21 May, 2014

ACHEH INDONESIA : Menziarahi Mangsa Gempa Bumi 2013 & Menginsafi Tsunami 2004...

KLIA 2. Luas..Pergi ruangan menunggu pun kena jalan 30 minit
14 Mei 2014, jam 12.55 petang dari KLIA 2, kami seramai 22 orang pelajar dan pensyarah Kolej MARA Kuala Nerang Kedah berlepas ke Aceh yang mengambil masa hampir 2 jam perjalanan. Kami ke Aceh bukan sekadar lawatan tetapi diselitkan dengan ziarah khidmat masyarakat & menyampaikan bantuan wang & pakaian kepada mangsa gempa bumi 2013.


Sebenarnya banyak cerita istimewa tentang Aceh yang menarik minat saya:

1) Aceh adalah pusat penyebaran Islam Asia Tenggara sejak abad ke-14 lagi. Kalau ikut sejarah, Kedah dan Pulau Pinang di bawah jajahan Aceh dan kemudian terpaksa dilepaskan kepada Inggeris pada abad 18.
2) Aceh ni pernah dijajah oleh Portugis, Belanda dan Jepun tetapi dalam keadaan yang sangat sukar untuk dijajah kerana orang Aceh cukup kuat melawan dan sukar untuk menyerah kalah sehinggakan 4 Jeneral Belanda dan lebih kurang 10,000 tentera Belanda berjaya ditumpaskan.Satu-satunya wilayah Indonesia yang Belanda mengaku gagal untuk direbut.
3) Setelah Belanda dan Jepun keluar dari Aceh, wujud pula Gerakan Aceh Merdeka sebagai penentangan ke atas ketidakadilan ekonomi Jakarta dan pemerintahan Jakarta yang tidak berpaksikan Islam. Orang Aceh cukup marah kerana Aceh menyumbang sehingga 14% hasil bumi kepada Jakarta tetapi Jakarta hanya memberi 1% sahaja kepada pembangunan Aceh. Akhirnya persetujuan perdamaian telah termetrai pada tahun 2005 dan seterusnya menamatkan konflik 30 tahun. Jakarta memberikan kuasa Autonomi dan tertegaklah Undang-Undang Islam di Aceh.
4) Bencana Tsunami yang cukup mengemosikan seluruh dunia yang telah mengorbankan sekitar 170,000 orang.

PERJALANAN KE TAKENGON

Selesai urusan imigresen, makan dan solah Jamak di Lapangan Terbang Banda Aceh, jam 3.00 petang (masa di Aceh awal sejam berbanding Malaysia) kami pun bertolak ke Takengon menggunakan kenderaan MPV 2 buah Innova, sebuah Suzuki dan sebuah Ford yang mengambil masa 8 jam perjalanan. Kami berhenti makan mee tumis di daerah Sigli. Sepanjang perjalanan, kami melalui perjalanan yang cukup mencabar, memenatkan, memeningkan, meloyakan & menyakitkan seluruh badan. Panorama dan keindahan semulajadi di kiri kanan jalan cukup indah dan mempersonakan. Kami melalui jalan berbukit yang penuh dengan kehijauan hutan, sawah padi yang menguning, hutan pokok ru, kebun-kebun kopi, kelapa & kelapa sawit, pesisiran pantai, pekan-pekan yang padat dan tasik yang cukup luas. Ada ketikanya kami melalui jalan berpusing-pusing di lereng bukit & gunung, jalan yang rosak dan jalan yang sesak dengan motorsikal, lori, MPV, bas dan 'labi-labi'(teksi Aceh). Pemandu kami sangat cekap tapi kadang-kadang bahaya gak bila memotong. Tiba-tiba 2 kereta Innova ada masalah tayar pulak yang sedikit melambatkan perjalanan.

Lapangan Terbang Banda Aceh :



Makan mee tumis di Sigli:

DATARAN TINGGI GAYO, TAKENGON, ACEH TENGAH.

