07 February, 2019

GUNUNG ULU SEPAT : Jangan Lupa Bergambar di Hutan Lumut yang Sangat Indah...

Februari 2019



Bagi tahun 2019 ni, kami merupakan kumpulan pertama masuk Gunung Ulu Sepat setelah ditutup 3 bulan disebabkan musim tengkujuh. Trek dan mossy pun cantik lagi.

↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠↠
Lokasi : Banjaran Titiwangsa, Sempadan Perak dan Kelantan.       
Ketinggian : 2,161 meter / 7,089 kaki. 
Reputasi : G7 dan gunung ke-7 tertinggi di Semenanjung Malaysia dan ke-12 tertinggi di Malaysia.

Perjalanan : Menaiki 4 wheel dari Kampung Lasah selama 3 jam untuk sampai ke starting point di Kampung Lerlar. Dari Kampung ini, jungle tracking lebih kurang 4 jam untuk sampai ke Kem Lanweng. Perjalanan dengan trek yang santai dan tidak mencabar. Biasanya pendaki akan bermalam di kem ini. Keesokan harinya, mendaki selama lebih kurang 5 jam untuk sampai ke puncak Gunung Ulu Sepat. Trek yang jelas, tidak terlalu teknikal, namun, bermula sahaja perjalanan, trek menaik dan terus menaik.

Jenis Hutan : Hutan balak, hutan buluh, hutan pokok renek, hutan 'mossy'.
Suhu : Sederhana, tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas, agak sejuk bila berada di puncak.

Team : Hiking & Adventure Club, Kolej MARA Kuala Nerang.
Kekuatan : 15 orang [ 5 perempuan & 10 lelaki].
Pakej : 3 hari 2 Malam dengan bayaran RM 260 [Upah guide, pengangkutan 4 wheel, makan di dalam hutan, permit dan tempat tidur]. Guide : Tawau - 011-11874932
↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞↞

PENGALAMAN PENDAKIAN

Kami bukan guide, kami bukan atlit dan stamina kami biasa-biasa sahaja. So, pengalaman ini berdasarkan pace kami seperti orang biasa-biasa je.

PERGI : Jam 5.00 petang dari Alor Setar melalui highway dan keluar di susur keluar Kuala Kangsar. Jarak dari Kuala Kangsar ke Masjid Bawong, Kampung Lasah ialah sekitar 55 km. Kami melalui pekan Kuala Kangsar, pekan Sungai Siput, Kampung Perlop, kawasan ladang kelapa sawit, Jirat Cina dan akhirnya sampai di Masjid Bawong, Kampung Lasah.

BERMALAM : Perjalanan malam melalui ladang kelapa sawit dan kurang penempatan menyebabkan perjalanan rasa sunyi dan agak menakutkan. Sampai di Masjid Bawong jam 11.00 malam. Kat depan masjid ni ada sekolah yang besar iaitu SMK Bawong. Masjid ni bersih dan kemudahan pun lengkap. Kami pun beriktikaf dan berehat kat masjid ni. Bila dah guna kemudahan masjid, jangan lupa sedekah dan masukkan duit kat tabung masjid ye.

PAGI DI MASJID BAWONG : 2 buah 4 wheel pun dah sampai. Dengar kata dekat RM 500 gak sehala untuk perjalanan satu 4 wheel. Guide pun dah ada, apa lagi kami pun berkemas dan meletakkan semua beg dan peralatan di dalam powil. Kereta boleh je parking kat masjid. 8.15 pagi, kami pun mulakan perjalanan dan singgah dulu di kedai makan, kita sarapan dulu. Jangan lupa beli bungkus nasi untuk makan tengahari. Jam 9.15 pagi, kami pun mulakan perjalanan kembali.



Awal-awal lagi dah masuk ladang kelapa sawit, melalui jalan tar yang rosak teruk, berdebu dan cuaca yang panas. Banyak gak kampung orang asli ni, rasanya kami melewati lebih daripada 5 kampung yang agak moden. Ehhh, tiba-tiba masuk jalan tar yang baru berturap, lega, dah tak bergegar lagi otak buat sementara waktu. Melalui jalan bukit yang berpusing-pusing menyebabkan rasa nak muntah pulak.
Jam 10.15 pagi, powil berhenti di Kampung Teras. Berehat jap dan buang apa-apa yang patut. Jam 10.45 pagi, kami meneruskan perjalanan dan bermula la masuk hutan. Dah takde jalan tar, cuma jalan tanah merah yang berlubang, tidak rata, panas dan penuh berdebu. Melalui kawasan hutan dan melalui beberapa kampung orang asli sambil melambai-lambai tangan kat anak orang asli. Merentasi sungai cetek dan sekali sekala rasa redup bila berada di bawah rumpunan buluh dan pokok besar.






