DISEMBER 2020
"Sekumpulan pemburu membaling lembing dan berjaya mengena seekor rusa. Rusa itu jatuh ke dalam sungai dan hanyut dibawa arus deras. Selang beberapa tahun, lembing itu dijumpai di tepi sungai. Maka tercipta lah nama Sungai Lembing."
Perjalanan menggunakan lebuhraya Pantai Timur dan keluar di susur keluar Kuantan. Selepas lampu isyarat, ambil jalan ke kanan menuju Sungai Lembing. Jalan raya di kawasan kampung yang sunyi. Kurang penempatan. Kiri dan kanan jalan dihiasi ladang kelapa sawit dan hutan. Tiada stesen minyak sepanjang jalan. Tiada dobi dan tiada bank.
Lebih kurang 26 km kami tiba di PINTU GERBANG SUNGAI LEMBING pada waktu maghrib.
Kami hanya ikut sahaja arahan Google Map menuju penginapan kami iaitu CASA HILL RESORT. Suspen juga bila time maghrib ni. Sebab kami di bawa jalan merentasi jambatan sungai. Kemudian sebelah kiri jalan adalah perkuburan Jirat Cina yang luas. Kami melalui jalan kecil yang hanya boleh memuatkan satu kereta sahaja. Ada juga rumah kayu orang kampung berbangsa Cina di sepanjang jalan. Sunyi.
Setelah melalui emosi yang confuse dan mendebarkan. Akhirnya, lega. Bila jumpa papan tanda CASA HILL RESORT. Tiada orang di kaunter reception. Saya dial nombor telefon yang tertera di pintu masuk : 010-3832189. Seorang perempuan muda datang untuk uruskan check in bilik kami. Saya sempat bertanya "Sunyi ye malam ni". Pekerja itu beritahu "Hari biasa memang sunyi dan tak ramai orang tapi bila time cuti memang semua bilik penuh."
1) CASA HILL RESORT
Keluarga saya. 2 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak. Jadi kami buat tempahan bilik Villa Deluxe Room di booking.com selama 2 malam. Harga satu malam : RM 220. Tiada sarapan. Bilik ini mempunyai 2 queen beds. Sesuai untuk 4 orang dewasa. Ada tandas pancuran air panas dan sejuk, penyaman udara dan kipas. Sekadar untuk baring-baring dan tidur, memang selesa. Wifi percuma. Parking kereta pun dekat. Perkhidmatan tempahan basikal pun ada. Ruangan untuk membuat jamuan BBQ juga disediakan.
Selain Villa Room, ada lagi bilik lain :
o Standard Cabin Room ( 2 pax) - RM 190
o Standard Cabin Triple (3 pax) - RM 190
o White Cottage (4 bedrooms dan 2 tandas, maksimum 10 orang) - RM 650
o Penthouse Suite (2 bedrooms dan 2 tandas, maksimum 14 orang) - RM 750
o Poolside Family Suite (4 bedrooms dan 4 tandas, maksimum 16 orang) - RM 950
Suasana sekeliling memang menenangkan. Dikelilingi kehijauan pokok-pokok yang merimbun. Sungai kecil yang mengalir deras di kawasan resort. Rekabentuk resort yang moden dan dibina di kawasan tanah tinggi. Kebersihan pun terjaga. Ada juga resort yang berdekatan dengan Casa Hill seperti Green Peace Resort, Lake Castle Resort, Sungai Lembing Hillview.
Tetapi yang paling best untuk anak saya ialah ada mini SWIMMING POOL.
2) RAINBOW WATERFALL
Semasa check in malam tadi di resort, kami terus buat tempahan untuk pakej Rainbow Waterfall. Bayarannya : RM 60 seorang (umur 5 tahun ke atas). Tidak digalakkan untuk umur 5 tahun ke bawah.
Jam 5.45 pagi, ada orang ketuk pintu. Oooo rupa-rupanya driver 4x4.
"Incik mau ikut kami sarapan dulu ka atau incik mau sembahyang dan mau sarapan sendiri".
Saya: "Tauke...kami mau sarapan sendiri dan sembahyang dulu la. Boleh ke".
Driver : "Bole...Bole..No problem. Nanti saya ambik you all pukul 6.30 PAGI ye"
Apa lagi kami pun bergegas untuk bersiap, solah subuh dan sarapan siap-siap. (Makan roti cecah coklat Nutella je).
6.30 pagi, kenderaan 4x4 datang menjemput kami. Kami pun naik ruangan kargo belakang 4x4 yang telah diubah suai dan berbumbung. 9 orang boleh duduk dengan selesa.