Kami tiba di Hotel Mahara Takengon sekitar jam 11.00 malam. Turun je dari kereta, Ya Allah sejuknya... sekitar 16 darjah celcius. Rupa-rupanya kami dah sampai di kawasan bandar beriklim sejuk dengan ketinggian 1200 meter dari aras laut yang dipagari oleh gunung-gunung banjaran yang ditubuhi hutan-hutan ru dan pokok-pokok renek beriklim sejuk.Sewa hotelnya pun RM 60 semalam tanpa aircond dan ada sarapan.

Sekitar Hotel Mahara :



Sarapan di Hotel Mahara:

Pemandangan Kota Takengon pada waktu pagi dari tingkat atas Hotel :





DANAU LAUT TAWAR

Keistimewaan Takengon ialah mempunyai tasik yang cukup luas dengan 17 km panjang dan 3,219 km lebar yang menjadi survival penduduk Takengon. Uniknya di tasik semulajadi ini, terdapat spesis ikan yang diberi nama ikan depik yang hanya hidup di tasik ini sahaja. Tempat lain takde. Pemandangannya, Subhanallah...cantik betul la...dengan udara yang nyaman, membuatkan kami semakin tergoda untuk tinggal lebih lama.
Pemandangan sekitar Danau Laut Tawar :







PERJALANAN MENUJU KAMPUNG CHANDURI, TAKENGON
Selesai menikmati pemandangan di Danau Laut Tawar, kami pun meneruskan misi menghantar bantuan ke Kampung Chanduri yang mengambil masa perjalanan 1 jam. Di sini, perjalanannya lagi..lagi..lagi mencabar. Jalan banyak yang rosak, jalan berbatu, ada jalan yang tidak bertar dan kami melalui 90% jalan di lereng-lereng  gunung. Namun begitu, pemandangannya ya Allah hebatnya....cantik-cantik sangat sehingga terlupa jalan yang teruk tu. Pokok kopi, tebu dan sayur-sayuran pun banyak ditanam di tepi-tepi jalan.Pengalaman yang cukup hebat yang tidak semua orang mampu pergi ke tempat ni. Syukur, Allah memilih kami...








MISI BANTUAN MANGSA GEMPA BUMI KAMPUNG CHANDURI

Akhirnya kami tiba di Kampung Chanduri, kawasan yang terjejas teruk dengan gempa bumi dengan kekuatan 6.1 pada Julai 2013. Hampir 100% rumah di kampung ini roboh. Semasa kami sampai di sini, kesan gempa bumi dah tak nampak sangat sebab banyak rumah yang telah dibina semula.Mengikut laporan, diseluruh kawasan gempa bumi 2013 ini mengorbankan 39 orang, mencederakan hampir 400 orang dan lebih 3,000 rumah hancur. Kami menghantar pakaian seperti baju kurung dan kain pelikat selain bantuan wang bagi tujuan membina masjid yang masih belum disiapkan. Syukur, walaupun perjalanan yang sangat mencabar tetapi kami terlupa semua itu apabila dapat menyampaikan sedikit bantuan kepada mangsa. Hati rasa tenang, damai dan cukup insaf.Walaupun Malaysia tidak terkena musibah seperti itu tetapi Allah nak kita ambil iktibar dan menginsafi kebesaran Allah. Pengalaman yang cukup hebat.
 




Majlis penyerahan bantuan.Wakil kampung tersebut cukup terharu sehingga menitis air mata kerana masih ada saudara seIslam yang sanggup datang dari jauh dengan melalui perjalanan yang cukup mencabar hanya semata-mata untuk menghantar bantuan kepada penduduk kampung.




Setelah sejam di Kampung Chanduri, kami pun pulang ke Banda Aceh. Berhenti sekejap kat Takengon, beli buah tempatan. Bukan senang nak tengok buah Avokado ni...

BANDA ACEH
Setelah perjalanan hampir 9 jam dari Takengon, kami pun sampai ke Grand Aceh hotel dengan harga RM 50 semalam termasuk sarapan. Hotel 3 bintang ni, jangan la harap kemudahan lengkap ye..yang penting kami dapat tidur selesa.