Jam 11.50 pagi, kami berhenti dan berehat jap di sungai. Basuh muka dulu merasai air yang dingin. Kemudian teruskan perjalanan dan sampai di kawasan perkampungan orang asli di Gerik. Wow, kampung orang asli moden ni. Kampung yang sistematik, ada sekolah, tadika, balai raya, lanskap rumah pun bersih dan cantik, penduduk pun ramai dan jalan pun dah elok sikit.








Jam 12.30 tengahari, kami pun sampai dengan selamat. Setelah mengharungi perjalanan berbukit dan jalan yang tidak selesa selama 3 jam 30 minit dengan jarak lebih 55 km, tiba di starting point Kampung Lerlar.
STARTING POINT, KAMPUNG LERLAR
Makan tengahari dulu. Pastu ambik gambar dengan anak orang asli. Kemudian dengar taklimat daripada guide dan buat senaman sikit. 

Jam 1.20 tengahari, kami pun mulakan perjalanan. Mula-mula masuk kawasan kebun getah dulu, kemudian kawasan semak samun dan merentasi sungai yang agak deras. Confirm, basah sampai lutut. Trek masih relaks, rasai ketenangan derungan sungai sepanjang perjalanan. Kemudian masuk kawasan hutan dan hutan buluh, trek diselang seli dengan naik bukit sikit-sikit dan jalan mendatar tetapi peluh tetap peluh. 

Sepanjang perjalanan memang banyak tahi gajah yang baru dan lama. Kawasan babi pun banyak. Ada lebih 7 sungai dan anak sungai yang perlu dilalui. Cuma ada 2 sungai je yang perlu direntasi paras lutut.







BEREHAT DI SUNGAI : Jam 3.30 petang. Kami berehat dan solah jamak di sini.Syok, dapat rendamkan kaki dan basuh muka dengan air yang sejuk dan jernih.

MENDAKI BUKIT : Dah selesai solah, jam 4.00 petang, kami meneruskan perjalanan. Kali ini, kami perlu menempuh laluan hutan tebal, kawasan buluh dan bukit yang menaik dan agak memenatkan. Cuma satu bukit jer untuk di lalui kemudian jalan dah mula agak mendatar dan naik sikit-sikit. Jam 5.50 petang, semua dah sampai di Kem Lenweng dengan selamat dengan masa 4 jam 30 minit.






TIDUR DI BANGLOW BULUH ORANG ASLI
Disebabkan kami kumpulan pertama sampai, so ada peluang untuk tidur kat rumah buluh, tak yah pasang fly & ground. Guide pun consult dengan penduduk orang asli dan yeayyy boleh masuk rumah. Dengar kata kena bayar RM 100 lebih kat diaorang. 

Kem Lenweng ni merupakan kawasan orang asli yang terakhir. Cuma ada 2 rumah buluh jer dan penghuninya ada 2 orang asli yang dah warga emas. Difahamkan, keluarga lain dah berpindah di kawasan penempatan baru.

Anggaran 25 orang boleh tidur dalam rumah ni dan boleh masak kat dalam rumah. Tempat unggun api pun ada disediakan. Bestnya kem ni ialah ada kawasan yang lapang, rumput tak panjang, ada 2 paip daripada punca air sungai, ada toilet koboi, ada tempat unggun api dan ada sungai berdekatan, boleh mandi puas-puas. Anjing pun takde, agas dan nyamuk pun kurang.




MALAM DI KEM LENWENG : Aktiviti penting malam ni masak dan makan ramai-ramai. Bila dah lapar, sedap atau tak sedap, semua makan dengan penuh berselera.

Malam agak sejuk. Lagi sejuk bila tiba-tiba ada angin yang menerjah kawasan kem. Kami pun hidupkan unggun api untuk panaskan badan sambil bersembang. 

Ada sesuatu yang menakjubkan di sini, ada rezeki kami, Star Gazzing, melihat berjuta bintang di langit. Menakjubkan, sekali sekala ada sinaran meteor yang melintasi langit. Sungguh...keindahan alam daripada Pencipta yang Maha Indah, Subhanallah. Ouhhh, tidur dulu berkipaskan semulajadi angin dingin dan beralaskan hamparan buluh.





