April 2019
"Setelah sampai di puncak Gunung Tahan, saya terus sujud syukur kerana berjaya menawan puncak dengan selamat dan akhirnya saya berjaya melengkapkan misi menawan 7 gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia (G7) bersama team Kolej MARA Kuala Nerang Kedah."
Menawan Gunung Tahan tidak lah sesukar mana dengan syarat buat persediaan fizikal dengan rapi. Perlu jogging atau buat la apa-apa aktiviti yang boleh meningkatkan stamina. Semasa di Gunung Tahan, kami ingat ramai pendaki muda, rupa-rupanya tidak begitu, sebenarnya ramai je pendaki umur 30an, 40an, 50an dan umur 60an pun ada daripada pelbagai bangsa dan negara. Malah kami terserempak ada ibu bapa yang mendaki bersama anaknya yang berumur 4 tahun, dikatakan rekod Gunung Tahan dan terserempak juga budak darjah 2 yang baru turun daripada puncak.
PROFAIL GUNUNG TAHAN & PAKEJ

TAHAP KESUKARAN : 8/10 - merentasi hutan tebal pokok balak, hutan lumut dan hutan bonsai. Cabaran trek yang pelbagai seperti jalan landai, jalan berakar yang curam sehingga 90 darjah, jalan merentasi sungai, jalan becak dan jalan berbatu.

LOKASI : Taman Negara Pahang, Sungai Relau, Merapoh, 27210, Kuala Lipis, Pahang.(09-9150214)
PAKEJ KAMI : 4 hari 3 malam ( Sungai Relau Merapoh - Gunung Tahan - Sungai Relau Merapoh).
HARGA PAKEJ KAMI : RM 260 seorang - Upah guide, upah guide masak, bahan mentah, fly-ground, kelengkapan memasak, permit dan bayaran pengangkutan pacuan 4 roda.

TEAM KAMI : 11 orang daripada Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah ( 4 perempuan, 7 lelaki) - Cikgu Haizan, Kak G, Amjad, Bihan, Husna, Qutrin, Azrie, Muhaimin, Che, Taufik dan Fahmy.
NAMA GUIDE : Along ( 017-9207769 )
NAMA GUIDE : Along ( 017-9207769 )
PERJALANAN PERGI
Perjalanan bermula dengan melalui highway Plus daripada Kuala Nerang, Kedah. Kemudian keluar ikut susur keluar Simpang Pulai dan terus menghala ke Cameron Highland dan terus lagi sampai ke Gua Musang. Perjalanan melalui jalan berselekoh tanah tinggi, gunung ganang dan dikelilingi pemandangan hijau hutan gunung, ladang sayur-sayuran, strawberry dan bunga-bungaan yang menenangkan fikiran. Setelah 8 jam perjalanan, Alhamdulillah, kami sampai di Gua Musang dan kami menginap di hotel bajet :
☺HOTEL BELLA VISTA beralamat TMG Hypermarket, PT 2764, Jalan Cengal, Bandar Utama, 18300, Gua Musang, Kelantan.(013-6351337).
☺Jumlah Bilik Ditempah : 5 bilik, boleh muat 2/3 orang, ada air-cond, dengan harga keseluruhan RM 270 (purata RM 54 satu bilik).
Ada sebab kenapa kami bermalam di Gua Musang. Sebabnya, mudah untuk mendapatkan makanan dan membeli barang-barang untuk persediaan hiking. Besar gak bandar Gua Musang ni, ada restoran makanan segera, bank, supermarket dan lot-lot perniagaan pun banyak. Pada waktu malam, kami pergi ke PASAR MALAM utama di Gua Musang. Dibuka bermula waktu petang hingga lah 11.00 pagi keesokan harinya. lama tu. Semua ada kat sini seperti makanan, minuman, pakaian, ikan-ikan, barang kering, buah-buahan, sayur-sayuran dan banyak lagi. Kami beli nasi kerabu kat sini, memang sangat sedap dan terbaik la.
TAMAN NEGARA PAHANG, SUNGAI RELAU, MERAPOH.
Selepas subuh kami bergerak dari Gua Musang ke Taman Negara Sungai Relau, mengambil masa perjalanan lebih kurang 40 minit. Kami berhenti bersarapan, bertemu guide dan bungkus nasi makan tengahari di Merapoh. Sebenarnya kat sini pun ada penginapan serendah RM 30 (berkipas sahaja) dan ada gak homestay. Boleh contact guide, kalau nak tempah. Dari Merapoh menuju ke Taman Negara lebih kurang 15 minit je.

