13 November, 2019

GUNUNG SINSING & GUNUNG KAINGARAN TAMBUNAN SABAH : Misi Menawan 2 puncak gunung tertinggi di Malaysia

OKTOBER 2019


Gunung Sinsing dan Gunung Kaingaran merupakan gunung terbaru yang ditemui pada tahun 2018 di Tambunan Sabah. Kedua-dua gunung ini telah mengubah dan menambah senarai 5 gunung tertinggi di Malaysia. Hutan yang masih dara dan pemandangan 'mossy' yang menakjubkan. 


Kami bertuah dan bersyukur merupakan 'team' yang ketiga berjaya sampai dan menawan sehingga ke puncak gunung Kaingaran. Ikuti pengalaman kami menempuh pelbagai kesukaran untuk menawan kedua-dua gunung sekaligus, Sinsing dan Kaingaran.





PROFIL GUNUNG

☺Nama              : Gunung Sinsing & Gunung Kaingaran
☺Lokasi             : Kampung Nupakan, Tambunan, Sabah
☺Ketinggian       : Gunung Sinsing 2,603 meter, Gunung Kaingaran 2,482 meter
☺Reputasi        : Gunung Sinsing dan Gunung Kaingaran merupakan gunung ke-3 dan ke-5 tertinggi di Malaysia.
☺Jarak dari Starting Point ke Gunung Kaingaran : +16km
☺Tempoh          : 4 hari 3 malam

☺Guide & Porter : POKITANAN Ent. :- Jack (019-8607149), Aerick (017-8198503) & Yan (017-2848610). Mereka ini adalah adik beradik dan apa yang menariknya, mereka adalah ahli dalam kumpulan yang pertama yang berjaya menemui gunung Kaingaran pada tahun 2018. Mereka adalah pembuka jalan dan pakar berkaitan selok belok hutan gunung Sinsing dan Kaingaran.

Pakej yang ditawarkan (permit, upah guide, khemah, peralatan memasak, pengangkutan 4 wheel ke starting point, penginapan 1 malam di balai raya):
1) Pakej 1 (Gunung Sinsing sahaja) - RM 380 seorang
2) Pakej 2 (Gunung Sinsing & Gunung Kaingaran) - RM 440 seorang

☺Ringkasan Aturcara
Hari pertama :
-Perjalanan menuju ke balai raya Kampung Nupakan, Tambunan (Kenderaan sendiri atau 4 Wheel)
-Bermalam di Balai raya Kampung Nupakan

Hari kedua :
- Menaiki kenderaan 4 wheel ke Starting Point
- Pendakian bermula menuju Kem Eerick Brooke
- Bermalam di Kem Aerick Brooke

Hari ketiga :
-Awal pagi pendakian ke puncak Gunung Sinsing
-Meneruskan pendakian ke Gunung Kaingaran
-Turun puncak dan menuju kembali ke Kem Aerick Brooke
-Bermalam di Kem Aerick Brooke

Hari keempat :
-Perjalanan turun ke Starting Point
-Kembali ke Balairaya Kampung Nupakan
-Bertolak pulang ke destinasi masing-masing

_____________________________________________________________________

HARI PERTAMA :
PERJALANAN KOTA KINABALU KE TAMBUNAN

Team kami ni campur-campur, ada yang datang dari Manjung Perak, Kuala Nerang Kedah, Pulau Pinang, Lawas Sarawak, Kuching Sarawak, Salut Sabah dan Kota Kinabalu Sabah. Walaupun baru mengenali tetapi kami mudah mesra.

Perjalanan saya ni letih sikit ler, naik flight dari Alor Setar pastu bermalam di KLIA. Keesokan paginya baru naik flight Airasia jam 9.30 pagi ke Kota Kinabalu. Sampai di KK waktu tengahari dah ada kawan standby untuk perjalanan seterusnya ke Pekan Tambunan.

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tambunan sejauh 75 km melalui jalanraya kawasan bukit/gunung. Kalau di Semenanjung seperti jalan bukit kat Gerik ke Jeli atau jalan highway Karak. Pening gak lalu jalan camni. Perjalanan agak panjang mengambil masa 2 jam bergantung kepada pemandu dan jumlah kenderaan. Kalau banyak lori nak potong memang lambat le sampai.