PENDAKIAN KE PUNCAK : Macam biasa, sarapan dulu, kemas-kemas beg daypack, bungkus nasi, buat taklimat sikit dan senaman pagi. 
Jam 8.30 pagi, kami memulakan perjalanan dengan awal-awal lagi merentasi sungai. Masih dengar lagi deruan sungai. Lama kelamaan dah tak dengar langsung, hanya desiran serangga. Kemudian laluan terus menaik, menaik lagi dan terus-terusan menaik. Dah takde mendatar dan turun bukit. Nikmati suasana hutan balak, hutan buluh, hutan lumut (mossy) dan hutan bonsai dan renek.








Laluannya jelas, agak mudah, dan tidak terlalu teknikal. Tak banyak akar kayu besar yang menghalang jalan, banyak akar serabut dan hati-hati laluan yang agak licin. Tiada batu yang curam. Tak banyak laluan 90 darjah. Pacat pun macam takde. Kami rasa laluannya lebih mudah berbanding gunung G7 yang lain. Tetapi ada laluan tanah gambut jerlus. Nampak macam rata je, tapi bila terpijak tenggelam sampai paras lutut. Pertengahan jalan banyak gak lebah dan agas.


















MOSSY SIMPANG TIGA : 


Jam 12.30 tengahari, kami tiba di Simpang Tiga. Rehat jap dan ambik gambar sepuas-puasnya sebab di sini lah kawasan mossy yang paling cantik dan menakjubkan. 

Please, jangan terlepas peluang menikmati dan menghayati keindahan yang hebat di sini. Subhanallah.  Jalan depan sikit, ada je, view yang sangat cantik. Suasana pun dingin, sunyi dan menakutkan bila jalan sorang-sorang. Jiwa rasa tenang dan tak henti-henti mensyukuri atas segala kurniaan dan kasih sayangNya, bukti kewujudan Tuhan yang Esa. Dah puas menghayati dan ambik gambar, kami teruskan perjalanan. Tak jauh dah ni.













PUNCAK GUNUNG ULU SEPAT : Jam 1.30 tengahari. Alhamdulillah semua sampai di Puncak Gunung Ulu Sepat setelah perjalanan selama 5 jam. Jangan mengharapkan pemandangan 360 darjah. Memang tiada. Dikeliling dengan pokok-pokok renek dan bonsai. Sekejap sejuk dan sekejap panas. Kami makan tengahari dulu dan ambik gambar di puncak.



TURUN DARIPADA PUNCAK : Jam 2.30 petang, masa untuk perjalanan turun. Kali ni, turun bukit je, dah takde naik-naik. Kaki memang makin lenguh, sakit dan melecet sebab kaki asyik brek je. Pergerakan pun semakin laju. Group pertama 2 jam dah sampai kat Kem Lenweng, group kedua 2 jam 20 minit sampai dan group ketiga 3 jam sampai. Alhamdulillah semua selamat dan sampai sebelum malam. Disebabkan dah penat, aktiviti malam ni, tidur je.



  
BERGERAK TURUN DARI KEM LENWENG : Jam 10.00 pagi, kami pun memulakan perjalanan yang rileks, banyak menuruni bukit dan kadang-kadang laluan yang mendatar. Semasa dalam perjalanan, kami berselisih dengan 4 - 5 team lain yang baru naik. Meriah ler kat kem Lenweng.




SUNGAI BESAR : Pakaian dah kotor, kaki dah lenguh, cuaca pun panas dan badan pun dah sakit, apa lagi terjun sungai le. Air sejuk, best sangat. 12.30 tengahari, teruskan perjalanan semula.


POS LERLAR : Jam 1.00 tengahari sampai kat starting point. Lega...dapat selesaikan misi. Sebelum balik, kami sedekah dulu gula-gula dan cokelat kat anak-anak orang asli. Memang nampak wajah keceriaan diaorang. Kami cepat-cepat naik powil dan setelah 2 jam 15 minit, kami pun sampai kat Masjid Bawong. 


Alhamdulillah - MISI SELESAI -

5 comments:

  1. Kalau sy ada tour minat daki Gunung Sepat, sudikah kamu buat partnership ?

    ReplyDelete
  2. terima kasih tuan, info dan pegalaman yg sangat bermanfaat.

    ReplyDelete