08 September, 2019

GUA SIREH, BALING KEDAH : Antara Tercantik dan Terluas di Asia Tenggara

OGOS 2019



Baling, Kedah memang terkenal dengan aktiviti alam semulajadi, extreme dan outdoor. Saya pernah mendaki Gunung Baling, Gunung Pulai, Kayak di Sungai Baling dan mandi di Lata Bayu Baling. Kali ini kami ingin kongsikan pengalaman yang cukup hebat meneroka GUA SIREH, antara gua yang dikatakan tercantik, terbesar dan terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara dan mungkin di Asia. Jom....ikut kami caving...

FAKTA RINGKAS :
☺Panjang gua : 400 meter
☺Panjang dari lantai gua ke syiling gua : 10 - 90 meter
☺Keluasan gua : 70,000 kaki persegi
☺Purata pengunjung sebulan : 1200 orang
☺Keunikan gua : Keluasan chamber yang besar, syiling gua 3D, bentuk batu & granit yang sangat cantik dan lelehan batu berbentuk honeycomb, pillar dan sebagainya

⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿

😊Bayaran Masuk : RM 10 dewasa, RM 8 pelajar kolej / Universiti dan RM 5 pelajar dan kanak-kanak 7 tahun ke atas. Ada juga pakej beserta makan tengahari / makan petang dengan tambahan RM 10 seorang. Pakej makan pulut durian pula RM 15 seorang.

😊Contact Person : En. Mohd Hassan Aziz, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Dalam Wang / Padang Cik Mas. (019-3972045)

😊Lokasi : Kampung Padang Cik Mas, Mukim Pulai, Baling Kedah.

😊Dibuka : Setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang. 5.30 petang kemasukan terakhir. Setiap lawatan akan ditemani oleh guide Gua Sirih. Sejak dibuka dah ribuan pelancong masuk yang terdiri daripada dalam dan luar negara. Dianggarkan purata 200 orang sehari melawat Gua Sirih.

😊Keluasan Gua : Mencecah 192 meter lebar dan ketinggian antara 60 - 80 meter.

😊Laluan gua : sepanjang 400 meter dari pintu masuk hingga hujung gua. Santai, tak penat pun, laluan jambatan dan trek yang selamat. Dalam gua dikelilingi lampu berwarna-warni. Tidak perlu lampu suluh. Bawa air mineral dan handset untuk ambil gambar

😊Tempoh masa caving : antara 1 - 4 jam (bergantung kepada aktiviti yang dijalankan di dalam gua)

⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿⇿
PERJALANAN

Untuk mudahkan perjalanan set kan Gua Sirih di Waze atau Google Map. Dari Pekan Baling ke Gua Sireh berjarak lebih kurang 5 km sahaja. Semasa memasuki kawasan kampung daripada jalan besar, jalan memang sempit, dikelilingi dusun buah-buahan, hutan semak dan berdekatan dengan kaki gunung.

Bas memang tidak boleh masuk. Biasanya jika melibatkan peserta yang ramai dan menaiki bas sendiri, bas akan berhenti di tepi jalan besar, kemudian akan ada kenderaan orang kampung yang akan tolong hantarkan kita ke lokasi Gua Sirih dengan bayaran RM 2. Jalan pun semakin lama semakin sempit sehingga jika ada kereta lain di hadapan, salah sebuah kereta kena mengalah untuk memberi peluang kereta lain jalan dulu.



STARTING POINT
Alhamdulillah, jam 3.00 petang, kami tiba di lokasi starting point dan parking di halaman sebuah rumah kampung dengan suasana kampung yang klasik. Ada banner Gua Sireh dipasang dan pendaftaran pun di buat di dalam rumah ini. Di luar rumah ada disediakan beberapa botol madu asli untuk dijual. Sebelum masuk gua, kami diberi taklimat terlebih dahulu berkaitan profil gua dan keselamatan oleh 2 orang guide yang berpengalaman.

CAVING
Tanpa melengahkan masa, kami pun berjalan kaki lebih kurang 200 meter atau 10 minit melalui kawasan kebun dan kaki gunung. Setibanya di pintu gua, awal-awal lagi kami dah tergamam dan teruja melihat formasi batu dan lanskap gua yang cukup menakjubkan.






Kami mula masuk dengan berjalan di atas jambatan kayu sambil terpukau melihat batu besar berbentuk sirih junjung dengan ketinggian lebih kurang 7 meter dan nampak samar-samar di celah batu tersebut ada ular betul tau seakan-akan warna putih yang sedang menjalar. Di bahagian bawah batu tersebut ada pulak laluan air cetek dan terdapat banyak siput-siput kecil. 