PUSING-PUSING SEKITAR BANDA ACEH
Banda Aceh merupakan ibu kota Aceh. Memang boleh tahan tempat ni, semakin membangun. Rasanya dalam tempoh 10 tahun, makin ramai orang Malaysia melancong tempat ni menggantikan Medan. Semasa Tsunami 26 Disember 2004 yang berukuran 9.2 skala richter, 60% bangunan dan penempatan di Banda Aceh ini musnah. Masa kami datang, dah tak nampak kesannya, semuanya dah membangun dengan pesat.Aceh mengamalkan undang-undang Islam. Sepanjang perjalanan, jarang sangat tengok perempuan tidak menutup aurat sebab di sini menutup aurat dan berpakaian sopan adalah wajib. Kehidupan dan wajah orang Aceh pun lebih kurang macam orang Malaysia. Rasa selamat la bila berkunjung di sini.


Dalam gambar ni asalnya daratan tetapi bila tsunami sudah menjadi lautan







Gambar di atas adalah kawasan penempatan tsunami yang masih tiada rumah sendiri

MUSEUM TSUNAMI ACEH
Muzium ini memang dibina khusus untuk memperingati kematian, kemusnahan, kehancuran, kesedihan dan ketabahan semasa Tsunami tahun 2004.Arkiteknya dari orang Indonesia dan dibiayai oleh banyak negara.Selain bertujuan sebagai simbolik, muzium ini juga akan dijadikan sebagai tempat perlindungan jika berlaku tsunami lagi kerana strukturnya dibina cukup kuat untuk mengelak gempa bumi.


Gambar di bawah: LORONG GELAP yang perlu dilalui dengan dinding yang dihujani air bagi mengembalikan nostalgia tsunami. Dalam lorong ini juga ditulis ribuan nama yang terkorban. Cukup emosi...

Gambar : Kita akan menyaksikan rangkuman gambar-gambar tsunami dari komputer yang disediakan.


Gambar : Struktur bangunan yang cukup menarik dengan bumbung yang dilekatkan semua bendera negara-negara yang membantu semasa kejadian tsunami.

Gambar : Menyaksikan dokumentari selama 15 minit kisah Tsunami yang cukup menyedihkan dan cukup menginsafkan.


Gambar : Ruangan Pameran disediakan dengan paparan gambar sebelum Tsunami, Semasa Tsunami dan selepas Tsunami. Bagi saya cukup emosi tengok semua gambar-gambar ni.

Ini lah gambar yang paling menyentuh perasaan saya


MASJID RAHMATULLAH
Masjid Rahmatullah ini telah dibina semula dengan bantuan kerajaan Turki. Lokasinya berhampiran pantai dan semasa Tsunami segala rumah, bangunan, pokok-pokok dan hidupan musnah dan mati kecuali masjid ini. Walaupun banyak kerosakan tetapi strukturnya masih teguh.
Objek di tengah-tengah adalah Masjid Rahmatullah semasa Tsunami


Gambar di bawah: di penjuru masjid, masih ada tiang yang sengaja dikekalkan seperti asal Tsunami sebagai iktibar dan pengajaran orang yang masih hidup. Bayangkan, ketinggian ombak Tsunami sehingga mencecah syiling bumbung masjid.Kami berkesempatan bertanya khabar bilal masjid ini yang kehilangan isteri dan anak-anak semasa Tsunami.
 Gambar di bawah: Pemandangan dari menara masjid
Gambar di bawah : Singgah sebentar di GERAI KUIH ACEH. Beli la kuih sikit-sikit, merasa makanan buatan Aceh.
Gambar di bawah : SOLAH JUMAAT di salah sebuah masjid di Aceh. Menariknya, khatib membaca kutbah secara spontan dan bersahaja dengan mengajak untuk mengingati Allah. Nampak jemaah pun bersemangat dan tidak tidur. Kalau di Malaysia, Khatib suka baca teks dan nada pidatonya sama je satu Malaysia sehingga ramai jemaah yang tertidur.
Gambar di bawah : Kami makan tengahari di Darul Tahfis Anak Yatim Sri Al'ain Aceh. Hari ini, makan tengahari dan makan malam kami taja. Seronok anak-anak yatim dapat makan sedap harini. Kami juga memberi sumbangan wang kepada Darul Tahfis dan anak-anak yatim yang berjumlah sekitar 60 orang.
Gambar di bawah: Bergambar bersama sebahagian anak-anak yatim dan yatim piatu.