Perjalanan pun bermula. Melalui jalan tanah merah yang tidak rata dan berbukit. Selepas 20 minit perjalanan, kami tiba di BUKIT SUNRISE.
Kawasan puncak bukit yang lapang dan misinya ialah menyaksikan pemandangan hebat matahari terbit dan lautan awan putih yang menjalar perlahan menutupi kawasan bukit sekeliling. Yup.. Pemandangan cukup mengagumkan.
Setelah 30 minit menyaksikan pemandangan menakjubkan, kami meneruskan perjalanan memasuki hutan bersama-sama 2 buah kenderaan 4x4 yang lain. Pagi ini lebih kurang 30 orang sahaja yang menyertai ekspedisi. Sebab hari biasa. Driver beritahu kalau waktu cuti memang sangat ramai pergi Rainbow Waterfall.
Jalan tanah merah, tidak rata, berbatu, berbonggol, ada kalanya mendaki dan menuruni bukit. Bergegar satu badan dibuatnya. Kadang-kadang melalui jalan yang berlubang menyebabkan kami terlambung-lambung. Mungkin ada 3 sungai kecil dan cetek direntasi. Pemandangan hutan yang menakjubkan. Jika di kawasan tinggi, boleh nampak pemandangan indah sungai yang berwarna hijau pekat.
Angin sejuk yang menerpa muka membuatkan kami hampir terlelap. Sesekali lalang, daun menjalar dan ranting buluh dirempuh dan kalau tidak berjaga-jaga boleh terkena libasan di muka dan lengan. Kemudian kami melalui pintu gerbang. Ada seorang penjaga di situ mengutip borang pendaftaran. Petanda nak sampai dah ni. Setelah 12 km (anggaran), kami pun tiba di STARTING POINT.
Dari Bukit Sunrise ke starting point Rainbow Waterfall mengambil masa 25 minit. Kami sampai betul-betul berhadapan dengan sungai.
Di sini ada tandas berbayar 30 sen. Ada paip air. Ada juga orang menjual air minuman botol dan tin. Jika sesiapa yang tidak membawa kasut, ada kasut getah pelbagai saiz yang disewakan dengan harga RM 3 sepasang.
Apabila semua sudah ready, jam 8.10 pagi, kami pun memulakan perjalanan jungle tracking berjalan kaki sejauh 1 km. Tiada guide dan jalan memang jelas. Banyak papan tanda tunjuk arah sepanjang trek.
Kami bermula dengan berjalan kaki di atas jambatan besi. Kemudian melalui jalan berbatu di tepi sungai. Setelah itu, kami pun masuk trek jalan hutan yang rata, landai dan sedikit berbatu dan berakar. Bunyi unggas hutan menemani perjalanan kami. 700 meter trek yang tidak mencabar dan kurang berisiko.
Kami sudah tiba di lereng dan tebing sungai. Arus sungai yang mengalir deras. Bermulanya trek yang mencabar dan berisiko. Kami perlu berhati-hati melalui lereng sungai berbatu yang licin dan ada masanya perlu mendaki. Ada tali disediakan dan diikat antara satu pokok dengan pokok yang lain untuk keselamatan.
100 meter yang terakhir adalah bahagian yang paling mencabar dan berisiko. Perlu mendaki batu-batu sungai yang licin. Merentasi air sungai yang sedikit deras. Dari jauh kami sudah nampak air terjun dengan bayangan pelangi yang cukup indah. Membuatkan kami rasa sangat teruja dan bersemangat untuk sampai ke atas.
Tergamam seketika. Masya-Allah. Tak sama dengan apa yang kami lihat gambar di google image. Bila lihat dengan mata sendiri keindahannya sangat menakjubkan. Keindahan luar biasa. Penuh keajaiban alam. 7 warna cahaya pelangi separuh bulat menerangi jelas memenuhi kawasan air terjun. Ini lah imaginasi yang ingin dicapai sejak kecil, akhirnya berjaya mencapai pelangi dengan tangan sendiri.
Melihat dan mendengar air terjun yang tinggi menghempas dasar cukup menenangkan jiwa. Hembusan angin sejuk disertai titisan-tisan halus air terjun membasahi wajah dan tubuh kami. Air yang sejuk menambah keterujaan untuk berendam.
Kawasan air terjun yang luas dan boleh memuatkan ramai orang. Kami diberi maggi dan air coklat panas oleh driver kami. Ini termasuk dalam pakej, katanya. Sebelum pulang, kami mengambil gambar di pelbagai sudut agar menjadi kenangan paling indah kami sekeluarga.