Di batu pun banyak  kesan fosil atau kulit kerang dan siput lama yang mungkin usianya ratusan atau ribuan atau jutaan tahun yang menunjukkan pada zaman dahulu, Gua Sirih ini ada kaitan dengan sungai atau laut. Mengikut kajian Universiti Kebangsaan Malaysia, Gua Sireh dan gua sekitarnya ini sudah ada masyarakat terawal yang mendiami gua sejak 16,000 - 17,000 tahun yang lalu. Woww...











Kami maju lagi ke hadapan melalui jambatan dan trek yang disediakan. Sempena sambutan kemerdekaan ni, banyak bendera Malaysia dipasang di dalam gua bagi menyemarakkan mod sambutan. Semakin jauh ke dalam semakin pemandangan yang mengagumkan. Tidak perlu guna lampu suluh kerana gua ini sudah diterangi dengan lampu yang berwarna warni sehingga menimbulkan kecantikan formasi batu di dalam gua seolah-olah berada di dunia fantasi. Semua kemudahan dan keselesaan yang disediakan melibatkan kos melebihi RM 20,000 adalah usaha orang kampung sendiri melalui Persatuan Penduduk Kampung Dalam Wang / Padang Che Mas yang menggunakan duit sendiri dan bantuan kerajaan negeri.









Titisan air bercampur kalsium yang terbentuk ribuan dan mungkin jutaan tahun telah membentuk formasi stalagmit dan stalaktit yang pelbagai dan menakjubkan seperti bentuk singa, lelaki alim, perempuan, budak kecil, serigala, love, orang mengaji, belalai gajah, orang bertapa dan sebagainya. Dinding gua juga kelihatan berombak-ombak sehingga nampak seperti lukisan 3D. Bila dinding gua dan syiling gua diterangi lampu berwarna-warni dan lampu spotlight menambahkan lagi keindahan gua.Kami sangat teruja dan tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan dinding ombak gua dan formasi batu kapur sebagai kenangan.



Ada juga ribuan kelawar yang berterbangan bila disuluh lampu menambahkan lagi sedikit keseraman. Dulu, tahun 60 an, memang Gua Sireh ini menjadi pusat kepada orang kampung untuk mencari najis kelawar dan dijadikan baja. Sekarang dah takde lagi dan ditukar kepada pusat pelancongan pulak sebagai sumber ekonomi masyarakat setempat yang baru. Tetapi, boleh nampak ada lagi kesan peninggalan aktiviti manusia mencari tahi kelawar, batu kristal dan lain-lain khazanah gua.

Guide yang sangat peramah dan berinformatif juga menunjukkan kepada kami bagaimana menghasilkan bunyi gong dengan mengetuk batu yang keras yang terdapat di dalam gua. Selain itu, guide juga menunjukkan batu-batu kristal yang boleh menghasilkan cahaya apabila di suluh dan kami juga diberi taklimat dan menyaksikan sendiri tanah batu kapur yang mempunyai lapisan warna merah jambu dan kuning. Sedang kami syok melayan pemandangan gua, tiba-tiba dikejutkan dengan suara guide menyuruh kami bergegas melihat celah-celah batu, ya Allah, besarnya 2 ekor Tarantula yang berbulu sedang menampakkan dirinya. Ouhhh...tak sempat nak ambik gambar, mungkin takut dengan manusia, cepat-cepat Tarantula ni lari dan masuk celah batu.







Kami mengelilingi tebing gua yang curam dan tajam dalam satu bulatan. Di tengah-tengahnya lubang besar yang penuh dengan batu yang tajam. Berhati-hati ketika memegang dinding gua, dikhuatiri ada spider gua yang merayap. Kami ditunjukkan oleh guide kawasan aktiviti manusia zaman dulu seperti surau gua dan lubang-lubang gua yang dalam dan menakutkan, mungkin saliran air semulajadi.


TURUN GUA

Kami mengambil trek yang lebih mencabar ketika turun. Sebenarnya ada je jalan yang tak bahaya dan lebih selesa. Saja je, nak menambahkan adrenalin dan kepuasan. Kami melalui celah-celah dinding gunung dan batu-batu gunung. Melalui lanskap formasi batu semulajadi yang fantastik, namun begitu perlu berhati-hati. 

Alhamdulillah, tak sedar, rupa-rupanya hampir 3 jam gak kami meneroka Gua Sirih, berjalan melihat dunia gua, mengambil gambar di setiap penjuru dan mendengar penerangan guide. Pakej yang lengkap dan berinformasi.





Alhamdulillah, rezeki kami, sebelum balik, kami dijemput untuk menghadiri sambutan harijadi penduduk kampung. Dapat merasa masakan kampung yang lazat dan menikmati buah dokong dan rambutan yang terbaik dari dusun. Terima kasih atas jemputan kenduri dan terima kasih kepada guide yang profesional.
-MISSION ACCOMPLISHED-

No comments:

Post a Comment