13 January, 2020

KELIP-KELIP KAMPUNG KUANTAN & KAMPUNG BUKIT BELIMBING KUALA SELANGOR : Satu malam bertemankan kerlipan cahaya kelip-kelip

JANUARI 2020



Ada beberapa blog popular di dunia mengatakan lokasi terbaik untuk melihat kelip-kelip di dunia selain di India, Jepun dan Amerika ialah di Kampung Kuantan dan Kampung Bukit Belimbing Kuala Selangor, Selangor. 

Jom, ikuti pengalaman saya menaiki sampan dan bot menempuh kegelapan malam menyusuri Sungai Selangor di dua lokasi sekaligus, hanya satu malam sahaja melihat sendiri keajaiban alam iaitu di Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan Firefly Park Resort Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, Darul Ehsan.


Kelip-kelip yang berukuran 6 mm panjang adalah serangga dari kumpulan kumbang spesis 'Pteroptyx tener' yang banyak terdapat di Kampung Kuantan. Kelip-kelip mengeluarkan cahaya pada ekornya dimana kerlipan cahaya yang dipancarkan adalah serentak pada setiap masa iaitu pada kadar 3 kerlipan sesaat. Apabila gabungan ribuan dan mungkin jutaan kerlipan cahaya kelip-kelip ini akan  menghasilkan gabungan cahaya yang menakjubkan seperti satu rentak yang sistematik. 

Cahaya Kelip-Kelip jantan lebih terang berbanding betina bagi tujuan menarik perhatian Kelip - Kelip betina. Jangka hayat kelip-kelip hanya antara 2 hingga 3 bulan sahaja. Kelip-Kelip sangat suka mengerumuni pokok Berembang iaitu sejenis pokok bakau yang hidup dalam persekitaran lembap dan berpaya yang banyak tumbuh di tebing Sungai Selangor bagi tujuan sumber makanan Kelip-Kelip.

KELIP-KELIP KAMPUNG KUANTAN, KUALA SELANGOR

Kampung Kuantan merupakan salah sebuah kampung di Kuala Selangor yang terkenal dengan tanaman kelapa sawit. Perjalanan dari Kuala Lumpur sejauh 56 km dan 9 km dari Kuala Selangor. Kalau dari Shah Alam mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Walaupun kampung kecil, namun terdapat misteri kejaiban alam yang semakin terkenal di dunia iaitu Kelip-Kelip yang diuruskan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor. Saya kongsikan butiran di bawah sebagai panduan ye :
  • Waktu Operasi : 7.30 malam - 10.30 malam. 
  • Kemudahan di sini : Kaunter tiket, Pusat Informasi, jeti, tandas, gerai jualan cenderahati, parking kereta yang luas, masjid berdekatan, taman permainan kanak-kanak dan ruangan pameran.
  • Bayaran sampan : Satu sampan RM 50 dengan maksimum boleh duduk 4 orang
  • Tempoh menaiki sampan : Antara 20 - 30 minit pergi dan balik
Lokasinya di berhampiran jalan besar. Masuk pintu pagar utama dan parking kereta secara percuma. Kemudian terus pergi beli tiket di kaunter tiket yang berdekatan dengan parking. Kemudian jalan sikit menuju jeti. Ada staf yang akan melayan kita dan menyediakan jaket keselamatan. 

Ramai juga pelancong asing yang datang. Jangan bimbang, sampan banyak, lebih 20 sampan disediakan untuk memenuhi keperluan pengunjung. Syukur, cuaca baik dan sungai pun tenang. Kami pun menaiki sampan ditemani petugas yang mendayung sampan dengan tenang. Di sini, masih menggunakan sampan kerana untuk mengelakkan pencemaran minyak, asap dan bunyi enjin bagi tujuan menjaga habitat kelip-kelip dan untuk merasai kesunyian dan ketenangan apabila berdamping dengan alam semulajadi.

Suasana memang gelap, sunyi dan menakutkan terutama kepada kanak-kanak. Hanya kedengaran bunyi dayungan sampan, arus sungai yang sedikit laju, desiran unggas dan bertemankan cahaya bulan dan bintang.Risau gak bila tengok batang-batang kayu yang hanyut di bawa arus disangka buaya je. 

Rasa takut mula hilang apabila kami melihat keindahan jutaan cahaya Kelip-Kelip yang berkelip-kelip dan cahaya yang berterbangan mengelilingi pokok Berembang. Petugas mula memecahkan kesunyian dengan memberi penerangan berkaitan kelip-kelip dan cuba sedaya upaya merapatkan sampan dengan pokok Berembang supaya kami boleh melihat secara dekat. 

Moment yang paling menakjubkan apabila kelip-kelip hinggap di baju dan tangan kita. Masa ni, memang nampak keterujaan anak-anak bila dapat menyentuh sendiri kelip-kelip yang sedang mengeluarkan cahaya. Memang sangat sukar untuk mengambil gambar Kelip-Kelip yang terbaik. 

Air pun mula pasang dan arus sungai pun semakin deras menyebabkan kami menamatkan ekspedisi menyaksikan kerlipan kelip-kelip yang dianggap salah satu keajaiban alam semulajadi.

 
 
 
 
 


FIREFLY PARK RESORT, BUKIT BELIMBING

Dari Kampung Kuantan, kami menuju ke satu lagi lokasi Kelip-Kelip di Kuala selangor iaitu Kampung Bukit Belimbing. Lebih kurang 20 minit perjalanan.
  • Kemudahan : Swimmping pool, chalet (RM 150 - 170) , cabin (RM 50 - 60), gerai cenderahati, tandas, parking, jeti, pusat informasi dan kaunter tiket.
  • Bayaran seorang : Dewasa RM 16 dan kanak-kanak RM 9
  • Masa : 7.00 petang - 10.30 malam
  • Hubungi Firefly Park Resort : 03-32601208 / 019-3502876 / 011-28337394
Selepas mendapatkan tiket, kami berjalan menuju ke jeti. Kami melalui tepi-tepi chalet dan kolam renang yang luas. Siap boleh main water ball dan bot kat kolam ni 5. Selepas memakai jaket keselamatan, kami pun menaiki bot persiaran yang boleh memuatkan sekitar 10 orang.

Kalau di Kampung Kuantan, kami menaiki sampan tetapi di di sini kami menaiki bot fiber yang lebih luas dan selesa. Dengan bunyi enjin yang minima, bot bergerak perlahan menyusuri kegelapan Sungai Selangor yang luas dan sedikit deras. Rasa tenang bila angin sungai mula bertiup ke arah kami.  Patut pun guna bot sebab sungai yang agak lebar berbanding Kampung Kuantan. 

Kayu-kayu dan rumput-rumput liar pun banyak yang hanyut dibawa arus. Kadang-kadang terdengar bunyi guruh dan pancaran petir nun jauh di sana. Cahaya bulan sedikit menerangi ekspedisi kami.

Bot menyusuri berhampiran dengan tebing sungai untuk melihat jutaan kerlipan cahaya kelip-kelip yang mengelilingi pokok-pokok Berembang. Memang sangat indah dan menakjubkan. Sekitar 30 - 40 minit, kami pun menamatkan ekspedisi.

 
 

4 comments:

  1. Kelip kelip kg.Kuantan best

    ReplyDelete
  2. hi,ada number talipon kg kuantan tak? tak dapat cari dalam web pulak.

    ReplyDelete