Perjalanan turun sebenarnya lebih bahaya. Kami menuruni dengan sangat berhati-hati. Biar setapak demi setapak tetapi selamat. Anak-anak perlu diawasi dan dirapati dengan ketat. Arahan demi arahan kepada anak-anak supaya terus fokus dan jangan cuai. Alhamdulillah setelah 1 jam, kami tiba di starting point. Peserta-peserta yang tiba awal merasa takjub terhadap kami. "I salute you la. Awak boleh bawa anak dengan selamat pergi dan pulang."
Lebih kurang 45 minit perjalanan menaiki kenderaan 4x4, terhenjut-henjut seperti menunggang kuda dan kadang-kadang membayangkan seperti menunggang lembu dalam sukan Rodeo. Alhamdulillah, kami selamat sampai di Casa Hill Resort.
Pelancongan paling extreme pernah kami bersama dalam satu keluarga. Sempat lagi budak-budak mandi kat Swimming Pool. Tak penat lagi rupanya diaorang ni.
2) SUNGAI LEMBING TOUR
Kami menempah tour, jalan-jalan sekitar kampung Sungai Lembing menaiki kenderaan 4x4. Casa Hill Resort memang ada menawarkan pakej ini. Harganya RM 50 sahaja untuk satu kenderaan 4x4.
Jam 2.30 petang, kami memulakan perjalanan melalui jalan-jalan kampung. Cuaca petang ini agak redup. Angin yang menerpa muka kami begitu nyaman sekali sehinggakan mata mula terbuai-buai mengantuk.
Kami melalui dan memerhati penuh minat sekitar pekan kecil yang mempunyai kedai runcit, kedai makan dan pokok besar yang tertua di jalan utama Sungai Lembing dipanggil Askpuha. Ada juga sekolah, padang, rumah-rumah kayu dan pejabat pos.
Lokasi pertama, kami berhenti di JAMBATAN GANTUNG KOLONG PAHAT. Uncle yang merupakan driver 4x4 kami, mengatakan jambatan kayu ini sudah berusia lebih 120 tahun dan tertua berbanding 4 lagi jambatan gantung di Sungai Lembing. Masih utuh. Masih menjadi jalan perhubungan orang kampung sehingga sekarang. Motorsikal pun boleh lalu.
Kami meneruskan perjalanan melintasi Muzium Sungai Lembing, Sungai lembing Tin Mines dan berhenti sebentar di kawasan hutan. Uncle tu suruh tengok sebelah kiri disebalik celah-celah hutan. Ingat ada monyet. Rupa-rupanya ada kapal terbang Boeing 737-400.
Mengikut cerita asal pada tahun 2019. Dua orang adik beradik ingin membina hotel kapal terbang dan bakal menjadi pertama seumpamanya di Malaysia. Sebenarnya ayahnya yang belikan kapal terbang yang telah lupus di Selangor. Pesawat ini perlu dipotong beberapa bahagian dan diangkut menggunakan 5 treler dan 2 kren untuk mengangkat pesawat. Adik beradik ini membuat perancangan 2 bulan untuk pastikan pesawat sampai ke Sungai Lembing. Berita ini telah tersebar di Sungai Lembing dan kampung sekitarnya menyebabkan orang ramai berkumpul seperti pesta menyaksikan sendiri tindakan luar biasa ini.
Uncle driver meneruskan perjalanan melewati starting point Bukit Panorama, rumah 3D dan pasar basah. Kami keluar dari Pintu Gerbang. Melalui jalan raya utama menuju ke kawasan perkampungan orang Melayu dan sampai betul-betul di tepi SUNGAI PANTAI PUTERI. Dulu dikenali sebagai Pasir Kubor. Air sungainya bersih, jernih dan sejuk. Mengalir deras di tengah-tengah sungai. Boleh bermain air sekadar di tepi sungai yang cetek. Uncle driver beritahu, kalau musim hujan memang kawasan tepi sungai berbatu ini akan ditenggelami air.
Pemandangan sungai Kanau memang cantik dan menenangkan. Diseberang sungai dikelilingi hutan hijau dan pemandangan bukit. Menariknya, sungai ini dikelilingi dengan batu kerikil sungai asli pelbagai warna yang cantik. Sehinggakan ada orang jual kat Shopee sekitar RM 20-30, batu asli Sungai Lembing untuk perhiasan laman rumah dan set tungku ibu berpantang.
Kami kembali ke resort dan tour selesai dalam tempoh 1 jam 10 minit.
3) SUNGAI LEMBING TIN MINES
Bila sampai di Sungai Lembing, pastikan sampai di Terowong Lombong Bijih Timah. Salah satu kejaiban bawah tanah di Malaysia. Jangan main-main dengan lombong bijih timah Sungai Lembing kerana dikatakan pernah menjadi lombong bijih timah terbesar di dunia dan ke-2 terdalam di dunia. Panjang bawah tanah yang bersimpang siur sejauh 322 km dengan kedalaman 700 meter. Terowong bawah tanah yang bertingkat-tingkat sehingga jarak setiap tingkat dianggarkan 30 meter. Takjub saya mendengar sejarah ini.