Sementara menunggu giliran untuk declare, saya pun pergi ke kaunter pendaftaran di pejabat untuk menghantar 3 salinan senarai nama lengkap beserta nama, alamat, IC, no. telefon, nama waris dan no. telefon waris. Pastu wajib bayar permit smartphone RM 5 seorang. Gopro/Kamera pun kena bayar RM 5. Permit masuk RM 1 dan permit perkhemahan RM 1. Dalam pejabat ni ada bilik pameran mini berkaitan hutan Taman Negara dan Gunung Tahan, so boleh la baca-baca sikit info kat situ. Kat sini juga ada dijual pelbagai kelengkapan dan peralatan hiking seperti sleeping bag, hiking stick, makanan kembara pack, tali, sarung tangan, botol gas, cooking set, poncho dan sebagainya. Kot-kot ada barang tertinggal, boleh beli kat sini.
Dah selesai declare, masa untuk dengar taklimat daripada Pegawai Taman Negara. Bagus sebenarnya taklimat ni sebab diterangkan masa perjalanan dan kem-kem yang perlu dilalui, bentuk muka bumi Gunung Tahan, peraturan dalam hutan, tindakan undang-undang, keselamatan semasa turun dan naik dan penjagaan kebersihan semasa di dalam hutan. Paling mengujakan bila diceritakan pengalaman dan kes kematian, sesat dan kecederaan yang pernah berlaku. Pernah terjadi pendaki meninggal kerana sesak nafas, kes kematian hanyut di sungai deras, kes kecederaan serius sehingga perlu diusung untuk turun, kes pendaki sesat sehingga 19 hari dan ada kes gak pegawai taman negara sendiri sesat 2 minggu. Kes mistik diganggu jin dan syaitan pun banyak. Begitu juga risiko binatang buas dan berbisa pun kena sangat berjaga-jaga. Ouhhh...bila dengar cerita ni berdebar gak nak masuk hutan ni.
MENAIKI 4 WHEEL DRIVE

STARTING POINT KUALA JURAM ke KUALA LUIS
Bersenam dulu, renggangkan apa-apa yang patut untuk elak kejang dan kecederaan semasa pendakian nanti. Guide Along beri taklimat berkaitan jarak pendakian, bentuk muka bumi yang dilalui, keselamatan, pentingnya mematuhi arahan, sistem buddy dan niat dalam hati masing-masing mendaki ni untuk mendekatkan diri kita kepada Allah dan bukan nak tunjuk diri hebat.


Jarak perlu dilalui ialah 6 km. Boleh tahan jauh tu. Trek dah mula asyik menaik dan menurun dengan trek banyak akar serabut. Pokok balak pun dah nampak besar-besar. Ada satu sungai perlu diredah. Dah mula penat dan keletihan ni tetapi laluan masih belum ditahap ekstrim lagi. Pukul 4.00 petang, kami tiba di Lata Luis dengan ketinggian 558 meter. Lebih kurang 2 jam perjalanan gak la.
LATA LUIS ke KEM KOR
Kali ni jarak perjalanan 2.5 km. Walaupun dah tak jauh tetapi perjalanan dah semakin mencabar. Dah kurang trek landai, dah banyak naik bukit dan turun bukit, laluan pun banyak dengan akar serabut dan akar tunjang. Ada beberapa laluan yang curam yang perlu menggunakan tali. Ada juga sungai perlu dilalui dan merentasi lereng-lereng sungai. Hutan semakin tebal dan pokok-pokok balak yang tinggi-tinggi dan besar. Tercungap-cungap gak kepenatan. Bahu pun makin sakit. Air pun dah berbotol habis. Dalam perjalanan, kami ternampak air terjun yang tinggi dengan pemandangan sekeliling yang menakjubkan, berhenti rehat jap kat sini sambil ambil gambar.