PEKAN TAMBUNAN KE BALAI RAYA KAMPUNG NUPAKAN

Tiba di pekan Tambunan. Besar gak pekan Tambunan ni.Kami solah di Masjid pekan Tambunan kemudian kami tunggu guide di Restoren Sun Flower. Jam 5.00 petang, kami pun bertolak menuju ke Balai raya Kampung Nupakan. Ada yang berkenderaan sendiri dan ada yang menumpang kenderaan 4 wheel guide. 

Bermula dengan jalanraya yang elok, kemudian melalui jalan berbukit, kemudian jalan yang sedang dinaik taraf oleh JKR, jalan yang berbatu kerikil dan tanah merah. InshaAllah lepas ni, cantik le jalan tu. Kiri kanan kawasan hutan dan boleh nampak pemandangan gunung berhampiran. Melalui kawasan kampung yang sunyi dengan rumah kediaman yang semakin sedikit. Ada juga melalui jambatan kecil dengan air sungai yang deras dibawahnya dan selepas itu terus naik bukit dengan jalan yang kurang elok.



Alhamdulillah sampai di Balai raya Kampung Nupakan. Di balai raya ini ada toilet, tempat mandi, ruangan untuk memasak dan ruangan utama untuk beristirehat. Hari pun dah gelap. Mandi-mandi sikit. Makan malam. Berkemas apa yang patut, bentangkan sleeping beg dan tidur dalam keadaan suasana yang dingin.


HARI KE-2
STARTING POINT

Subuh kat sini awal ye. 4.30 pagi dah subuh. Selepas sarapan, kami pun membuat persiapan terakhir. 2 kenderaan 4 wheel pun dah sampai. Kami pun bergegas menuju ke Starting Point mengambil masa 1 jam. Perjalanan memang melalui jalan yang kurang elok, kiri kanan jalan adalah hutan tebal. Sesekali dapat lihat pemandangan cantik deretan gunung yang berada di banjaran yang sama. Kami berhenti sebentar sebab nampak banyak durian hutan kat tepi jalan. Apa lagi, kita merasa sama-sama la durian hutan yang bersaiz tapak tangan dan isi durian yang bersaiz ibu jari. Baunya lebih kurang sama macam durian biasa cuma rasanya agak tawar.




Kami teruskan perjalanan dan sampai di Starting Point jam 9.00 pagi. Seperti biasa taklimat guide, buat senaman dan bacaan doa. Setelah semua dah bersedia, kami pun mulakan pengembaraan dengan kekuatan 10 lelaki, 1 perempuan dan 4 orang guide.

LALUAN BALAK
Pada awal jam pertama, kami melalui laluan hutan yang banyak mendatar dan kawasan semak samun. Dah boleh nampak signboard yang tertulis jarak perjalanan bagi setiap 100 meter perjalanan. Kadang-kadang tu psiko gak bila tengok signboard ni. Walaupun perjalanan mudah dan tidak mencabar tetapi ada satu cabaran yang membuatkan kami rasa rimas yang amat sangat iaitu serangan pacat bertalu-talu tanpa henti. Letak le apa-apa pun kat kaki tu, pacat kat sini tak heran, pasti akan ada yang menggigit kaki. Boleh tahan gak besar pacat.


PINTU RIMBA KE CAMP SITE AERICK BROOKE
Kami sampai di penghujung laluan balak. Ada kolam kecil kat sini. Kami berehat jap menghilangkan lelah. Tak boleh lama-lama kat sini, pacat pun dah berkejar-kejaran mencari mangsa.

Bermulalah aktiviti pendakian yang memenatkan. Laluan hutan balak yang menaik dan terus menaik, sikit sangat jalan yang mendatar. Aahhh, beg berat pulak menambahkan ketidaklaratan untuk mendaki. Berdegup laju jantung dibuatnya. Berderai-derai peluh membasahi muka dan badan. Cuma bagusnya, dah takde pacat.





