23 January, 2020

PULAU PAYAR LANGKAWI : Lokasi Snorkeling terbaik di Kedah

JANUARI 2020

Video pengalaman kami di Pulau Payar Langkawi. Sila klik butang SUBSCRIBE ye



Pulau Payar dijaga sepenuhnya oleh Jabatan Taman Laut Malaysia malah jumlah pengunjung juga dihadkan sehari sekitar 400 - 500 orang sesuai dengan kemudahan asas yang ada di Pulau Payar. Dikhuatiri jika terlalu ramai akan memberi kesan negatif ke atas biodiversiti marin di Pulau Payar.

Pulau Payar memang popular dikalangan pelancong asing dan ada statististik lebih 70% yang berkunjung di pulau ini. Pemantauan yang ketat menyebabkan Pulau Payar dikategori sebagai mempunyai kepadatan populasi ikan paling tinggi berbanding taman laut lain dan berhati-hati sebab kawasan persinggahan migrasi Yu Paus. Memang tidak dinafikan Pulau Payar mempunyai keindahan dan kecantikan jutaan ikan pelbagai spesis yang berwarna-warni, batu karang yang menakjubkan dan kehijauan hutan yang mempersonakan.

Kami pergi semasa musim tengkujuh, risau gak awal-awal tu tetapi agen cuba meyakinkan kami bahawa di Langkawi ni tiada istilah musim tengkujuh. Sebaiknya kena booking awal untuk elak daripada full. Butiran Pakej kami :

  • Harga Pakej : RM 150 seorang
  • Bayar deposit RM 40 dulu untuk booking feri kemudian baki, di bayar semasa hari kejadian
  • Pakej termasuk : Tiket feri pergi dan balik dari Jeti Kuah Langkawi ke Pulau Payar, set makan tengahari bungkus, set snorkeling, jaket keselamatan, trainer, kenderaan menjemput anda di hotel masing-masing dan balik ke hotel pun akan dihantar.
  • No. telefon agen : 017-6493077 (Irwan bin Ozid)
  • Jadual Aktiviti :

8.00 pagi - Bas akan ambil kita di hotel masing-masing

9.00 pagi - Berkumpul di Jeti Kuah. Urusan pembayaran, pendaftaran, tag dan kupon makan
9.30 pagi - Bertolak menaiki feri 
10.30 pagi - Tiba di Pulau Payar, taklimat trainer dan aktiviti bebas
12.00 tgh - Makan tengahari
3.00 petang - Bertolak pulang, menaiki feri
4.00 petang - Tiba di Jeti Kuah
4.30 petang - Bas akan menghantar anda ke hotel masing-masing.

Terima whatsap daripada agen supaya standby di hotel jam 7.30 pagi, nanti bas persiaran akan datang ambil depan hotel. Kalau nak naik kenderaan sendiri pun boleh menuju ke Jeti Kuah. Nanti agen akan attach nombor telefon orang yang incharge dan driver bas yang akan ambil kita.

Driver bas call kami, bas dah sampai. Ouhhh...ramai rupanya dalam bas ni, pelancong daripada hotel lain. Sampai di Jeti Kuah, kami dibawa ke kaunter tiket Pulau Payar. Kami settle dulu baki bayaran kemudian diberi tag dipasang di pergelangan tangan dan kupon makan tengahari. Kami dibawa oleh staf menuju tempat menunggu feri dan scan dulu tag Pulau Payar yang diberi tadi. Feri pun dah ready, kami pun terus masuk, wow ramai orang dah ada kat dalam feri ni. Kami diberi jaket keselamatan untuk digunakan di Pulau Payar nanti.


Lebih kurang 1 jam gak melambung-lambung dalam feri ni, menyaksikan lautan yang biru dan pulau-pulau kecil di sekeliling. Feri berhenti tidak berjauhan dari pulau. Menunggu bot kedua untuk membawa kami ke pelantar terapung. Kena berjalan di atas pelantar terapung lebih kurang 50 meter sebelum sampai ke pantai. Haiiii...bila tengok ikan-ikan berwarna-warni yang berenang jinak kat tepi pelantar ni menyebabkan kami dah tak sabar nak terjun.





Sebelum snorkeling, ada taklimat keselamatan dan taklimat berkaitan kemudahan di pulau diberikan oleh petugas. Setiap orang disediakan alat snorkeling yang lengkap. Di sini ada toilet, wakaf, tempat untuk berteduh, surau kecil dan gerai kecil yang menjual makanan ringan. Tiada resort dan tiada bekalan air paip.Memang sangat panas, sapu krim sunblock dulu, kalau tak berbelang le muka.

Pulau Payar memang cantik, berpijak di pasir yang panas akibat daripada sinaran matahari yang terik, pasir yang halus lagi putih gebu, ikan-ikan kecil dan besar yang berenang laju di tepi pantai yang penuh kebiruan dan kehijauan. Sesekali nampak ikan yu kecil berkejar-kejaran, menyelit nyelit disebalik terumbu karang. Memang kami diingatkan agar berhati-hati bila nak beri makan kat ikan yu ni, supaya jari tidak putus disambar ikan yu.


Baru masuk air beberapa tapak dah terasa terpijak batu karang yang tajam, ouuhhh boleh tahan sakit. Semasa taklimat diaorang memang dah bagitau berhati-hati dengan batu karang yang tajam ni dan kalau boleh cuba elak pijak dan merosakkan batu karang. Walaupun masih cetek,  kami dah mula mengapungkan diri, takut terpijak terumbu karang yang sangat unik, berwarna-warni dan indah sekali.


Jangan lupa tabur roti atau biskut di sekeliling badan kita, ouhhhh, beribu ikan meluru dengan macam-macam warna, macam-macam spesis yang pelik-pelik dan pelbagai saiz yang sangat cantik. Berenang dan apungkan badan dengan jaket dan pergi lagi ke tempat yang lebih dalam, air laut pun dah biru gelap, dah tak nampak terumbu karang, ada rezeki boleh nampak ikan-ikan yang sebesar manusia dan boleh tengok orang tengah diving kat bawah. Uhhhhh, memang seram gak bila tengok pemandangan laut yang dalam ni. Ombak kadang-kadang agak kuat yang menyebabkan terminum air laut dan menyukarkan untuk bernafas dengan baik.












Dah puas snorkeling dan berenang, kami rest dulu, ambil pek makan tengahari dari petugas. Menu yang menyelerakan. Dah abis makan, kami terjun sekali lagi untuk snorkeling. Jam 3.00 petang, kami pun dipanggil untuk bersiap-siap pulang. Seperti biasa, pastikan sampah dikutip, serahkan alat snorkeling, bersihkan badan dulu dan tukar pakaian. Tepat masanya, kami pun meninggalkan Pulau Payar yang tiada berpenghuni ni dengan rasa kepuasan dan pengalaman yang cukup menakjubkan. Jumpa lagi pengembaraan seterusnya.



No comments:

Post a Comment