HARI KEDUA : KEM KOR ke PERMATANG
Selepas Solah Subuh dan bersarapan, kami cepat-cepat turunkan fly dan berkemas. Seperti biasa, kena bersenam dulu, taklimat guide dan bacaan doa. Jam 8.05 pagi, kami mulakan langkah sejauh 2.5 km untuk sampai ke Permatang.
Permulaan trek, perlu melalui lereng sungai dan melepasi anak sungai yang cetek. Kemudian bermula lah trek mendaki, kemudian turun bukit, kemudian melalui trek landai banjaran. Trek memang banyak menaik ni. Masih melalui hutan tebal dengan macam-macam kicauan, dengusan dan bunyi bising unggas.
Perjalanan agak panas dan pastinya memenatkan dengan membawa beg yang berat. Ouhhhh, sakit bahu dan kaki dibuatnya. Lebih kurang 1 jam perjalanan, kami tiba di Permatang untuk berehat sebentar dan regroup. Baru tinggi 874 meter. Guide kata tempat ni perlu berhati-hati kerana banyak kes mistik dan kena ganggu. Memang ada kejadian orang meracau kat tempat ni. Tak perlu rehat lama-lama, kami pun meneruskan perjalanan.
PERMATANG - KUBANG - BELUMUT

Bersedia la menghadapi siksaan fizikal, mental dan emosi. Lagi-lagi pikul beg yang berat, lagi la mementalkan otak betul la. Bertenang, sabar, sentiasa berzikir dan redah je ler. Jam 11.30 pagi, semua berjaya sampai di KUBANG dengan ketinggian 1,406 meter. Ehhhh, ada pulak line celcom dan maxis. Sambil rehat-rehat, update dulu whatsapp dan telefon family.
Guide kata jangan lama-lama kat sini, kena teruskan perjalanan, target ke BELUMUT, dah tak jauh, lebih kurang 1.5 km. Dengan rasa beratnya nak bangun, ermmm, jalan lagi le ke depan. Lebih kurang jam 12.20 tengahari, kami sampai di Belumut. Cuaca dah mula agak sejuk dan ada sikit-sikit berawan. Kami makan tengahari dulu kat sini. Walaupun takde selera, kena makan gak ler. Sedang kami berehat, dah mula beberapa team yang turun dari puncak melewati kami. Daripada budak darjah 2 sampai la pendaki veteran, lelaki, perempuan, muda, tua, Melayu, Cina, India, orang Putih, semua ada. Memang nampak riak wajah mereka penuh ceria, mungkin berjaya sampai di puncak.
BELUMUT ke BONSAI
Jarak yang perlu dilalui 5.5 km. Sekarang, kita dah masuk hutan yang banyak lumut. Pokok pun dah banyak sederhana tinggi. Banyak pokok berduri. pokok rotan dan mengkuang. Ahhhh, terus terang, trek kali ini lebih mencabar, banyak mendaki dengan trek penuh dengan akar kayu dan kecuraman sehingga 90 darjah, keadaan trek lembap, licin dan berlumut dengan cuaca agak sejuk dan sesekali berkabus.Ada trek yang kena turun yang boleh tahan curam. Terpaksa paut tali-tali dan akar-akar yang berjuntai. Ada gak trek berbatu. Kesimpulannya, trek memang banyak naik dan betul-betul menguji ketahanan fizikal, mental dan emosi.
Sebelum sampai ke BONSAI, kena melalui trek terakhir yang memang mencabar dengan kecuraman 90 darjah, licin dan perlu guna kekuatan untuk paut dan pijak akar-akar kayu. Alhamdulillah berjaya melepasi ujian yang paling mencabar dan sampai di BONSAI jam 3.45 petang.

Tiba-tiba, tanpa disedari, hujan pun turun dengan lebat, cepat-cepat kami memakai baju hujan dan cover beg dengan plastik. Angin bertiup kencang dan memang terasa sangat sejuk sehingga menggigil. Kabus yang sangat tebal menutupi suasana kawasan BONSAI dan sesekali bunyi guruh berdentum. Di sini lah, seorang team kami ada tanda-tanda terkena penyakit Altitud dan Hypo. Pening, loya, kesejukan dan tiba-tiba tak larat naik. Guide memutuskan untuk naik slow-slow supaya badan akan jadi panas kembali.
BONSAI ke BUKIT BOTAK

Alhamdulillah jam 6.00 petang, semua selamat sampai di BUKIT BOTAK. Kalau dikira dari Kem Kor, perjalanan penuh cabaran kami mengambil masa lebih kurang 10 jam untuk sampai di sini. Tanpa melengahkan masa, kami cepat-cepat pasang fly-ground, khemah dan siapkan tempat memasak sebab nampak cuaca pun macam nak hujan lagi. Yup, betul telahan kami, hujan lebat mencurah kembali. Cuaca makin kuat berkabus dan suhu sangat sejuk, rasanya antara 8 - 15 darjah. Ouhhhh, sleeping bag dan khemah pun basah. Memang tak mampu nak melelapkan mata dengan lena.
HARI KE-3 : BUKIT BOTAK ke PUNCAK GUNUNG TAHAN
Jam 4.00 pagi, baru hujan berhenti. Cuba gak untuk tidur sebab harini kami akan menempuh perjalanan yang panjang. Jam 6.45 pagi, kami pun menuju puncak dengan jalan 100% berbatu. Suasana pagi yang nyaman, dingin, menenangkan dan mendamaikan.