Harga tiket dewasa hanya RM 15.00 dan kanak-kanak RM 7.50. Umur 3 tahun ke bawah percuma tetapi tidak digalakkan untuk pelawat yang mempunyai penyakit athma. Kami memasuki terowong dengan menaiki keretapi lombong. Berderum bunyinya sehingga membisingkan satu terowong. Keretapi ini hanya bergerak sejauh 80 meter sahaja. Kemudian, kami diminta untuk berjalan kaki melalui terowong sejauh 600 meter. Sepanjang terowong ada cahaya lampu yang samar-samar.
Suasananya sedikit gelap, sunyi dan ada titisan-tisan air yang menitis dari atas dinding terowong. Angin bertiup sejuk sepanjang perjalanan berjalan kaki. Dinding terowong yang telah disimen menguatkan struktur terowong. Ada juga dinding terowong yang betul-betul asli dan tidak disimen untuk menggambarkan keadaan yang hampir sama dengan perlombongan zaman dahulu. Ada juga patung-patung pekerja lombong untuk menunjukkan gambaran sebenar.
Kami tiba dihujung lombong sejauh 600 meter (Jarak yang dibenarkan untuk pelawat). Terkejut kami, apabila menyaksikan sendiri kesan korekan yang cukup besar dan dalam. Dinamakan LUBANG SEJUTA RINGGIT. Ada 3 patung pelombong yang sedang bekerja.
Kami membaca maklumat yang disediakan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Ceritanya. Pada tahun 1987, sekitar 20 orang pelombong telah melombong secara haram sehinggakan merosakkan struktur dinding bawah tanah. Pelombong ini berjaya mengeluarkan timah antara RM 2,000 - RM 3,000 satu malam. Diproses dan dipecahkan sendiri menggunakan tangan di rumah. Kemudian dijual di pasaran gelap. Usaha lombong haram ini berlangsung begitu lama sehingga berjaya mengeluarkan bijih timah dianggarkan RM 1 juta ringgit. Dikatakan, apa yang berlaku ke atas pelombong, tidak dapat dikesan sehingga sekarang.
4) BUKIT PANORAMA
Ketinggiannya hanya sekitar 291 meter. Namun begitu, puncak bukit ini menyajikan pemandangan menakjubkan matahari terbit dan lautan awan putih gebu yang menutupi sekitar bukit dan perkampungan Sungai Lembing. Berdekatan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Masih di kawasan pekan kecil sungai lembing. Tiada bayaran dikenakan. Ada tandas disediakan dengan sedikit bayaran. Air minuman juga ada dijual. Tongkat kayu untuk mendaki pun ada dijual.
Pendakian hampir 90 % adalah trek tangga simen. Siap dengan pemegang tangga. Jumlah tangga yang perlu dilalui sekitar 1,008 tangga yang masih elok. Kecuramannya sekitar 50 - 80 darjah. Selepas tangga terakhir, kita akan melalui sedikit trek tanah dan akhirnya sampai ke puncak dalam tempoh 30 minit sahaja (Non-stop).
5) MUZIUM SUNGAI LEMBING
Muzium Sungai Lembing asalnya ialah sebuah rumah 2 tingkat di atas bukit yang didiami oleh pengurus syarikat perlombongan bijih timah. Konsep muzium ini berkisar sejarah penting perlombongan bijih timah Sungai Lembing.
Tak sangka saya. Rupa-rupanya lebih 100 tahun dahulu, Sungai Lembing merupakan perkampungan orang Inggeris, bandar terkaya, bandar termoden dan maju di Pahang dengan penduduk sekitar 10,000 orang sehingga digelar El-Dorado Timur. Lombong bijih timah terbesar di dunia. Secara agresifnya perlombongan bermula pada tahun 1906 oleh syarikat British, The Pahang Consolidated Company Limited.
Kejatuhan bandar Sungai Lembing bermula pada tahun 1985, apabila berlaku kejatuhan mendadak dan berterusan harga timah dunia. Bandar yang hebat dan sibuk satu ketika dahulu, akhirnya menjadi bandar yang sunyi sepi.
Bestnya di sini, akhirnya kami belajar dan nampak dengan mata sendiri :
" ooooo camni rupanya bentuk batu timah yang menjadi lambang kekayaan satu ketika dahulu"
Misi cuti bersama keluarga 'Accomplished'
No comments:
Post a Comment