengikut pace kami.
Pendakian Gunung Kenderong : 3- 4 jam

Cuaca : Waktu siang cuaca sangat panas kerana banyak pokok-pokok renek dan tidak tebal. Jika waktu petang, malam dan awal pagi, suhu agak sejuk.

Kejadian : Pernah terbakar dan beberapa kes terjatuh semasa menuruni gunung yang melibatkan misi menyelamat Bomba dan Polis.

Perkhidmatan Guide : Koperasi Kariah Masjid Ihsaniah, Kampung Pahat Gerik.
Pihak yang dihubungi : Mat Din [ 016-9570429 ]

Pakej : RM 63 seorang - Permit, perkhidmatan powil dan khidmat guide sahaja. Makan, minum dan khemah TIDAK disediakan.
Tempoh : 2 hari 1 malam : 27-28 Julai 2018

GUNUNG KERUNAI

Perjalanan kami menggunakan bas kolej dari Kuala Nerang dan sampai di persimpangan Kampung Pahat Gerik, mengambil masa 3 jam 30 minit. Memang boleh nampak signboard Kampung Pahat kat tepi jalan. Bas memang agak sukar masuk dalam kampung, so 3 powil dah standby kat tepi jalan besar menanti kami.

Kami di bawa ke Masjid Ihsaniah Kampung Pahat, Gerik untuk solah Jumaat dulu. Kebetulan masa ni musim buah, apa lagi kami pun makan sepuas-puasnya durian kampung yang best dan rambutan yang manis-manis. 



Selepas solah Jumaat, jam 3.00 petang, kami menaiki powil untuk pergi ke tapak perkhemahan dan starting point. Cukup ekstrim, masuk kawasan hutan dengan jalan yang tidak rata, berbukit, licin dan berselut tanah merah. 2 powil tak lepas naik bukit sebab jalan teruk sangat. 

Alhamdulillah, sampai gak kami jam 4.15 petang. Disebabkan ada powil yang tak lepas naik bukit, kami lewat sampai, lebih kurang 1 jam 15 minit gak. Kami pun cepat-cepat pasang khemah dan tinggalkan beg yang berat-berat. Hanya bawa beg daypack, head lamp dan air minuman 5 botol 500ml.






Sebelum bermulanya pendakian, kami diberi taklimat dulu oleh guide dan buat senaman sikit. Jam 5.00 petang, kami pun mulakan perjalanan dalam keadaan redup dan tak panas. Kami memasuki kawasan semak samun dan lalang. Memang ada pacat di kawasan semak-semak ni. Bukan kawasan hutan tebal, sangat kurang pokok yang tinggi-tinggi. 





Lama-kelamaan, dikelilingi pokok-pokok renek, bonsai dan pokok hutan gunung. Pada peringkat awal, jalan landai, sedikit becak sebab baru lepas hujan, tanah gambut lagi. Selepas itu laluan mula menaik 60 - 80 darjah dan jalan mula berbatu kerikil. Semasa merentasi ala-ala banjaran, pemandangan kiri dan kanan memang sangat menakjubkan dan sangat jelas sebab tak banyak pokok, hanya dikelilingi pokok-pokok renek dan pokok-pokok tunggul kesan kebakaran satu ketika dulu.  












 






Alhamdulillah, Jam 7.00 petang, lebih kurang 2 jam perjalanan, kami sampai di PUNCAK GUNUNG KERUNAI. Puncaknya memang dikelilingi pokok-pokok renek dan bonsai, tapi ada gak beberapa port untuk kita ambik gambar pemandangan yang sangat cantik. Subhanallah, bila nampak pemandangan matahari sedang terbenam di celah-celah bayangan gunung dengan warna merah keorenan dan dihiasi dengan awan kabus dan awan karpet dan sekali sekala terasa angin bertiup lembut... ouhhhhh, pengalaman yang sangat hebat melihat ciptaanNya yang Maha Indah. 













Jam 8.00 malam, kami pun turun dari puncak. Walaupun treknya tidak la begitu mencabar berbanding trek G7, tetapi kena hati-hati gak sebab batu-batu yang tak stabil. Jam 10 malam, kami pun sampai dengan selamat kat tapak perkhemahan. Alamak, banyak pulak kena gigit pacat, sampai kat badan pun kena. Kat sini memang ada air sungai yang agak deras dan boleh mandi-manda. Kena tidur awal ni, jam 4.00 pagi nak mendaki lagi.