Kami berhenti makan tengahari di kawasan water point. Kemudian kami meneruskan perjalanan yang semakin memeritkan dan kali ini banyak melalui kawasan permatang. Laluan pendakian masih lagi sederhana, banyak laluan berakar, belum ada yang betul-betul mencabar. Cuma melayan penat sebab laluan yang banyak menaik kemudian bayak gak trek yang menuruni permatang . Sepanjang perjalanan, desiran unggas dan siulan burung peneman dan penghilang stress sebagai hiburan dalam hutan. Lumut pun dah semakin banyak. Sesekali terasa deruan angin sejuk yang menerpa dengan begitu nyaman sekali.














Setelah lebih kurang 6 jam mendaki, kami semua tiba di Camp Site Aerick Brooke. Kem ini dinamakan Aerick bersempena nama ketua guide kami, Aerick, yang menjumpai punca air di sekitar kem ini. Difahamkan, guide juga terpaksa melakukan beberapa kali siri pendakian bagi tujuan melengkapkan kemudahan di camp site. Jangan bimbang, kat sini ada toilet. Ada paip air daripada aliran air gunung yang sangat sejuk. Khemah pun sudah disediakan oleh guide. Tinggal pasang je. Peralatan memasak pun memang dah ada disimpan di camp site ini. Semua kemudahan ini adalah hasil inisiatif  dan kepunyaan syarikat perniagaan guide sendiri untuk keselesaan pendaki.


Hujan dah mula turun. Terdengar deruan kuat tiupan angin. Suasana menjadi semakin dingin. Menggeletar gak dibuatnya. Kemungkinan suhu berubah-ubah sekitar 10 - 20 darjah celcius. Dengan tanah yang tidak rata, memang kurang selesa dan sangat sukar untuk tidur. Pejam je la mata sebab esok akan menempuh cabaran yang lebih memeritkan.

HARI KE-3
PUNCAK GUNUNG SINSING

Kami mulakan perjalanan lebih kurang jam 6.00 pagi. Trek mendaki dengan suasana berkabus dan dingin. Angin yang bertiup lembut menambahkan kesejukan pagi. Suasana hutan lumut yang sangat cantik. Dahan-dahan pokok dibaluti dan dipenuhi dengan kehijauan lumut. Pelbagai spesis periuk kera yang jarang ditemui, hanya ada di banjaran Trusmadi. Periuk kera dengan pelbagai warna seperti merah, hijau, oren dan kuning daripada sekecil-kecil jari kelingking sehingga sebesar kaki dewasa menghiasi setiap laluan. Pokok-pokok bonsai yang berdaun cantik menambahkan lagi keindahan hutan.























Setelah 2 jam, kami berjaya sampai ke puncak Gunung Sinsing. Puncak yang menyajikan pemandangan 360 darjah dikelilingi hutan pokok bonsai dann kehijauan hutan. Puncaknya tak luas. Walaupun 15 orang di atas puncak, terasa sempit dan bersesak-sesak pulak ketika mengambil gambar di papan tanda puncak gunung Sinsing. Cuaca sangat cepat berubah. Sedang asyik melihat pemandangan Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi dan gunung sekitarnya, secara tiba-tiba angin kencang membawa awan tebal menutupi segala pemandangan. Jika ada rezeki, dapat melihat sendiri pelangi di atas awan yang cukup menakjubkan.





PUNCAK GUNUNG KAINGARAN
Kami tak boleh lama sangat di atas puncak Sinsing kerana perlu meneruskan perjalanan antara 4 - 5 jam ke puncak Gunung Kaingaran pulak. Kami akui, laluan permatang menuju Kaingaran cukup mencabar. Turun naik permatang seperti tiada kesudahan. Rasanya ada 10 atau 11 puncak tipu atau mungkin lebih puncak tipu yang betul-betul menguji fizikal, mental dan emosi. Bila melalui puncak tipu, memang nampak pemandangan 360 darjah yang cukup menakjubkan. Tak mampu nak diluahkan dengan kata-kata.