KAPAL PLTD APUNG 1 YANG TERAPUNG DI KAMPUNG PUNGE BLANG CUT , BANDA ACEH.
Semasa Tsunami, kapal laut dari Batam ini dengan berat 2,600 tan yang membawa minyak disel telah hanyut sejauh 5 kilometer dari laut menunjukkan betapa dasyatnya kejadian Tsunami. Dikhabarkan oleh supir, semasa kejadian, puluhan anak kapal telah terjun ke laut apabila melihat gelombang yang sangat besar kecuali seorang anak kapal yang sedang tidur. Akhirnya, anak kapal yang terjun telah terkorban dan anak kapal yang sedang tidur telah terselamat.

KAPAL KAYU YANG TERDAMPAR DI KAMPUNG LAMPULO KECAMATAN KUTA ALAM
Sebelum Tsunami,  kapal kayu seberat 20 tan dengan panjang 25 meter dan lebar 5.5 meter sedang dibaiki dan mengikut perancangan akan diturunkan ke sungai pada 26 Disember 2004. Namun kuasa Allah, pada hari tersebut berlaku Tsunami yang menyebabkan kapal ini hanyut di atas rumah Pak Misbah / Ibu Abasiah sejauh 1 km. Dengan izin Allah, disebabkan kapal ini, 59 orang telah berjaya diselamatkan di atas kapal.Dikhabarkan setelah air surut, orang ramai gempar kerana ada seekor buaya yang sangat besar berada di bawah kapal tersebut.


MEMBELI BELAH DI SEKITAR PASAR ATJEH, BANDA ACEH
Dulu kawasan ini, teruk dilanda tsunami.Sekarang, dah banyak bangunan-bangunan perniagaan termasuk pusat membeli belah yang baru dibuka.Apa yang menarik, lebih 90% usahawan, peniaga dan penjaja terdiri daripada orang Islam. Rasanya, pada masa akan datang tempat ni bakal jadi 'port' rakyat Malaysia shopping le jawabnya.

MASJID RAYA BAITURRAHMAN

Di Aceh ni, memang banyak masjid didirikan. Setiap kampung pasti akan ada masjid yang dibina oleh penduduk kampung sendiri. Kadang-kadang tu, dalam jarak 1 km dah nampak masjid. Maksudnya, suasana Islam cukup terasa di Aceh. Kalau tiba masuk waktu, memang akan terdengar azan bersahut-sahutan di merata tempat di bumi Aceh ni.

Masjid Baiturrahman merupakan masjid utama dan terbesar di Aceh yang mempunyai 7 kubah dan boleh memuatkan 30,000 orang. Pernah dibakar semasa perang dengan Belanda dan selepas itu di bina semula.Semasa Tsunami, masjid ini terselamat dari musibah. Masjid ini memang hidup.Pada waktu siang, banyak kelas-kelas agama diadakan secara terbuka terutama untuk kanak-kanak. Saya berkesempatan bersolah jemaah maghrib, jemaah memang ramai termasuk jemaah muslimat. Ada aura la solah di sini. Selain jemaah yang bersolah, masjid ini juga sebagai tempat berkumpul segala aktiviti kekeluargaan dan riadah, pengemis pun ramai. Meriah setiap masa.


UNIVERSITAS SYIAH KUALA ACEH

Ini bukan syiah ye...Nama Syiah Kuala diambil dari ulama nusantara yang terkemuka pada abad ke-16. Universiti ini ditubuhkan pada tahun 1960 dan terbesar di Aceh yang menawarkan pelbagai bidang Sains, Sains Sosial, Perubatan dan Pendidikan.