GUNUNG KENDERONG

Alamak.... bangun-bangun tidur je... ramai yang kena pacat. Biar la, dah rezeki pacat. Kami pun bersiap-siap. Jam 4.00 pagi, kami pun mula mendaki dalam keadaan diterangi cahaya bulan dan jutaan bintang-bintang di langit. Laluan kali ni dah terus menaik dan menaik 60 - 80 darjah. Melalui kawasan hutan tebal dan pokok balak dan jalan-jalan yang berbatu. Rehat jap di Checkpoint Balak

Kemudian teruskan perjalanan dan sampai di KEM SOLAR jam 6.15 pagi. Kami cepat-cepat solah Subuh berjemaah kat sini. Dari Kem Solar ke puncak, laluannya sangat mencabar, penuh dengan batu-batu besar dan kerikil yang tidak stabil dan licin. Pacak sehingga 90 darjah. Memang nampak menakutkan dan bahaya, kena fokus betul-betul, takut tergelincir dan jatuh. Pokok pun dah jarang-jarang, pokok rendah-rendah je, boleh nampak pemandangan 360 darjah yang sangat cantik sepanjang perjalanan. 







Sambil jalan tu, jangan lupa perhatikan keindahan matahari yang sedang muncul dan jangan terlepas menyaksikan awan-awan karpet gebu bergerak disebalik celah-celah gunung dan hutan-hutan tebal. Tak semena-mena, terkeluar Subhanallah daripada mulut kita. Cukup indah, cukup tenang dan cukup mengasyikkan. Bila lihat pemandangan camni, memang kita terasa dekat sangat dengan Allah. Rasa syukur, dapat menyaksikan rezeki pemandangan yang sangat hebat ni.






 

Sebelum sampai puncak, rasanya melalui 3 kali puncak tipu. Setelah melalui trek yang mencabar dan menakutkan, kami sampai PUNCAK GUNUNG KENDERONG jam 7.50 pagi. Hampir 4 jam perjalanan gak dari starting point. Puncaknya agak luas dikelilingi pokok-pokok renek, pokok yang jarang-jarang dan berbatu. Banyak gak port-port untuk duduk relaks sambil menyaksikan pemandangan. Walaupun matahari dah naik, dah mula panas, pemandangan masih lagi cantik, masih ada lagi awan-awan karpet. Jelas kelihatan kampung-kampung dan Pekan Gerik dari puncak.




Jam 9.00 pagi, kena turun ni, cuaca semakin panas, air pun semakin kurang sebab takde water point. Perjalanan turun sebenarnya sama bahaya dengan naik dan mungkin lagi bahaya. Nampak memang sangat curam dan yang paling risau batu-batu yang tidak stabil. Akar-akar kayu dan rumput yang rapuh. Salah pijak boleh menyebabkan kita jatuh. Patut la, banyak kejadian jatuh kat Gunung Kenderong ni, yang terbaru tahun 2018, seorang lelaki jatuh dan parah menyebabkan tindakan misi menyelamat oleh bomba dan polis.


Lebah pun semakin banyak mengekori yang menggangu perjalanan kami. Yang tak tahan tu, kena sengat pulak. Cuaca semakin panas dan peluh memang keluar kaw kaw. Alhamdulillah, Lebih kurang jam 12.30 tengahari, kami pun sampai, dengan perjalanan lebih kurang 3 jam lebih. Kami pun mandi-mandi kat sungai yang airnya  sejuk dan segar.

Jam 2.00 petang kami pun keluar dari tapak perkhemahan dengan membawa 1001 kenangan dan pengalaman yang sangat menakjubkan. Yup...2 orang gagal sampai ke puncak Gunung Kenderong, setakat sampai Kem Solar je disebabkan kehabisan tenaga dan trek yang mencabar. Apa-apa pun semua dah buat yang terbaik dan yang paling penting semua selamat. Jom cari gunung lagi... 
ALHAMDULILLAH.....MISSION ACCOMPLISHED....

2 comments:

  1. salam nak tanya. ada contact nombor 4wheel tak? boleh saya dapatkan?

    ReplyDelete
  2. I am from Grik and a regular hiker in Klang Valley areas. I am excited to this trail and also thanks for the valuable information.

    ReplyDelete