Setelah puas memerhati alam dan bergambar, jam 8.20 pagi, kami mula turun dari puncak. Hari semakin cerah dan makin terserlah keindahan pemandangan gunung yang cukup hebat dan menakjubkan. Subhanallah. Terasa berat hati untuk meninggalkan tempat ni tetapi perjalanan kami masih terlalu jauh.
BUKIT BOTAK ke KEM KHOR
Selesai mengemaskan tapak perkhemahan, kami pun mula bertolak jam 11.45 pagi. Walaupun dah nak tengahari, cuaca masih redup, angin berhembus kencang, kadang-kadang berkabus tebal, langit pun mendung dan hujan turun renyai-renyai. Jalan memang becak, berlopak dan sangat licin. Tak tau la dah berapa kali tergelincir dan terjatuh akibat terpijak akar licin dan tanah licin. Trek kali ini memang lebih banyak turun dan lebih bahaya terutama ketika menuruni kecuraman 90 darjah. langkah memang agak laju tetapi kami perlu berhati-hati kerana kami sedar banyak kes kecederaan adalah turun daripada gunung. Kami berehat, regroup dan makan tengahari di BELUMUT. Masa ni, guide pun tak sedap badan mungkin disebabkan cuaca atau lain-lain. Hanya Allah mengetahui.
Kemudian meneruskan perjalanan, cuaca semakin baik dan semakin panas. Kami mula terserempak dan bertegur sapa dengan team lain yang sedang berjuang untuk mara ke Bukit Botak. Memang kedengaran keluhan berpanjangan diaorang dengan muka yang berkerut-kerut tanda stress. Apa-apa pun doa selamat untuk mereka.

Alhamdulillah jam 8.00 malam, kami sampai di KEM KHOR. Terkejut kami sebab ramai orang bermalam di kem ini. Meriah betul. Tiba-tiba terdengar bunyi bising daripada group lain sebab ada 2 orang lagi dalam group diaorang yang tak sampai-sampai lagi. Ouhh, agak cemas gak. Kami pun mandi ramai-ramai waktu malam, uhhhh boleh tahan sejukkkk. Lepas makan malam, kami pun tidur dengan lena.
HARI KE-4 : KEM KHOR ke KUALA JURAM

Sementara menunggu powil datang. Kami pun mandi lagi di Kuala Juram ni. Wowww...ikan kelah kat sini memang besar-besar. Sangat jinak menggesel-gesel kaki kami. Jam 3.00 petang, powil datang dan membawa kami pulang ke Pejabat Taman Negara.
TAMAN NEGARA MERAPOH
Bermula la part yang mendebarkan, declare balik semua barang seperti yang tercatat dalam borang. Jumlah barang yang dibawa semasa mula masuk ke dalam hutan MESTI SAMA dengan barang yang dibawa keluar. Kalau lebih takpa dan jangan kurang. Memang jenuh nak bersoal jawab dengan pegawai yang memeriksa. Tak pasti pulak apa tindakan yang diambil oleh Taman Negara jika ada barang atau sampah terkurang. Guide kata kena bayar denda. Alhamdulillah team kami lulus tetapi belum boleh balik lagi sebab kena check toilet dan pastikan bersih setelah kami gunakan untuk mandi. Semua ok, jam 5.00 petang, baru la pegawai Taman Negara beri sijil Gunung Tahan.
Kami pulang ke rumah masing-masing dengan perasaan puas dan badan yang sakit. Alhamdulillah, semua selamat, tiada kecederaan, semua sihat dan tidak diganggu makhluk lain dalam hutan. InshaAllah ada rezeki, jumpa lagi dalam pengembaraan kami seterusnya. MISSION ACCOMPLISHED.
Hi tuan!
ReplyDeleteKami dari PTT Outdoor berminat untuk collaborate dengan blog tuan. Tapi tak dapat cari email sbb takde contact us page. Boleh kami tahu macam mana nak contact tuan ya?
Mike
Ouhh..baik2... haizanr@yahoo.com . no.tel : 019-4198523
Delete