KUBURAN MASSAL TSUNAMI 2004

Di makam tanpa batu nisan ini bersemadi 46,718 jiwa yang terkorban akibat Tsunami. Dikatakan, jenazah diangkut, ditolak dan ditimbus menggunakan jentolak dengan tiga lapisan mayat. Kita sedekahkan al-Fatihah, semoga roh-roh mendapat rahmat daripada Allah.Sunyi dan rasa terbayang-bayang kejadian tersebut.

INI ADALAH DESTINASI TERAKHIR. Terasa haus, kami pun singgah minum air kelapa dan makan rojak Aceh betul-betul sebelah Lapangan Terbang Banda Aceh. Syok la, sambil minum air kelapa segar, boleh tengok kapal terbang 'landing'

17 Mei 2014. Maka, selesai sudah misi khidmat masyarakat dan lawatan kami. Tak tau nak cakap apa.Memang pengalaman yang cukup hebat. Bak kata ustaz Abdullah yang menguruskan perjalanan kami di Aceh, "Allah memberi musibah bukan saja untuk mangsa tetapi juga kepada orang hidup agar menginsafi segala dosa dan mengingati kebesaran Allah. Mudah-mudahan musafir ini diberi ganjaran yang besar di sisi Allah"

8 comments:

  1. Waduh2. Bagusss bangattt ceritanya.

    ReplyDelete
  2. salam kenal….seronok baca pengalaman jalan2 saudara

    ReplyDelete
  3. ASSALAMUALAIKUM ENCIK HAZZRIN...

    SAYA MOHON KEIZINAN DARIPADA ENCIK UNTUK BEBERAPA BUTIRAN MAKLUMAT SPT KOS..PENGANKUTAN..DAN NO. TEL ORANG TEMPATAN ACHEH YANG ENCIK KENAL UNTUK KEMUDAHAN SAYA KESANA NANTI...
    BOLEH WH/AP : 016 978 0891
    EMAIL : meccaou@gmail.com
    DIHARAP ENCIK SUDI BERKONGSI DENGAN SAYA.
    WAN MAHANI.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum...wr...wb...Tuan/Puan Perkenalkan kami Bogalakon Tour sebuah Company yang memberikan perkhidmatan tour groud handing di beberapa tempat favorit lawatan.
    Insyallah,driver & tour guide kami santun,jujur dan mesra yang selalu akan bawa anda ke tempat kawasan favorit Bandung,Jakarta,Bogor.
    Bagi Tuan/puan yang hendak bercuti ke Bandung,Jakarta,Bogor city Tour dan memerlukan kereta untuk transportasi semasa di Bandung,Jakarta dan Bogor,boleh hub kami:
    Pin BB : 265577D0
    Call : +6285722 692 692
    WhatsApp : +6281220 375 375
    Facebook: Dicky Bogalakon{dicky.bogalakon@facebook.com
    Email: bogalakontour@gmail.com
    Insyaallah dijamin kami bagi harga yang sangat berbaloi & service yang terbaik.
    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Apa bila Tuan/Puan ingin melawat bersama family atau rakan-rakan kat Padang - Bukittinggi dan memerlukan kenderaan jangan risau hati, KITA HOLIDAYS INDONESIA menyediakan PAKET TOUR dan PENGKHIDMATAN KENDERAAN dengan harga yang sangat berpatutan, dan dengan driver yang mesra, educated, baik hati,sopan dan sudah lama berpengalaman dalam memberikan pelayanan pada pelancong dari Malaysia. Menjadikan lawatan Tuan/Puan sangat berbaloi dan bermakna.

    Contact person :
    RIKO ADRYANSYAH

    Mobile : +62 813 6565 4104 ( WhatsApp )
    E_mail : riko_kitaholidays@yahoo.com

    Wassalam

    ReplyDelete
  6. Thanks for sharing your adventures in Aceh


    ReplyDelete