Ada yang kecuraman sehingga 90 darjah dan memerlukan tali. Ada laluan permatang yang sempit, boleh nampak kecuraman gaung kiri dan kanan. Risau gak, takut jatuh terutama apabila memijak laluan akar kayu yang licin dan bila pijak terasa lembut seperti baldu. Syukur tak hujan walaupun kerap mendung,  jadi jalan pun takde la becak dan kurang licin. Pemandangan mossy pun semakin tebal. Trek pun dipenuhi kehijauan lumut menyebabkan kami perlu berhati-hati, takut terpijak lumut.


















Alhamdulillah. Jam 12.30 tengahari sampai di puncak Gunung Kaingaran. Mercu tanda puncak Kaingaran hanya ada signboard sahaja. Puncak yang tiada pemandangan. Ditutupi dengan pokok bonsai yang tebal. 

Ada gak terkeluar rasa keluhan sebab dekat 5 jam berhempas pulas untuk sampai tetapi tiada pemandangan. Apa-apa pun kita sebagai pendaki yang faham, bukan puncak yang dikejar tetapi bila dapat hayati pemandangan hebat ciptaan Allah sepanjang perjalanan, itu pun dah rasa kepuasan yang amat sangat.

Selepas makan tengahari, jam 1.30 tengahari, kami pun turun dari puncak Kaingaran menggunakan laluan yang sama. Turun naik permatang dan puncak tipu yang meletihkan dan memeritkan. Tiada water point sepanjang perjalanan, kalau kurang bawa air, boleh hidrat dibuatnya. Disebabkan tenaga pun makin kurang, kaki pun dah terasa sakit, perjalanan turun agak slow. Team yang laju, sempat gak sampai di puncak Sinsing sebelum maghrib. Saya dan kawan-kawan yang agak slow terpaksa bermaghrib dulu di trek, tak sempat sampai ke puncak Sinsing.

Tiba-tiba hujan lebat turun. Trek pun semakin licin dan becak. Ditambah lagi dengan kesejukan malam. Cahaya lampu yang samar-samar. Tak tau la, dah berapa kali terjatuh akibat trek licin. Bila dah sampai puncak Sinsing, rasa lega sikit sebab lepas ni trek banyak menurun dan ambil masa 1 jam ke 1 jam 30 minit untuk sampai ke camp site. Air pun dah habis, menahan kehausan.

Seawal jam 8.00 malam, kami pun sampai di Kem Aerick Brooke. Group terakhir jam 10.00 malam baru sampai disebabkan kaki injured. Alhamdulillah makanan pun dah siap dan bersihkan diri yang dipenuhi selut. Hujan masih turun. Malam ni lain macam sejuknya. Badan pun dah menggeletar. Dentuman guruh dan deruan angin kuat menyebabkan ada rasa kegusaran.Cepat-cepat masuk khemah dan tidur walaupun khemah dah mula basah.

HARI KE-4
Selepas kemaskan apa-apa yang patut, sekitar 10.00 pagi, kami memulakan perjalanan turun. Kali ini trek banyak menurun dan pace pun agak laju.Tiba di Pintu Rimba jam 1.00 tengahari. Selepas makan tengahari, kami meneruskan langkah melalui laluan balak. 

Ouhhhh....serangan pacat menggila kembali ditambah dengan turunnya hujan. Alhamdulillah, kami tiba di starting point jam 3.00 petang. 4 wheel pun dah sampai, kami teruskan perjalanan semula ke balai raya. Bila dah naik 4 wheel ni, terpancar riak wajah masing-masing rasa syukur dan kepuasan yang amat sangat kerana berjaya menawan 2 gunung tertinggi di Malaysia sekaligus.

Jumpa lagi pengembaraan seterusnya
Mission Accomplished

6 comments:

  1. When ate your next SinSing/Kaingaran hikes in 2020 & how much is the costs?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Actually i follow other group. If you want to ask anything, i give you the guide's phone number : Jack - 019-8607149 or Aerick - 017-8198503

      Delete
  2. wowww. best sangat dan rasa nak follow trip SinSing Kaingaran. tapi bila fikir bab pacat ni macam menung kejap. hehe

    ReplyDelete
  3. Beautiful pictures and nice write up

    ReplyDelete